Tuesday, July 3, 2012

AWANG SELAMAT TERUS MENGHASUT


Oleh : Aspan Alias

Sesiapa pun, apabila dalam keadaan lemah dan tidak sihat akan mudah merasa miskin di jiwa dan memandang semua dikelilingnya dengan perasaan takut. Memang ramai orang takut kerana ‘creativity’ nya sendiri. Dikampung-kampung hingga sampai masa kini masih ada yang takut kepada setengah pokok yang rimbun kerana kononnya pokok itu berhantu. Oleh kerana terlalu percaya yang pohon rimbun itu berhantu maka akhirnya hantu itu akan timbul.


Kita lupa yang jika kita masih berbentuk Muhamad (mim ha mim dal) tidak ada apa elemen yang lain boleh mengatasi kita. Tetapi apabila kita lemah maka yang tidak berhantu itu pun dianggapnya ada hantu. Hantu dan syaitan itu sebenarnya takut dan tidak akan dapat mengatasi kita kerana kita adalah makhluk yang secantik-cantik kejadian. Manusia itu lebih mulia dari malaikat tetapi oleh kerana ada manusia yang lemah jiwanya maka yang mereka tidak sepatutnya takut pun mereka akan takut.

Dalam politik pun begitu juga. UMNO sekarang amat takut jika ditewaskan oleh pembangkang dalam pilihanraya untuk menguasai kerajaan persekutuan. Rasa takutnya begitu jelas dan menonjol sehinggakan media yang menyokongnya seperti Utusan Malaysia mencari jalan untuk membantu BN dengan menulis perkara-perkara yang berunsur menakut-nakutkan rakyat. Awang Selamat dalam tulisannya semalam menulis tentang PAP Singapura yang kononya berkait rapat dengan DAP.

Utusan sebenarnya sedang cuba untuk menjauhi sokongan orang Melayu terhadap DAP dalam pilihanraya kali ini kerana undi orang Melayu merupakan sokongan yang sangat penting untuk Pakatan Rakyat atau BN menentukan kemenangan masing-masing. Awang Selamat tahu yang orang kaum Cina memang sudah mengambil keputusan untuk perubahan dan kita lihat dengan jelas yang kaum Cina memberikan sokongan padu kepada PAS yang suatu ketika dahulu amat ditakuti oleh kaum Cina.

Tetapi selepas beberapa lama PAS telah membuktikan yang parti itu merupakan parti yang adil dan kaum Cina pun mahu menerima PAS sebagai salah satu parti ‘alternative’ kepada UMNO. Dalam siri ceramah anjuran PAS yang saya sering dijemput untuk memberi penerangan tentang permuafakatan diantara PAS dengan DAP serta PKR, saya nampak dengan jelas orang kaum Cina tidak lagi kekok untuk bersama-sama memberikan perhatian terhadap ceramah yang saya lakukan itu.

Ini merupakan satu keindahan siasah sebuah negara 'cosmopolitan' seperti negara kita ini. Itulah sebabnya saya jarang-jarang lupa untuk menyebut yang saya amat merasakan nikmat hidup dalam kemuafakatan diantara kaum dan agama. Saya tidak mengurangkan Melayu saya apabila menyertai DAP dan lebih-lebih lagi saya tidak melemahkan akidah saya terhadap Tuhan yang satu. Tuhan mewujudkan manusia dari berbilang-bilang bangsa dan puak untuk memahami serta menghormati diantara satu dengan yang lain.

Dimana-mana saya pergi dalam siri ceramah saya, amat jelas persefahaman ini semakain hari semakin jitu dan inilah yang akan memperkuatkan perjuangan untuk mencapai sebuah negara yang bersatu padu diantara semua kaum yang hidup dalam negara yang di lindungi oleh perlembagaan yang telah digubal untuk menjaga semua kaum dinegara ini.

Sebenarnya UMNO telah diberikan mandat begitu lama untuk menjadi penyatu kepada semua kaum sebegitu lama, tetapi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat sebegitu lama itu telah diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpinnya dan telah lari dari matlamat penyatuan kaum itu. Mandat dan kepercayaan yang diberikan terhadap BN itu bukan setahun dan bukannya dua tahun: BN telah mendapat mandat itu selama lima puluh empat tahun sehinggakan BN mengambil semuanya ‘for granted’. BN merasakan mandat rakyat itu adalah hak mutlak mereka dan tidak ada pihak yang lain yang berhak keatas mandat itu.

Tetapi seperti yang saya katakan selalu masa dan waktu sentiasa berubah tetapi BN tidak mampu untuk bersama-sama berubah mengikut zamannya. Pemikiran rakyat begitu jauh berubah dan telah meninggalkan cara UMNO dan BN berfikir. Justeru UMNO sedang dalam kedudukan seperti telor dihujung tanduk. Bila-bila masa PRU di adakan parti ‘alternative’ merupakan pilihan rakyat yang sangat kepingin kepada perubahan dan ‘ambience’ politik yang baru yang lebih mementingkan ‘transparency’, tanpa rasuah dan salah gunakuasa seperti yang sering berlaku sekarang ini.

Keadaan inilah yang meresahkan BN dan media massa seperti Utusan sedang mencari segala cara yang ada untuk mencantas sokongan rakyat kursus orang Melayu kepada PR terutamanya DAP. Isu PAP Singapura berkumandang lagi dan membuat tuduhan yang Lim Kit Siang merupakan seorang pemimpin didikan PAP Singapura. Lawatan Lee Kuan Yew ke Pulau Pinang dijadikan isu dan Utusan cuba mengaitkan lawatan itu sebagai simbol kerjasama DAP dengan PAP.

Tetapi Utusan tidak pula memberikan ingatan yang Lee Kuan Yew juga telah melawat Kelantan dan bertemu dengan Nik Aziz. Malahan Lee Kuan Yew juga berjumpa dengan Rosmah, wanita yang paling berpengaruh dan digeruni oleh Najib sendiri. Lee Kuan Yew berjumpa dengan semua pihak bukan sahaja pemimpin DAP.

Pilihanraya mesti sampai maka Utusan dan Awang Selamat menulis perkara-perkara dan isu yang sudah tidak lagi termakan oleh sesiapa yang berfikir dan mengetahui sejarah sebenar politik negara kita dan Singapura. Isu mengaitkan kejadian berdarah 13 Mei dengan LKS sudah tidak termakan lagi oleh sesiapa yang siuman kerana itu merupakan fitnah yang tidak henti-henti di berikan terhadap pemimpin veteran DAP itu.

Awang Selamat sepatutnya memberikan teguran terhadap rasuah yang tidak dapat dikawal lagi dalam kerajaan dan agensi-agensi kerajaan sekarang ini. Awang Selamat sepatutnya menulis tentang RM 28 billion ketirisan yang berlaku dalam kerajaan setiap tahun seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Awang Selamat juga sepatutnya menulis tentang perkara yang positif seperti kejayaan kerajaan P Pinang, Selangor, yang telah berjaya memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan pentadbiran yang bersih dan kedua-dua negeri ini telah menyumbang 40% kepada GDP negara. Utusan juga sepatutnya menulis yang Kedah serta Kelantan adalah negeri-negeri yang jauh lebih bersih dan secara relatifnya amat baik dalam kesucian pentadbirannya dan isu rasuah.

Apa yang Utusan dan Awang Selamat perlu tulis juga ialah keadaan yang sangat harmonis yang berlaku diantara kaum setelah PR bercambah pengaruhnya di seluruh negara. Utusan perlu memberitahu yang penyatuan diantara kaum ini sedang terbentuk dimana semua kaum yang terbesar telah bersama-sama berusaha untuk bersatu dibawah PR. 

Ini adalah kerana mereka tidak akan dapat kerjasama dan kesatuan itu di dalam BN yang telah diberikan peluang untuk melakukannya selama lima puluh empat tahun kerana isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO sebegitu menebal. Awang Selamat sepatutnya menasihatkan UMNO supaya jangan memainkan isu kaum dan agama dengan sewenang-wenangnya semata-mata kerana politik.

Nasihatlah UMNO itu supaya menjadi ‘gentleman’ dan menerima kekalahan jika sudah sampai masanya kerana kekalahan di dalam demokrasi itu memang perkara yang biasa. Kalau tidak mahukan demokrasi kenapa pilih sistem ini semasa kita membentuk kerajaan yang kita tadbir sendiri dahulu? Katakan kepada rakyat yang jika tidak dipilih sistem demokrasi pun, kerajaan akan bertukar tangan juga seperti yang berlaku dibanyak negara. Ia baru sahaja berlaku dibeberapa buah negara Arab baru-baru ini.

Awang Selamat sepatutnya memberikan pandangan yang ‘magnanimous’ supaya dihormati oleh pembaca dan rakyat. Awang Selamat perlu terima hakikat yang rakyat tidak gemar dengan pandangan yang bersifat menghasut yang dimainkan oleh saudara selama ini.

No comments:

Post a Comment