Friday, August 10, 2012

1MALAYSIA TAK MENYATUKAN NEGARA


Oleh : Pak Subky Latif

AMAT malang bagi Malaysia di ambang persiapannya untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 ia bertempur dengan isu tema yang dipertikai dan tidak diterima oleh semua pihak.


Tema 55 Tahun  Merdeka ‘Janji Ditepati’ tidak dapat diterima oleh Pakatan Rakyat yang memerintah empat buah kerajaan negeri iaitu Kelantan, Kedah, PUlau Pinang dan Selangor.

Justeru kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Najib tidak sedia menukar tema itu, maka kerajaan  Pakatan Rakyat bersetuju menggunakan tema lain seperti yang setuju setakat ini iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa.

Bukan Pakatan sekadar mahu berlainan dengan yang ditetapkan kerajaan pusat, tetapi Janji Ditepati didapat mengandungi niat politik bagi dimanfaatkan oleh BN dalam PRU yang sudah diambang itu.

Bukan kerana dekatnya  pilihan raya maka tema itu tidak disetujui, tetapi tema itu tidak membawa samagat perpaduan dan patriotik. Ia tidak lebih dari satu slogan politik pilihan raya.

Najib muncul sebagai Perdana Menteri lebih tiga tahun lalu menyedari betapa Negara yang sudah lebih 50 tahun mereka itu berpecah dalam serba serbi – berpecah antara kaum, berpecah sesama kaum dan sesama agama.

Maka dia memperkenalkan satu formula penyatuan Negara melalui transformasi 1Malaysia. Di bawah 1Malaysia itu ada berbagai-bagai transformasi.

Maka 1Malaysia itu dikira diterima oleh semua. Sesudah kerajaan di bawah lima Perdana Menteri sebelumnya, inilah satu pendekatan dan percubaan yang paling berupaya bagi meredakan perbedaan.

Jika ia tidak diterima, maka sampai bila Malaysia ini terus berada dalam alam perkauman  dan perpecahan. Ia satu percubaan yang baik. Maka peluang perlu diberi kepadanya.

Pada ketika penyatuan belum benar-benar dapat dipatri, perkauman dan kebencian belum dapat diredakan, Najib keluar dengan tema hari kemerdekaan yang tidak menyatukan semua pihak.

Bukan Pakatan sengaja hendak memalu dan menyulitkan Perdana  Menteri, tetapi Perdana Menteri sendiri menempah malang memecahkan kebulatan muafakat melalui kemerdekaan dengan mengadakan tema yang tiada falsafah penyatuan.

Sambutan kemerdekaan yang ke-55 ini bukan kali pertama yang Pakatan dan BN akan lalui bersama. Kali ini yang kelima-lima kerajaan negeri myambutnya. Ia tidak mengadakan tema yang berlainan. Ia terima apa yang kerajaan pusat sediakan untuk empat kali sambutan yang lalu.

Malah tidak pernah sejak 55 tahun lalu ada sesiapa yang mengkritik tema yang disediakan oleh kerajaan. Lagu tema yang digunakan diterima semua.

Soal dulu pembangkang lemah atau kuat tidak berbangkit. Mungkin benar pembangkang mempertikai apa jua yang kerajaan buat dari dulu hingga sekarang. Tentangan sesetengah rakyat terhadap parti yang memerintah bukan baru sekarang saja. Sejak Perikatan dulu sudah  ditentang. Tetapi tema sambutan kemerdekaan tidak pernah diusik.

Bukan kerana  Pakatan terasa ia sudah hampir  tiba ke Putrajaya, maka ia mahu adakan tema yang berlainan, tetapi Najib dan penasihatnya menempah tapak  supaya dia dipertikai.

Memang pimpinannya dikira yang terlemah dari sekalian yang sebelumnya. Dulu orang merasakan pimpinan Tun Abdullah Badawi yang teruzur, rupanya Najib lebih uzur. Dalam serba keuzurannya dia menempah tema Janji Ditepati untuk dimanfaatkan  sama bagi PRU13.

Dengan penggunaan itu, janji transformasi 1Malaysia tidak ditepati. Malaysia tidak sekadar berpecah menjelang pilihan raya dan semasa pilihan raya, tetapi kali pertama berpecah menyambut hari kemerdekaan. Yang malangnya perpecahan disebabkan oleh kelemahan penncipta 1Malaysia. Dia sendiri gagal menghayati semangat 1Malaysia. 1Malaysia tidak membawa satu penyatuan tetapi ia berakhir dengan pemecahan.

Sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment