Monday, January 30, 2012

NEGARA ISRAEL: ANWAR PERLU SERET ULAMA KE MAHKAMAH


TERKEJUT, marah dan tidak puas hati adalah 3 emosi pertama penulis sebaik menatap akhbar kesayangan UMNO, Utusan Malaysia pagi ini. Mana tidaknya, akhbar tersebut menafsir terus kenyataan Datuk Seri Anwar dalam akhbar The Wall Street Journal (TWSJ) pada Khamis dalam hal ’menyokong keselamatan Israel’, tanpa terlebih dahulu melihat keseluruhan konteks yang cuba disampaikan.

Tapi dengan latar belakangnya sebagai akhbar UMNO, penulis tidak sukar memahami tujuan disebaliknya.

Yang penulis sukar nak faham ialah, kenyataan beberapa orang ulama yang dipetik akhbar tersebut yang penulis lihat turut sama ‘terseret’ dalam permainan politik UMNO yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan imej dan peribadi Anwar.

Antara ulama yang kenyataannya disiarkan Utusan hari ini ialah, bekas mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, Professor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid (tokoh akademik Islam) dan Fathul Bari Mat Jahya (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia). Tidak terkecuali bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengasas Pondok Genting, Abdullah Samah.

Secara ringkasnya, kesemua kenyataan tersebut adalah bersifat negatif dan tidak selari dengan keseluruhan konteks temuramah Anwar dengan TWSJ pada Khamis.

Datuk Nooh Gadut umpamanya dipetik sebagai berkata:-

“Penolakan terhadap Israel bukan hanya kerana perkara itu ada tertulis dalam Al-Quran tetapi juga kerana Israel yang tidak mempunyai sifat kemanusian terus menindas dan membunuh orang yang tidak berdosa di Palestin”

Pada penulis, kenyataan itu memberi maksud bahawa Anwar menyokong keganasan yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Islam di Palestine sedangkan kalau dilihat dari keseluruhan konteks termuramah itu menunjukkan Anwar mengutamakan perdamaian antara Palestin dan Israel.

Ini adalah sebenarnya selari dengan firman Allah swt dalam Surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud:-

Dan berbuat baiklah kamu kepada sesama manusia sebagaimana Allah telah berbuat baik terhadap kamu, dan jangan sekali-kali kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, kerana sesungguhnya Allah tidak suka terhadap orang-orang yang melakukan kerosakan.

Sikap Nooh Gadut yang cuba menanamkan kebencian dan permusuhan antara orang Islam dan bangsa Yahudi itu tidak selari dengan statusnya sebagai cendekiawan Islam yang sepatutnya menganjur kepada berbaik-baik sesama manusia. Dan paling menyedihkan, ini bukan kali pertama Nooh Gadut memberikan kenyataan tanpa terlebih dahulu melihat keseluruhan konteks ayat yang cuba disampaikan.

Kesediaannya menjadi alat politik UMNO benar-benar menjengkelkan penulis.

Walaupun secara amnya kita menentang tindakan ketenteraan negara Israel ke atas Palestine, tapi hakikatnya bukan semua rakyat Israel yang bersetuju dengan tindakan tersebut, apatah lagi ada di antara tindakan itu bertujuan untuk mempertahankan diri mereka dari serangan puak pelampau Islam Palestine.

Penulis dan laman ini berpendapat, sudah sampai masanya untuk Anwar mengambil tindakan undang-undang ke atas kesemua nama yang disebutkan di atas sebagai amaran dan pengajaran untuk sebarang tindakan sama di masa hadapan.

Kita sudah tidak lagi boleh bertoleransi dengan golongan ulama seperti ini kerana kelihatannya, golongan ini juga tidak terlepas dari menjadi alat politik sesetengah pihak terutama sekali UMNO. Kurangnya kefahaman terhadap senario politik antarabangsa, menjadikan golongan ini mudah diperkudakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Tindakan undang-undang adalah jawapan terbaik, apatah lagi Datuk Seri Anwar sendiri telah memberikan amaran pada Sabtu supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutar belitkan kenyataanya yang disiarkan oleh TWSJ itu.

Jika tindakan undang-undang diambil ke atas akhbar Utusan Malaysia sahaja, ia tidak cukup untuk menyakinkan rakyat, apatah lagi banyak pihak dalam Pakatan Rakyat sendiri melihat Utusan sebagai akhbar UMNO dan sebarang tindakan ke atasnya adalah bersifat politik semata-mata.

Pihak-pihak yang ditemui Utusan untuk membantu putar belit mereka dalam hal ini perlu turut sama diseret ke muka pengadilan kerana mereka ini yang sebenarnya mengeruhkan lagi keadaan dengan kenyataan-kenyataan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

  1. PAS Tidak Iktiraf Kewujudan Israel
  2. Anwar Dakwa Kenyataan Tentang Israel Diputar Belit
  3. Anwar Says Israel Remarks In Line With Malaysia, UN Policy
  4. ‘Support Israel Security’: Anwar Berbicara Soal Kemanusiaan
  5. Mahkamah Bebas Anwar Suntik PKR Momentum Baru

Sumber : DI SINI

No comments:

Post a Comment