Saturday, December 31, 2011

JANJI BAPA MERDEKA

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Ungkapan ‘syarat’ ini menjelaskan keyakinan kita bahawa Merdeka hanya dapat diisi dengan menjaga tiga hak penting, iaitu Sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan hak asasi serta kebebasan sekelian rakyat. Sekelian rakyat bermaksud setiap individu, apa jua bangsa dan agama.

Kini kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri, adakah kesemua ‘syarat’ ini telah dipenuhi oleh kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan dan kini Barisan Nasional?

Ya, sistem Raja Berperlembagaan masih wujud. Ya, sistem Demokrasi Berparlimen juga masih utuh. Ya hak-hak asasi dan kebebasan juga ada jika dibandingkan dengan Myanmar, Korea Utara dan Syria.

Adakah semua jawapan ini sudah menjawab persoalan kita? Atau adakah semua jawapan ini sudah memadai? Jawabnya tentulah tidak.

Hak asasi dan kebebasan

Kita menyanjungi tokoh-tokoh kemerdekaan pelbagai kaum termasuk Tunku Abdul Rahman. Semua orang tahu Perdana Menteri pertama ini adalah tokoh UMNO.

Namun, adakah janji-janji Tunku ini benar-benar telah dilaksanakan oleh UMNO dan BN sejak beberapa dekad lalu tanpa sebarang sikap prejudis kepada semua bangsa dan ideologi politik?

Tunku di zamannya melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana punya sebab yang paling kuat, iaitu ancaman komunis yang merebak di kawasan bandar dan pinggir bandar pada awal 1960-an. Begitu juga ancaman dari luar di mana Indonesia pimpinan Sukarno semakin dipengaruhi Partai Komunis Indonesia.

Banyak parti-parti politik pada masa itu yakin dengan janji kerajaan bahawa pada suatu masa kelak, apabila gerakan bersenjata komunis terhapus, maka ISA turut dihapuskan. Malang sekali, apa yang telah berlaku selepas itu adalah sebaliknya.

Kita dapat lihat bagaimana ISA terus digunakan sewenang-wenangnya terhadap rakyat dan pimpinan parti politik pembangkang. Berapa ramai anak yang dipisahkan dengan bapanya, berapa ramai suami yang dipisahkan dengan isterinya dan berapa ramai pemuda kita yang hilang semangatnya?

Para pemimpin UMNO dan BN merasionalkannya dengan sebab-sebab yang tidak masuk akal dan tidak relevan sama sekali. Berbuih-buih mulut mereka mendakwa kononya keselamatan negara tergugat oleh peranan manusia yang ditahan itu. Hingga kini dakwaan itu tidak pernah dibuktikan.

Bukankah ini telah melanggar ‘syarat’ yang telah dimasyhurkan oleh Tunku ketika melaungkan ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957?

Kini, janji tinggal janji. Bukan sahaja ISA mahu digantikan dengan dua akta baru yang juga mempunyai peruntukan untuk tahanan tanpa bicara, malah ditambah pula dengan Akta Pehirmpunan Aman yang bakal menghalang rakyat daripada berhimpun secara aman. Tidak ada tanda-tanda hak asasi dan kebebasan akan diberikan kepada rakyat.

Raja Berperlembagaan

Kini kita dapat lihat bagaimana silap mata UMNO mempergunakan institusi mulia Raja Berperlembagaan termasuk usaha yang memalukan institusi Raja-raja Melayu sewaktu isu pindaan Perlembagaan pada 1980-an dan 1990-an dahulu. Media massa dijadikan alat untuk menjatuhkan daulat raja-raja Melayu.

Pimpinan UMNO menggunakan pelbagai alasan untuk merasionalkan tindakan politik mereka tanpa mengira institusi yang mereka hina itu. Dalam kes ini, di mana peranan DAP pada masa itu? Adakah DAP turut menyokong pindaan Perlembagaan itu? Jawabnya tidak sama sekali.

Adakah UMNO mudah lupa? Bukankah ini juga melanggar ‘syarat’ yang telah Tunku sebutkan itu?

Kini DAP pula ditohmah dan difitnah kononnya mencabar institusi raja-raja Melayu. Mungkin anak-anak muda Melayu sudah lupa pengkhianatan pimpinan UMNO terhadap raja-raja Melayu. Terpulang kepada ibu bapa mereka untuk bersikap jujur dengan anak-anak mereka hari ini.

Demokrasi Berparlimen

Aadakah benar UMNO selaku parti yang memerintah paling lama telah menjalankan amanahnya dengan memberi keadilan yang wajar untuk rakyat menyertai proses demokrasi?

Jika ya, mengapa perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu diharamkan? Jika ya, mengapa tuntutan Bersih 2.0 untuk pilihan raya adil, bebas dan bersih ditolak? Jiak ya, mengapa masih mengekalkan dan mahu menggubal pula undang-undang baru yang terus mencengkam kebebasan rakyat?

Selain tentang hak berpersatuan dan menunjuk perasaan (demonstrasi aman), adakah UMNO selaku pemerintah telah membantu mendidik rakyatnya dengan pengetahuan tentang konsep demokrasi? Berapa banyak forum mahasiswa telah dibatalkan? Berapa banyak forum tentang demokrasi, tentang hak asasi, tentang kebebasan akademik yang telah UMNO halalkan?

Pohon mati kerana akarnya

Soalan-soalan ini harus diasak secukup-cukupnya kepada UMNO dan BN. Mengapa? Kerana merekalah yang selama ini mendakwa dirinya sebagai parti paling baik, paling adil dan parti paling benar dalam perjuangannya.

Dalam Islam, apa hukumnya bagi memungkiri janji? Jika hendak mendidik DAP atau manusia yang bukan Islam, yang jahil tentang Islam atau buta tentang Islam, mereka yang mengakun diri wira Melayu Islam ini harus menunjukkan dahulu contoh teladan yang baik dan betul.

Para pemimpin yang kerjanya suka berbohong, lama-kelamaan menjadi korup. Bagi manusia yang korup, mereka sanggup berbuat dan menjual apa sahaja, baik atas nama bangsa, agama dan juga Raja.

Bak kata pepatah Melayu “siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri”.

Sumber : Roketkini.com

No comments:

Post a Comment