Wednesday, June 20, 2012

MAHATHIR - PESARA YANG TIDAK TENANG JIWANYA : GILA..GILA DAN NYANYUK TUA



Mahathir mungkin satu-satunya pesara jawatan tertinggi di Malaysia dan dunia, yang tetap memenuhkan setiap hari yang dilaluinya dengan kesibukan mengkritik dan memikirkan tentang politik.

Jika pesara lain yang pernah menjadi Perdana Menteri atau Presiden mana-mana negara, mereka hanya lebih banyak menjalani kehidupan santai bersama keluarga dan anak cucu serta sesekali menghadiri jamuan selepas meletakkan jawatan, ini tidak berlaku kepada Mahathir.

Sejak melepaskan jawatan pada 2003 dan kemudian berlaku episod Anwar dibebaskan dari penjara, perselisihannya dengan pengganti yang dipilihnya sendiri iaitu Pak Lah dan keputusan buruk pilihanraya 2008, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak pernah duduk diam.

Menjelang pilihanraya akan datang ini di mana musuh utamanya, Anwar sedang mengintai untuk menuju ke Putrajaya dan dalam masa yang sama UMNO semakin ditolak rakyat, Mahathir kelihatan semakin sibuk dan menjadi tidak tenang jiwanya. Pelbagai pandangan, tulisan, kritikan dan ucapan mengenai politik, masa depan negara, UMNO, Anwar dan sebagainya sudah diluahkannya. Matlamatnya tidak lain, mengelak impian Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Baru-baru ini beliau bercakap tentang demokrasi, pembaharuan dalam pentadbiran Najib yang disifatkannya menggalakkan ekstremisme dan kebimbangannya jika Anwar menyalahgunakan kuasa setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan seterusnya memungkinkannya di bawa ke muka pengadilan dan dipenjarakan.

Jelas bahawa Mahathir mulai bimbang dengan kebangkitan rakyat yang mahukan pembaharuan sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara sebelum ini.Namun dengan membuat andaian bahawa kemungkinan beliau akan menjadi mangsa balas dendam Anwar, beliau mengharapkan rakyat menolak perubahan dan lebih melihat kesan buruknya berbanding kebaikannya.

Mahathir akan terus mengkritik Anwar dan pembangkang sehingga tarikh pilihanraya diumumkan dan ketika tempoh kempen, keaktifannya mungkin berganda lagi. Jiwa pencennya tidak akan tenang selagi Anwar masih bernafsu untuk merebut kuasa. Beliau ghairah mempertahankan UMNO bukan sangat kerana sayangkan Najib tetapi semata-mata mahu mengelak rakyat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.

Jika diimbas pencapaian dan kejayaan Mahathir menundukkan musuh-musuh politiknya, beliau sepatutnya sudah boleh menggunakan tempoh persaraan ini dengan jiwa lebih tenang. Semua musuh politiknya berjaya ditunduk dan dijinakkan. Beliau memang boleh berbangga dengan pencapaian itu.

Tetapi putaran kehidupan menjadikan beliau lebih serabut dan kalut berbanding bekas musuh-musuh yang pernah dikalahkannya itu.

Musa Hitam, musuh politiknya yang pertama, kelihatan lebih enjoy dan tenang di usia persaraan ini dengan menceburi dunia korporat dan banyak menghabiskan masa di luar negara. Tengku Razaleigh yang ditewaskannya pada 1987, walaupun masih aktif dan bernyawa dalam politik tetapi jiwanya kini juga pasti lebih tenang dan santai berbanding Mahathir. Begitu juga dengan Pak Lah, sejak bersara pada 2009, beliau mengambil keputusan bersara sepenuhnya dan tidak pernah menyusahkan penggantinya iaitu Najib. Masanya banyak dipenuhkan bersama keluarga dan hanya sesekali muncul di khalayak ramai.

Hanya Anwar, musuhnya yang turut tidak tenang tetapi Anwar belum bersara dan sedang gigih mendaki tangga untuk menawan Putrajaya.

Kenapakah Mahathir tidak setenang Musa Hitam, Ku Li dan Pak Lah?

Mahathir menjadi sedemikian rupa tentunya ada kaitan dengan langkah-langkah politik yang dilakukannya sepanjang 22 tahun berkuasa yang kadang-kadang dilihat zalim dan keterlaluan. Beliau tidak pernah ada perikemanusiaan terhadap penentang yang mahu menggugat kuasa yang sedang disandangnya.

Apabila melantik Pak Lah sebagai penggantinya, beliau antara lainnya tentulah mengharapkan dapat bersara dengan aman dan tenang. Tetapi bermula dengan pembebasan Anwar dari penjara dan kemunculan pengaruh KJ menyebabkan Mahathir kembali menyingsing lengannya. Dan sejak itu, sekitar tahun 2004 sehinggalah sekarang, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak tenang jiwanya.

Mahathir kini bagai diburu oleh dosa-dosa silamnya. Kerakusan untuk mempertahankan kuasanya suatu ketika dahulu sehingga tiada perasaan belas terhadap orang lain menyebabkan beliau kini sentiasa dibayangi ketakutan dan kebimbangan.

Walaupun mengakui tidak bimbang jika nasibnya menjadi seperti Hosni Mubarak atau Muammar Gaddafi tetapi keaktifannya bersuara akhir-akhir dan mahu rakyat mengelak perubahan berlaku dalam politik negara seperti di beberapa negara Arab, jelas bahawa Mahathir mempunyai kebimbangan itu.

Jika UMNO dan BN tumbang, bukan sahaja legasinya akan musnah malahan kedudukan dirinya sendiri juga menjadi tidak menentu. Masa depan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga menjadi buntu. Bolehkah kita membayangkan bagaimana kehidupan Mahathir jika Anwar menjadi Perdana Menteri?

Dengan kita pun tidak mampu membayangkannya, maka tentulah Mahathir sendiri tidak mahu membayangkan nasib dirinya ketika itu nanti.

Kiranya apa yang sedang dilaluinya kini dinamakan pembalasan, Mahathir tentunya sedang meniti detik-detik sengsara akibat dosa-dosa silamnya. Sementara menjalani kehidupan hari tua tidak sebagaimana bekas Perdana Menteri lainnya di mana-mana di dunia ini, dan jika sesekali terbayang di kepalanya kemungkinan UMNO kehilangan kuasa dan Anwar pula menduduki kerusi Perdana Menteri yang pernah didudukinyan selepas pilihanraya akan datang ini, derita jiwanya pasti lebih parah lagi.

Mahathir kini sedang bertarung mengelakkan semua itu.

No comments:

Post a Comment