Saturday, June 23, 2012

UMNO HARAMKAN DEBAT



IMPIAN MUSNAH! Barangkali itulah perkataan yang paling sesuai ditujukan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang masih menaruh harapan untuk melihat debat terbuka antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim menjadi kenyataan. Hakikatnya, debat itu tidak akan menjadi realiti sama-sekali.


Tidak setakat itu saja, malahan debat-debat lain yang melibatkan pemimpin UMNO juga tidak akan muncul lagi selepas ini.

Debat yang berlangsung pada 19 Julai lalu antara Ahli MT UMNO, Saifuddin Abdullah dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga adalah merupakan debat terakhir yang melibatkan pemimpin UMNO, sekurang-kurangnya di era UMNO berpresidenkan Najib.

Selepas ini, pemimpin UMNO dilarang sama-sekali berdebat dengan pemimpin pembangkang.

Ini berikutan UMNO difahamkan telah mengambil langkah mengharamkan para pemimpinnya daripada berdebat dengan para pemimpin pembangkang atas apa juga isu atau topik.

Sebelum Saifuddin berdebat dengan Salahuddin atas tajuk demonstrasi jalanan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO juga telah berdebat dengan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkenaan tajuk piliharaya yang bersih dan tabung pendidikan TPTN.

Khairy dan Rafizi juga pernah berdebat di London di hadapan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Langkah terbaru mengharamkan debat kepada pemimpin UMNO ini dipercayai atas inisiatif Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim berikutan respon daripada sebahagian pimpinan UMNO yang melihat debat yang telah berlangsung itu lebih banyak memberi kesan buruk kepada UMNO, lebih-lebih lagi kerana ianya disiarkan secara langsung melalui tv.

Ini berikutan ia dilihat telah memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk berkempen dan membangkitkan pelbagai perkara mengenai UMNO dan kerajaan serta ditonton oleh jutaan orang.

Bagi UMNO pula, debat itu tidak memberi kesan yang banyak kepada rakyat kerana tanpa debat pun mereka masih boleh menyampaikan pelbagai perkara berikutaan penguasaan yang meluas terhadap media cetak dan elektronik.

Lebih dari itu, oleh kerana Najib sendiri kelihatan tidak berani berdebat walaupun berkali-kali dicabar oleh Anwar, sudah tentu langkah membiarkan pemimpin lain pula berdebat bagaikan suatu penghinaan dan perlekehan kepada Najib.

Atas asas-asas tersebutlah debat yang melibatkan pemimpin UMNO dengan pihak pembangkang dicadangkan untuk diharamkan.

Dalam hubungan ini, Rais difahamkan telah memaklumkan secara lisan kepada KJ dan Saifuddin, dua pemimpin UMNO yang masih ghairah dengan idea debat, agar tidak lagi menyahut atau terlibat dengan mana-mana debat dengan pembangkang selepas ini.

Dijangkakan Rais Yatim sendiri akan membentangkan langkah megharamkan debat ini dalam Mesyuarat MT UMNO yang akan diadakan pada Jumaat, 22 Jun ini agar ia menjadi peraturan rasmi yang mesti dipatuhi oleh semua pemimpin UMNO.

Langkah ke belakang yang dibawa Rais ini, walaupun mungkin mendapat sokongan ahli-ahli MT UMNO tetapi ianya pasti memberi kesan kepada undi yang bakal diperolehi oleh UMNO dan BN, khususnya daripada pengundi muda dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Bagi generasi muda, langkah mengharamkan debat adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara, keterbukaan, keberanian berhujah serta kepintaran bermain dengan hujah dan kata-kata dalam mempertahankan idealisme perjuangan.

Lebih dari itu, dalam usaha Malaysia menuju negara maju juga, langkah UMNO mengharamkan debat ini langsung tidak seiring dengan perjalanan sebuah negara yang sedang menuju kemajuan dan kematangan sebagaimana yang telah terpamer dalam budaya sebahagian besar negara-negara maju yang menghalalkan debat terbuka diadakan.

Di Amerika dan Britain misalnya, debat dalam pemilihan pucuk pimpinan kedua negara itu sudah menjadi budaya yang bukan saja ditunggu-tunggu oleh rakyatnya sebelum mereka membuang undi malahan menjadi perhatian seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment