Tuesday, August 7, 2012

HARAM, BERDOSA UNDI DAP.. UNDI MCA OK

KOTA BHARU 7 Ogos - Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.


Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.


Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.


"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata. Wajib orang Islam dalam Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP yang mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan raya.


Di Bawah ini diperturunkan kata-kata (dalam bentuk gambar) Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang mesra Islam : Sokong hukum hudud dan penubuhan Negara Islam:




Baca artikel di bawah :

Hudud buat MCA hilang akal


MCA seperti hilang akal apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Dato’ Ayub Rahmat menyarankan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi tidak tentu arah, meracau dan tidak dapat berdiri dengan betul seperti orang mabuk dan kurang siuman.

Soi Lek bertambah resah dan gelisah apabila Ayub menyatakan hudud yang dicadangkan itu hendaklah meliputi semua kaum di Johor berbanding dengan Kelantan yang hanya mahu melaksanakan hukum itu ke atas masyarakat Islam sahaja.

Maka tidak hairanlah setiap kali timbul isu hudud, Soi Lek cepat-cepat mencantas idea tersebut. Takut benar Soi Lek dengan hudud sehinggakan beliau mengugut untuk partinya keluar Barisan Nasional (BN) jika hukum hudud dilaksanakan.

Orang yang tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak perlu takut dengan hudud tetapi orang seperti Soi Lek yang pernah terlibat dengan salah laku seks sudah tentu merasa takut.

Namun penentangan keras Soi Lek terhadap hukum hudud mungkin dapat diterima kerana beliau sendiri mengaku tentang kesalahannya melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah hotel di Johor pada tahun 2008.

Umno takut kepada MCA

Tetapi bagaimana pula sikap para pemimpin Umno yang lain tentang cadangan rakan mereka sendiri mengenai pelaksanaan hukum hudud ini? Kenapa tidak bersuara, adakah mereka takut kepada MCA?

Umno lebih takut kepada MCA berbanding takut kepada Allah swt. Atau adakah Umno menganggap undang-undang sivil lebih ‘supreme’ dari undang-undang hudud ciptaan Allah?

Dengan menganggap seseorang atau benda lain atau suatu konsep sebagai wujud yang setara atau lebih tinggi daripada Allah merupakan satu cabang dari syirik.

Allah menyebutkan dalam Al Quran bahawa dosa syirik tidak akan diampuni. Allah tidak mengampuni dosa syirik tetapi Dia mengampuni dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.

Maksud firman Allah dalam ayat 48 Surah An-Nisaa’: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) kerana mempersekutukannya (syirik) dan Dia mengampuni apa (dosa) selain (syirik) itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.”

Justeru kita ingin bertanya adakah pemimpin Umno juga sudah hilang akal dan tidak dapat berfikir secara waras berhubung cadangan Ayub yang dikemukakan dalam Dewan Undangan Negeri pada 20 Jun lalu?

Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Johor, Dato’ Zainal Abidin Osman sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pendirian Umno tentang hudud.

Beliau menyifatkan apa yang diungkapkan oleh Ayub itu adalah satu cadangan dan tidak pernah dibincang di peringkat parti (Umno).

Berdasarkan kenyataan ini juga jelas Umno tidak mempunyai hasrat untuk melaksanakan hudud tetapi kenapa pemimpin Umno yang juga mengaku beragama Islam enggan dan takut melaksanakan hudud.

Barangkali hukum hudud lebih adil dan saksama tanpa mengenal darjat dan kedudukan berbanding dengan undang-undang sivil yang mudah dimanipulasi untuk menjaga kepentingan mereka seperti dalam penciptaan kes liwat dan video lucah.

PAS sokong

Sikap PAS bila berdepan dengan isu ini adalah jelas. Saranan Ayub itu disambut baik oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelaksanaannya.

“Biar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud dan insya’Allah Kelantan akan menyusul kemudian,” kata Nik Aziz sambil menambah, pemimpin Umno itu mempunyai keberanian untuk mencadangkan perkara ini.

Bagaimana pula sikap badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang mendabik dada kononnya merekalah pejuang sebenar untuk menjaga kesucian agama Islam.

Kenapa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan mahu mendaulatkan Islam tidak menyuarakan bantahan terhadap Soi Lek?

Kenapa Jalur Tiga (Jati) yang mempunyai moto dan dasar perjuangan IMR (Islam, Melayu dan Raja) berdiam diri apabila Soi Lek mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai menghina Islam itu.

Ada banyak lagi NGO Islam yang memperjuangkan isu murtad dan menentang aktiviti LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) tetapi apabila berdepan isu hudud menjadi dayus dan mandul.


Kilang fitnah

Tanpa pelaksanaan hudud, pemimpin-pemimpin Umno-BN mudah mencipta dan mengilang fitnah, memalsukan bahan bukti terhadap tuduhan liwat dan salah laku seks dan menerbitkan video-video lucah secara meluas.

Terbaru kes Ketua MCA Melaka, Gan Tian Loo yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai hubungan sulit dengan bekas stafnya.

Lim dan isterinya Betty Chew yang juga Adun Kota Laksamana dengan sekeras-kerasnya menafikan tuduhan ini, tuduhan yang dibuat dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Beberapa bulan lalu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali juga menjadi mangsa fitnah serupa – fitnah yang standard – kononnya terlibat dengan salah laku seks dengan seorang wanita.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari Mohd Azlan membuktikan terdapat pemalsuan bahan bukti dan wujudnya konspirasi politik.

Skandal seks dan liwat yang dipelopori oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini sudah menjadi budaya rakyat Malaysia dan menjadi senjata tajam untuk menjatuhkan musuh politik mereka.

Jika hudud dilaksanakan, pemimpin-pemimpin seperti ini tidak mudah mencipta fitnah, blogger-blogger juga tidak berani menyebarkan fitnah dan konspirasi-konspirasi jahat dapat dibendung.

Ketakutan terhadap hudud merupakan satu persepsi negatif yang ditanam sejak sekian lama oleh pemimpin-pemimpin Umno. Pemimpin- pemimpin Umnolah yang menakut-nakutkan rakan parti komponen dalam BN tentang hudud.

Pemimpin-pemimpin Umno ini juga yang berjaya menakut-nakutkan rakyat dengan menggunakan media massa yang dikuasai mereka sehingga rakyat termakan dengan dakyah mereka bahawa hukum hudud itu zalim, kejam dan tidak bertamadun.

Persepsi inilah yang perlu diubah walaupun sukar

No comments:

Post a Comment