Wednesday, February 22, 2012

PRU 13 - NAJIB BAKAL KENA KENCING...



Di sebalik kekerapan Najib dan Muhyiddin turun ke negeri-negeri bertemu dengan rakyat dan dalam masa yang sama memberi isyarat bahawa tarikh pilihanraya umum semakin hampir, hakikat yang berlaku dalam UMNO sebenarnya adalah amat memalukan. UMNO seolah-olah tidak bersedia untuk menghadapi pilihanraya walaupun menyedari PRU 13 ini adalah "ibu" kepada segala piliharaya. Pilihanraya yang akan menentukan sama ada UMNO dan BN terus hidup atau kehilangan kuasanya.

Masih banyak bahagian-bahagian UMNO yang didapati belum lagi menubuhkan jentera pilihanraya di peringkat bahagian masing-masing. Mereka masih bersikap tunggu dan lihat dulu. Masing-masing mahu menunggu tarikh pilihanraya diumumkan oleh Perdana Menteri dan siapa yang dipilih sebagai calon dahulu.

Terdapat ketua bahagian yang enggan menubuhkan sebarang jawatankuasa atau jentera untuk piliharaya kerana tidak tahu kedudukan mereka sama ada dipilih sebagai calon ataupun tidak. Bagi yang berkeyakinan akan menjadi calon, memang ada yang sudah menubuhkan jentera pilihanraya malahan sudah mengadakan latihan, kursus dan persiapan yang secukupnya. Tapi jumlah kelompok ini tidak ramai.

Kelompok yang tidak pasti dan masih melobi untuk menjadi calon pilihanraya, kebanyakan mereka langsung tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Mereka beranggapan adalah membuang masa jika mereka menubuhkan jentera piliharaya sekarang dan membuat persiapan secukupnya sedangkan nanti orang lain yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon pilihanraya. Bagi golongan ini, biarlah sesiapa yang dipilih sebagai calon nanti menubuhkan jentera piliharaya mereka.

Bagi yang sudah putus harapan dan merasakan tidak berpeluang lagi dipilih sebagai calon pula, mereka langsung tidak berbuat apa-apa. Urusan parti hanya dilaksanakan secara ala kadar saja, selebihnya mereka menumpukan kepada bidang perniagaan saja. Persiapan atau penubuhan jentera pilihanraya hanya akan diputuskan setelah calon diketahui dan sama ada mereka dipilih sebagai pengarah pilihanraya atau pun tidak.

Bagi yang rapat dan ada hubungan dengan Najib serta pemimpin negeri dan berkeyakinan pula akan dipilih sebagai calon sahaja yang didapati sudah menubuhkan jentera piliharaya dan membuat persiapan secukupnya. Mereka ini sama ada sudah mempunyai kedudukan dalam lingkungan kuasa Najib atau sudah memperolehi banyak kontrak perniagaan. Penubuhan jentera dan persiapan pilihanraya adalah untuk membalas budi yang diperolehi.

Dalam pada itu, UMNO pusat dan negeri didapati masih belum memberi arahan secara khusus kepada bahagian-bahagian untuk membuat persiapan ke arah menghadapi pilihanraya.

Seorang ketua bahagian UMNO mengakui keadaan itu dan secara jujur berkata, beliau tidak mahu mendahului masa dengan menubuhkan jentera piliharaya dan hanya akan bertindak membuat persiapan pilihanraya apabila Parlimen sudah dibubarkan dan calon-calon sudah diketahui.

Katanya, sekarang adalah zaman duit ringgit dan biarlah sesiapa yag dipilih sebagai calon mengeluarkan perbelanjaan untuk persiapan piliharaya.

Seorang bekas menteri pula mengakui bahawa sehingga ini tidak ada arahan khusus daripada UMNO Pusat dan Negeri kepada UMNO untuk menubuhkan jentera pilihanraya di bahagian masing-masing.

Tambah beliau, lazimnya apabila menjelang piliharaya mereka akan menerima surat atau arahan daripada UMNO Pusat yang meminta membuat persiapan untuk pilihanraya, menubuhkan jawatankuasa pilihanraya serta peti undi dan menilai calon-calon untuk ditonjolkan.

Oleh kerana tidak ada arahan tersebut dan mengakui banyak bahagian-bahagian yang masih belum menubuhkan jentera pilihanraya di bahagian masing-masing, bekas menteri itu mengakui bahawa jika Najib membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini, ia pasti menimbulkan masalah besar kepada UMNO dan BN.

Dalam masa yang sama diakui juga bahawa sikap kebanyakan pemimpin UMNO tidak lagi seperti dahulu yang sanggup berkorban masa, wang ringgit dan tenaga demi kepentingan parti. Sekarang ini semua pemimpin lebih mengutamakan diri sendiri dan memikirkan apa yang mereka akan perolehi sebelum berbuat sesuatu. Tidak ada lagi istilah pengorbanan. Semuanya mesti diberi ganjaran sama ada wang atau jawatan.

Amatlah malang bagi Najib, dalam masa beliau sibuk turun ke negeri-negeri berkempen, bertemu rakyat dan menghulurkan pelbagai jenis bantuan serta "gula-gula", kebanyakan UMNO bahagian masih belum mempunyai persiapan secukupnya untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini. Gendang piliharaya hanya riuh di peringkat atasan saja sedangkan tidak berlaku apa-apa di peringkat bawahan.

Dan jika jentera pilihanraya hanya ditubuhkan setelah Parlimen dibubarkan atau setelah calon pilihanraya dikenalpasti, UMNO dan BN pasti akan menghadapi laluan sukar kali ini. Sudahlah Najib berhadapan dengan pelbagai isu dan skandal di pelbagai peringkat yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN, dalam masa yang sama Najib juga bagai "dikencing" oleh para pemimpin UMNO sendiri.

Ramai di antara mereka yang hanya memberi harapan palsu kepada pucuk pimpinan dengan harapan diri mereka akan dipilih sebagai calon dalam pilihanraya akan datang. Jika dipilih, baru mereka akan bekerja keras tetapi jika sebaliknya, mereka akan berdiam diri dan mungkin melakukan sabotaj kepada UMNO pula.

Terdapat wakil rakyat yang terang-terangan mengakui bahawa jika tidak dipilih semula oleh Najib untuk bertanding, beliau akan berehat terus daripada politik dan hanya menumpukan kepada perniagaan sahaja.

Selain itu, ada juga pemimpin yang bercita-cita menjadi calon piliharaya tetapi dalam masa yang sama tidak mahu menjaln hubungan baik dengan parti-parti komponen sehingga mengakibatkan adanya komponen BN yang memulaukan mesyuarat dan aktiviti yang dianjurkan oleh pemimpin tersebut.

Dalam keadaan di mana ramai pemimpin peringkat bahagian yang hanya pandai "menyanyi" kepada Najib serta memberi harapan palsu tetapi belum menubuhkan jentera pilihanraya masing-masing dalam keghairahan Najib mahu mempertahankan kuasa, sedar atau tidak, mereka sebenarnya sedang "mengencing" kedudukan Najib.

Sudahlah dalam masa yang sama, Najib terbeban dengan pelbagai isu dan skandal yang terus menghakis keyakinan rakyat, tindakan pemimpin UMNO yang terang-terang "mengencing" Najib itu menjadikan harapan UMNO dan BN untuk mempertahankan kuasa dalam PRU 13 ini menjadi semakin sukar

Oleh : Shahbudin Husin

No comments:

Post a Comment