Friday, July 27, 2012

NAJIB CUBA HILANGKAN SAKIT UMNO, TETAPI TIDAK TAHU APA PENYAKITNYA


Oleh : Aspan Alias

Yang masih ada kepada Najib ialah ego dan ketamakan sahaja. Beliau tahu yang BN akan kalah dalam pilihanraya kali ini jika PRU itu diadakan sekarang atau sebulan dua selepas ini. Tidak tahulah jika Najib ada sentuhan sakti awal tahun depan untuk mengekalkan kuasa dan baki-baki mandat yang masih ada kepada BN sekarang. Sekarang Najib bukan lagi hendak menyelamatkan UMNO, tetapi sebaliknya Najib berusaha untuk UMNO menyelamatkan beliau.


BN kini sedang berpecah, ibarat kejatuhan kepingan-kepingan bangunan yang sedang runtuh. UMNO khususnya memang sudah sampai ke penghujung hayatnya. Semuanya ini adalah dalam pengetahuan Najib. Jika benar Najib tidak tahu keadaan ini maka sah Najib tidak tahu menahu apa yang berlaku di bawah dalam BN dan UMNO serta pandangan dan persepi sebenar rakyat terhadap kerajaan pimpinan beliau.

UMNO akan menjadi parti yang ‘orphanage’, iaitu parti yang seperti anak yatim yang ditinggalkan ibu bapanya. UMNO akan keseorangan dan akan ditinggalkan oleh parti-parti komponen di dalamnya.  Parti-parti yang menjadi ahli kepada BN sedang meneropong dan meneliti sejauh mana kekuatan UMNO di mata rakyat kerana kekuatan dan pandangan tinggi rakyat terhadap parti itu amat penting sebagai tunjang kepada BN. Jika tulang belakang sudah nampak lemah maka tidak akan ada lagi kekuatan pada BN.

Jika seseorang itu sudah lemah dan reput tulang belakangnya, banyak perkara tidak akan dapat dilakukan lagi oleh seseorang itu: berjalan perlahan, duduk tidak selesa, hendak bongkok pun tidak boleh dan jauh sekali untuk menjadi pentadbir keluarga yang ‘effective’. Seseorang itu akan menumpukan masa untuk mengubati sakitnya dan tidak ada masa untuk menguruskan perkara lain, jauh sekali untuk menguruskan rakyat.

Sesungguhnya UMNO sedang sakit tenat. Berbagai-bagai cara sedang dilakukan oleh Najib untuk menahan kesakitan yang sedang mereka (UMNO) alami sekarang. Sesungguhnya UMNO tidak dapat membezakan sakit dengan penyakit dan seterusnya tidak dapat meleraikan masalah kesakitan yang dihadapinya.

Apa yang dilakukan oleh UMNO sekarang hanyalah untuk menghilangkan sakit, bukannya untuk memperbaiki diri daripada penyakit. Najib ibarat seorang yang makan ‘panadol’ untuk menghilangkan sakit kerana panadol itu adalah ubat penahan sakit. Panadol itu tidak akan mengubati penyakit.

Elok kita kaji anologi yang ini:-

Jika Mamat rasa sakit kepala dia akan makan panadol maka sakit itu hilang sekejap. Besoknya Mamat rasa sakit telinga pula, maka Mamat makan dan telan dua biji panadol dan sakit telanga itu hilang. Seminggu selepas itu Mamat terasa sakit tengkuk pula, dan seperti biasa dia telan lagi dua biji panadol.

Maksud saya di sini, panadol itu akan hanya menghilangkan sakit buat sementara, tetapi Mamat tidak mahu ambil kisah tentang panyakit yang sebenarnya yang dihidapinya. Sebenarnya, Mamat sedang menghadapi penyakit darah tinggi. Jika Mamat masuk ke hospital dan ubati penyakit darah tinggi maka rasa sakit di telinga, mata, tengkuk dan kepala tadi tidak akan datang lagi. Selama ini Mamat hanya menelan panadol untuk menghilangkan sakit tetapi tidak menghilangkan penyakit.

Begitulah yang Najib lakukan sekarang. Beliau ibarat memberi kelegaan kepada rasa sakit kepada UMNO itu sahaja. Itulah sebabnya Najib memberikan BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) sebanyak RM500 kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Selepas itu beliau rasa ada kesakitan di kalangan pemandu teksi, maka diberi pula tayar yang murah kepada semua pemandu teksi dengan kupon sebanyak RM420 seorang. Lepas itu Najib umum elaun khas (one-off) untuk jururawat sebanyak seratus dua ringgit.

Yang terakhir Najib umumkan bonus raya dan berbagai-bagai lagi selepas ini. Semuanya ini hanya pertolongan untuk menghilangkan sakit sementara. Najib sepatutnya cari apa penyakit sebenarnya yang dihadapi oleh UMNO itu. Bantuan seperti memakan panadol ini tidak akan menghilangkan penyakit kerana sakitnya akan datang semula tidak lama selepas itu kerana sebenarnya UMNO mempunyai penyakit yang tidak diubati dan penyakit ini sudah begitu lama dihidapinya.

Penyakit sebenarnya yang dihadapi oleh UMNO ialah kehilangan keyakinan rakyat yang amat serius. Keyakinan rakyat sudah terhakis begitu teruk sekali kerana kegiatan rasuah yang berluas-luasa dalam UMNO dan kepimpinan kerajaan sekarang. Pimpinan UMNO sendiri sudah hilang segala ‘plot’ untuk mentadbir negara dengan baik dan bermoral. Pemimpin-pemimpin UMNO berbelanja wang rakyat seperti negara ini emak dan bapa mereka yang punya.

Trillion ringgit sejak sepuluh tahun dahulu telah lesap dan dibawa ke luar negara secara haram dan kesemua wang itu adalah wang rakyat yang mereka tadbir. Pucuk pimpinan bukan sahaja menjadi PM dan Menteri-Menteri tetapi mereka juga adalah kontraktor mengambil kesemua peluang yang terdapat melalui projek-projek raksasa infrastruktur negara untuk menjadi kaya-raya yang tidak terhingga.

Mereka menyamun dan merompak tanpa rasa belas ehsan terhadap rakyat yang 60% masih melata dalam kehidupan mereka. Rakyat marah kerana penyakit yang menafikan rakyat Kelantan dengan menghalang Kelantan mendapatkan royalti minyak negeri mereka.

Banyak lagi senarai yang panjang-panjang yang tidak termuat hendak disebut dalam posting ini. Inilah penyakit sebenarnya dan jika untuk menghilangkan rasa sakit dengan membayar BR1M dan sebagainya ia adalah seperti memakan ubat tahan sakit sementara seperti panadol.

Oleh kerana terlalu banyak makan panadol, ubat panadol ini pun tidak ‘effective’ lagi kerana sistem badan kita sudah ‘immune’ dengan jumlah panadol yang kita makan itu. Di sinilah letaknya penyakit UMNO yang tidak pernah terubat dan diambil perhatian.

Cara Najib menyelesaikan masalah hanyalah dengan membayar sana dan membayar sini dan SOP pimpinan Najib ini tidak lebih dan tidak kurang seperti beliau mengendalikan UMNO bahagian Pekan sahaja. Najib percaya semua masalah akan selesai jika dibayar dengan wang ringgit sahaja.

Oleh itu marilah kita membina keyakinan yang rakyat akan berjaya kali ini untuk menhilangkan penyakit yang kita semua sedang hidapi. Kita mesti berhenti memakan ubat tahan sakit seperti panadol ini, kerana panadol tidak boleh menyembuhkan penyakit.

Panadol hanya setakat menghilangkan sakit buat sementara sahaja. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk memnghilangkan penyakit. Apabila sembuh penyakit itu maka kita tidak akan merasa sakit lagi dan tidah payah menelan panadol siang dan malam.

UMNO perlukan rawatan rapi dan wajar berehat sahaja setidak-tidaknya selama lima tahun selepas PRU nanti. Itu pun jika penyakitnya boleh disembuhkan. Kalau tidak boleh juga sembuh berehatlah terus menerus.

Rakyat mahukan parti yang cergas dan sihat untuk memberikan keyakinan yang tinggi untuk memelihara kemerdekaan yang telah kita capai lebih dari lima dekad dahulu.

No comments:

Post a Comment