Oleh
Abdul Shukur Harun
Ketika
berada di tengah Himpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu, saya mendapati
himpunan itu mencapai kejayaan luar biasa. Bukan semata-mata kerana ia disertai
oleh ratusan ribu orang, terutama golongan muda, tetapi juga disertai pelbagai
kaum dan agama. Ia jauh lebih besar dari Himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu.
Dianggarkan lebih kurang 300,000 orang telah menyertai himpunan kali ini.
Ini
bukti nyata bahawa rakyat yang sedar – merentasi kaum dan agama - – telah
sama-sama berjuang untuk menuntut pilihan raya yang bersih dari pelbagai
penipuan dan manipulasi, terutamanya mengenai daftar pemilih yang masih kotor.
Himpunan
itu juga disertai majoriti golongan muda yang amat sedar akan pentingnya sebuah
pilihan raya bersih demokratik. Saya bertemu dengan seorang anak muda,
kira-kira 25 tahun, bernama Amir Razali di himpunan itu, katanya:
“Pilihan raya adalah permulaan dari bentuk
pemerintahan negara. Kiranya pilihan raya itu tidak bersih, penuh penipuan,
tidak mungkin kerajaan yang menang itu akan dapat menjalankan pemerintahannya
dengan bersih, adil dan terbuka.”
Beliau
baru saja menghabiskan pengajiannya di sebuah kolej dan berhasrat menyambung
pengajiannya hingga ke peringkat Phd, jurusan ekonomi, “kalau cukup wang, sebab
keluarga saya miskin.”
Beliau
antara puluhan ribu anak muda – pelbagai bangsa dan agama – yang berdiri di
depan Masjid Negara untuk bersiap menuju tempat paling hampir ke Dataran
Merdeka yang dikepung segenap penjuru oleh pihak berkuasa.
Sejak
jam 10.00 pagi Masjid Negara dan Masjid Jamek (yang paling dekat dengan Dataran
Merdeka), orang ramai telah berkumpul dan memenuhi jalan raya. Mereka bertali
arus datang. Saya sendiri tiba di pekarangan tempat kereta di hotel sebelah KL
Central dan bersolat Subuh di sana.
Selepas
itu beramai-ramai menuju ke Masjid Negara. Orang ramai juga ada yang berkumpul
di Brickfield untuk menuju ke tempat paling dekat dengan Dataran Merdeka
seperti diarahkan.
Ketika
matahari muncul, orang ramai terus berdatangan ke Masjid Negara. Ramai di
antara mereka – ramai dari Kumpulan Lynas dari Pahang - yang sepatutnya tiba di
KLCC, tidak dapat ke sana kerana pelbagai sekatan jalan. Bagaimanapun jumlah
yang berada di sana juga ramai.
Pagi
itu cuaca cerah seperti merestui Himpunan hari itu. Orang ramai di mana-mana,
di tepi jalan ada yang duduk untuk makan bekalan yang dibawa, sementara
pergerakan menuju ke Masjid Negara dan Masjid Jamek terus rancak.
Kalangan
peserta, kebanyakan penyokong DAP, seperti diarahkan, berhimpun di Jalan
Sultan, berhampiran Petaling Street. Cuaca pagi terus cerah, awan putih di
langit bagaimana memerhatikan pergerakan rakyat hari itu.
Suasana
bandaraya kelihatan ceria, pembersih sampah menjalankan tugasnya, kendereaan
bergerak seperti biasa di jalan-jalan yang tiada sekatan. Namun semua jalan ke
Dataran Merdeka disekat, bukan saja dengan kun merah tetapi juga kawat
berduri yang kelihatan masih baru dipakai, sementara di sana sini pasuka polis
mengawal dengan ketatnya.
Di
pekaran Masjid Negara orang ramai terus berdatangan dan pelancong juga ramai
tiba, mengambil gambar dan kelihatan tertarik melihat apa yang berlaku. Tidak
terlihat kebimbangan mereka. Saya bersolat Sunat di sana, sementara orang ramai
ramai terus berdatangan, Matahari mulai meninggi. Unit Amal PAS bertugas dengan
baik mengawal keadaan.
Saya
menelefon Sasterawan Negara, A. Samad Said di mana beliau berada. “Saya berada
di rumah (di Bangsar) dan akan bertolak ke sana sebentar lagi dengan LRT.” Saya
bertanya lagi, sama ada beliau datang dengan pengawal peribadi, beliau segera
menjawab, “Tidak, saya berlindung dengan Allah.” Dan saya menjawab,
“Alhamdulillah.”
Masjid
Negara itu terus menjadi saksi akan kebangkitan rakyat. Himpuna membantah
PPSMI, Bersih 0.2 tahun lalu juga diadakan di sana. Bermakna Masjid Negara
mempunyai makna penting dalam sejarah kebangkitan rakayat. Orang ramai terus
berdatangan dari segenap penjuru dan Unit Amal berada di mana-mana, tahniah
atas khidmat mereka yang cemerlang. Saya bertemu dengan para sahabat dari
Selangor – YB Ir. Khalid Samad, YB Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Kedah, YB
Johari Abdul, YB Firdaus, Ahli Exco Selangor serta Ustaz Haji Ahmad Awang dan
isteri, serta ramai pimpinan PAS Selangor.
Di
pekarangan masjid - berdepan dengan stesyen keretapi lama, Timbalan Presiden
PAS, Haji Muhamad Sabu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi dan
tokoh lain menyampaikan arahan dan ucapan. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi
Awang menyampaikan ucapan di Dataran Maybank, sementara para pemimpin Bersih
0.4 berada di pelbagai tempat yang telah ditentukan.
Di
pekarangan masjid, kelihatan ramai kalangan bukan Islam yang datang dari arah
Brickfield. Seorang di antaranya yang saya temui, mengenalkan namanya, Mr. Tan.
Beliau memberitahu saya bahawa beliau bersama isteri datang dari Segamat, Johor
bersama empat orang sahabatnya dan tinggal di hotel berdekatan.
“Saya gembira tengok semua kaum ikut dalam
Himpunan ini. Ini betul-betul bersih, tak ada perkauman. Kita semua datang
untuk menghantar mesej kepada kerajaan supya mengadakan pilihan raya dengan
bersih, jangan tipu,” katanya.
Kalangan
anak muda kelihatan mendominasi Himpunan Bersih ini dan mereka kelihatan berada
di mana-mana dengan baju kuning dan lilit kepala Bersih penuh semangat.
Inilah generasi akan datang yang akan menanganai cabaran mendatang.
Bagamanapun, kelihatan ramai kalangan veteran yang masih bersemangat dan ikut
dalam arus kebangkitan ini.
Pada
pendapat saya, ini adalah isyarat sangat jelas bahawa perjuangan ini didukung
oleh kalangan anak muda, golongan veteran, malah ribuan muslimat turut berada
di tengah-tengah Himpunan itu – di depan stesyen keretapi lama, di Masjid
Negara, di jalan dari Sogo, di KLCC, sepanjang jalan arah ke Masjid Jamek yang
sangat kritikal dan paling banyak menerima semburan gas pemedih mata.
Pengerusi
Bersama Bersih 3.0, Sasterawan Negara, A. Samad Said sempat bersolat Asar di
Masjid Negara kira-kira jam 5.15 petang selepas Himpunan dan disambut oleh
orang ramai yang masih berada di situ.
Saya
menyaksikan wartawan Aljazeera, wartawan BBC, wartawan TV Australia, Hong Kong,
Singapura dan banyak lagi media antara bangsa merakamkan peristiwa ini di
samping menemuramah pemimpin Bersih 3.0 dan orang ramai.
Ini
bermakna protes rakyat ini sedang disaksikan oleh dunia, apalagi Himpunan Bersih
3.0 turut diadakan puluhan kota besar di seluruh dunia, termasuk di Makkah dan
Madinah. Seluruh dunia tahu bagaimana demokrasi ‘disandiwarakan’ di negara ini
dan tidak syak lagi pemerintahan Barisan Nasional sedang dalam perhatian
seluruh dunia.
Sesungguhnya
gelombang kesedaran dari lautan manusia, peserta Himpunan Bersih 3.0 ini
sepatutnya disedari oleh pemimpin pemerintah supaya menjalankan pilihan raya
penuh demokratik, terutama membersihkan daftar pengundi. Ini sangat penting
disedari, tetapi sangat malanglah jika mereka gagal memahami gelombang rakyat
ini di mana kesannya tidak dapat dibayangkan.
Baca
juga artikel di bawah :
No comments:
Post a Comment