NEO CHEE HUA: HANCURNYA MITOS NAJIB?DEFISIT DAN HUTANG NEGARA YANG MELONJAK
NEO CHEE HUA: HANCURNYA MITOS NAJIB?DEFISIT DAN HUTANG NEGARA YANG MELONJAK
Mengikut pengalaman yang lalu, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan akan bertambah pada tahun berlangsungnya pilihan raya umum. Strategi "menggula-gulakan pengundi" adalah taktik terbaik untuk meraih sokongan. Pada hakikatnya, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan menunjukkan pertambahan yang jelas dalam dua PRU, yang berlangsung dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Misalnya, pada tahun 2004 ketika berlangsungnya PRU ke-11, perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan bertambah 21.4% kepada RM91.3 bilion. Jika dibandingkan dengan tahun 2003 dan 2002, perbelanjaan operasi hanya bertambah pada 9.5% dan 7.7% masing-masing.
Selain itu, lebihan kos perbelanjaan operasi juga berlaku secara mendadak, iaitu RM11.3 bilion, atau bersamaan 14.1%, berbanding anggaran asal belanjawan RM80.0 bilion.
Pada masa yang sama, pola yang sama juga berlaku pada tahun 2008. Perbelanjaan operasi kerajaan bertambah 24.7%, mencecah paras RM153.4 bilion. Jika dibandingkan dengan tahun 2007 dan 2006, pertambahan perbelanjaan operasi hanya pada kadar 14.2% dan 10.3% masing-masing. Selain itu, kerajaan mencatat rekod lebihan kos perbelanjaan tertinggi dalam tempoh 10 tahun, dengan RM22.2 bilion pada tahun 2008.
Melihat kepada pengalaman lalu, nampaknya PRU 13 bakal mengulangi jejak langkah dahulu. Daripada ramalan yang sedia ada, kerajaan Najib mungkin mengadakan PRU 13 antara November 2011 hingga Jun 2012.
Defisit belanjawan mungkin melonjak
Jika ia benar, belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan adalah belanjawan terakhir sebelum PRU 13. Ia adalah PRU pertama Najib selepas menerajui tampuk kerajaan, malah ujian sama ada "mitos Najib" bakal dilanjutkan. Padahal ia sama dengan keadaan ketika Abdullah Ahmad Badawi berdepan dengan PRU pada tahun 2004.
Ramai yang menjangka bahawa Najib yang mengutamakan "ekonomi" akan mempertaruhkan nasibnya dalam belanjawan kali ini - untuk mewujudkan suasana feel good agar kuasa kerajaan, dan kerusi PM-nya mampu dipertahankan. Bekas PM Abdullah Ahmad Badawi menggunakan taktik menambah perbelanjaan operasi pada tahun 2004 untuk mewujudkan suasana yang memihak kepada dirinya dalam pilihan raya.
Najib hanya mempunyai kira-kira dua bulan lagi untuk menyediakan Belanjawan 2012. Namun, kerajaannya kini berada dalam dilema - iaitu membentangkan belanjawan pilihan raya (maksudnya angka defisit perlu diperbesarkan), atau belanjawan yang menyediakan negara untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi dunia (double-dip), yang semakin tinggi risikonya.
Seandainya kerajaan Najib mengambil langkah menyediakan belanjawan pilihan raya, dan kemelesetan ekonomi global pula melanda - maka kerajaan Najib mungkin perlu menjana pakej rangsangan ekonomi, sebagaimana yang dilakukan dengan pakej RM67 bilionnya pada tahun 2009. Langkah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi ini dianggar bakal melonjakkan defisit kewangan negara kepada paras 8%, sekurang-kurangnya.
Masalah struktur
Kerajaan persekutuan sebenarnya berdepan dengan satu masalah struktur, yang mengakibatkan kerajaan Najib agak sukar untuk mengurangkan defisit kewangan. Sistem kakitangan kerajaan yang besar (1.2 juta orang) menyebabkan kerajaan persekutuan perlu menanggung perbelanjaan operasi yang tinggi setiap tahun.
Sehingga tahun 2011, gaji dan wang pencen kakitangan kerajaan mencatat jumlah RM57.8 bilion, iaitu 35.5% daripada perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan. Menurut maklumat Rancangan Malaysia ke-10, gaji dan wang pencen kakitangan awam dijangka melambung ke paras RM78.0 bilion pada tahun 2015, atau 38.1% daripada perbelanjaan operasi.
Bukan sahaja kerajaan Najib tidak menyelaraskan keadaan sumber manusia yang melambak dalam sektor awam, sebaliknya menambah institusi kerajaan atau jawatankuasa yang pelbagai untuk melaksanakan tugas "transformasi" di bawah programnya. Lebih-lebih lagi, kerajaan perlu "menyerap" graduan-graduan yang tiada pekerjaan. Oleh itu, boleh dijangkakan bahawa perbelanjaan untuk gaji dan wang pencen akan melambung dalam masa beberapa tahun yang akan datang.
Hutang yang membebankan
Di samping itu, kerajaan telah memikul beban hutang yang berat lantaran pengurusan kewangan yang tidak cekap dan sikap yang membazir. Sehingga tahun 2010, hutang tertunggak yang dipikul kerajaan persekutuan telah mencecah RM408.2 bilion, atau bersamaan 52.7% GDP.
Hampir 98% pendapatan kerajaan persekutuan dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi, maka kerajaan tidak mempunyai lebihan modal untuk perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, cara kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara adalah dengan menerbitkan bon.
Perlu diingatkan, bon yang belum dijelaskan (dibayar) oleh kerajaan persekutuan antara tahun 2010 dengan 2020 berjumlah RM326.1 bilion. Cara kerajaan menyelesaikan hutang ini adalah dengan menerbitkan bon baru, yang akhirnya menyebabkan hutang semakin memberat. 【Baca: Mampukah Malaysia selesaikan hutang RM101.65 bilion dalam 3 tahun?】
Misalnya, kos perkhidmatan hutang kerajaan persekutuan adalah RM14.2 bilion dan RM15.9 bilion, pada tahun 2009 dan 2010, dengan purata kadar pertambahan tahunan yang melebihi 11%. Ia mencatat RM18.5 bilion pada tahun 2011, dengan pertambahan mendadak 16.6%. Menurut anggaran kerajaan persekutuan, kos perkhidmatan hutang bakal melonjak kepada RM24.9 bilion pada tahun 2015, dengan pertambahan 34.6% berbanding tahun 2011.
Banyak projek mega di bawah Program Transformasi Ekonomi, termasuk projek sistem MRT yang melebihi RM50 bilion, projek pembangunan hartanah Sungai Buluh yang bernilai RM10 bilion, projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang bernilai RM26 bilion dan sebagainya.
Antaranya, banyak projek yang dijalankan dengan terbitan bon daripada kerajaan persekutuan, misalnya projek sistem MRT. Seandainya projek ini bermasalah, misalnya kerugian berlaku, maka kerajan perlu menanggung hutang ini, yang semestinya menjurus kepada defisit kewangan yang lebih ketara.
Di pinggiran muflis?
Kerajaan persekutuan kini berdepan dengan masalah perbelanjaan melebihi pendapatan. Lebih penting, pendapatan kerajaan ditunjangi sumber petroleum. Seandainya keadaan ini berterusan, maka kerajaan perlu berhutang lebih untuk menampung perbelanjaan harian - umpama orang yang menampung belanja harian dengan kad kredit - semestinya berdepan dengan nasib muflis seandainya gagal menjelaskan hutang.
Pengkaji ekonomi Universiti Sains Malaysia, Suresh Narayanan dalam satu tulisannya menyebut, kerajaan persekutuan bergantung kepada pendapatan petroleum dan simpanan wang dalam negara untuk mengendalikan masalah defisit kewangan. Beberapa sumber pendapatan tradisional kerajaan memperlihatkan pola menurun, atau bertambah pada kadar yang perlahan, untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini menyebabkan kerajaan bergantung kepada cukai petroleum, dividen Petronas dan sumber pendapatan petroleum yang berkenaan untuk menampung perbelanjaan kerajaan.
Namun, beliau mengingatkan, petroleum bukan sahaja sumber semulajadi yang tidak boleh dikitar-semula, malah bergantung kepada harga pasaran yang tidak stabil, maka ia boleh dikatakan sumber pendapatan yang tidak stabil untuk kerajaan. Justeru itu, kerajaan perlu lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan, tidak memboros dan menerokai sumber pendapatan yang lebih stabil.
No comments:
Post a Comment