Wednesday, February 29, 2012

SKANDAL NFC: RAFIZI MOHON MAAF UNTUK KESILAPAN FAKTA, TAPI PERTAHAN PENDEDAHAN SEMALAM

Saya dimaklumkan mengenai penafian oleh Capital Mall bahawa kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil.

Saya memandang berat kesilapan ini dan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Singapura yang banyak membantu. Semakan pada pagi ini mendapati bahawa Farmhouse Supermarket akan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan dengan Star Vista.

Farmhouse Supermarket menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka, seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35

Maklumat di laman itu juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2, berbanding kedai-kedai lain.

Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza.

Oleh yang demikian, saya percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang saya sebutkan, keseluruhan pendedahan yang dibuat semalam adalah tepat. Kenyataan Salleh Ismail yang disiarkan oleh The Malay Mail bertarikh 29 Februari 2012 juga mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah ini, malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang mereka rasa sesuai.

Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura.

Baca: PKR: Dana rakyat terdedah kepada risiko kerugian perniagaan pasaraya di Singapura

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kanan) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Sumber : MerdekaReview

No comments:

Post a Comment