Sunday, August 7, 2011

MARI BERFIKIR SEJENAK

Kalau pokok getah sudah menggurutu, elok di lakukan 'replanting' - Cari benih baru.

Kali ini saya menulis tentang pengalaman hidup dan membesar di kampong pedalaman jauh dari kesibukan bandar yang sekecil bandar di daerah saya. Kalau kita hidup dan tinggal di kampong sebelum pembangunan tiba akan ada pengalaman yang orang muda-muda sekarang tidak lalui. Kami merupakan keluarga petani dan pesawah serta mengendalikan kebun kecilan yang di ditinggalkan oleh datuk kami Haji Kasim.

Semuanya yang kita dilakukan secara conventional termasuk menanam semula getah. Semasa itu tidak ada pertubuhan seperti Risda untuk membantu mengendalikan tanaman semula getah seperti sekarang. Semasa itu jarang-jarang pekebun kecil menanam semula dengan menebang pokok-pokok getah tetapi menggunakan racun yang di sembor kepada pokok-pokok itu. Pokok-pokok itu akan mati selepas enam bulan dan hanya selepas itu baru boleh menanam pokok yang baru di celah-celah pokok yang mati itu.

Sementara menunggu pokok-pokok itu mati merupakan waktu yang boleh di jadikan pelajaran setidak-tidaknya kepada diri saya yang mengalaminya kerana selalu dibawa bersama oleh datuk saya ke kebun semasa itu.

Sesungguhnya jika pokok getah itu diracun satu perkara yang amat jelas berlaku yang saya jadikan sebagai pelajaran. Selepas sahaja pokok-pokok getah itu kami racun, sehari dua selepas itu kami dapati susunya keluar dangan banyak. Kalau selalunya apabila kami toreh getah itu susunya hanyalah setengah tempurong yang menjadi tadahan susu getah tersebut.

Selama 6 hingga tujuh bulan susunya mengalir dengan banyak dan pendapatan yang belebihan sewaktu menunggu pokok-pokok itu mati telah dapat digunakan untuk membiayai belanja harian dan boleh disimpan untuk belanja semasa pokok-pokok baru yang di tanam itu membesar dan boleh di toreh.

Secara saintifiknya saya dapat belajar yang pokok getah itu hidup dengan susunya. Apabila diracun pokok itu susunya akan mengalir dengan banyaknya apabila di toreh. Apabila ditoreh susu yang mengalir dengan banyaknya itu akan akhirnya kekeringan dan pokok itu akan mati.

Lagi selalu ditoreh lagi cepat pokok itu akan mati. Itu sebabnya datuk saya kadangkala menoreh pokok-pokok getah itu dua kali sehari. Di samping dapat susunya yang banyak ianya juga akan mempercepatkan pokok-pokok itu mati untuk di tanam semula dengan benih-benih baru. Saya bergembira kerana datuk saya memberikan saya belanja yang lebih untuk kesekolah kerana pendapatannya bertambah kerana susu getah yang banyak.

Selalunya saya diberikan 0.15 sen sehari tetapi selama 6 bulan itu datuk saya beri saya 0.25 sen. Dapatlah saya membeli ice-cream tikam yang dijaja oleh seorang tionghwa setiap hari. Setiap petang saya pergi kekebun yang sangat dekat dengan rumah kami untuk mengumpulkan getah sekerap untuk dijual bagi membeli perkakas-perkakas yang penting untuk kegunaan sekolah saya.

Setelah 6 atau tujuh bulan semua pokok itu telah mati dan di ambil alih oleh pokok-pokok yang baru yang telah ditanam secara beransur-ansur sebelum pokok-pokok tua itu mati.

Apa yang saya hendak sebut dalam tulisan ini ialah isu susu getah yang begitu banyak mengalir sebelum pokok-pokok itu mati. Susunya mengalir tidak berhenti-henti sehingga pokok-pokok itu mati. Isunya ialah apabila kita menorah getah itu tidak berhenti-henti memang kita mendapat susu nya dengan banyak tetapi akhirnya pokok itu mati. Inilah pelajaran yang saya maksudkan itu.

Saya khuatir kerana kerajaan kita sedang berbelanja dengan begitu besar tanpa had sejak 3 dekad yang lalu. Segala kekayaan kita telah ditoreh dengan tidak terancang dan bibit-bibit kesusutan kekayaan itu sudah mula kita lihat dan kita rasakan. Kesusutan kekayaan itu sekarang membuatkan kerajaan meminta rakyat untuk menampongnya melalui penarikan balek subsidi yang selama ini dirasai oleh rakyat yang ramai khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam pada itu banyak rancangan-rancangan kerajaan yang membebankan rakyat. Apabila projek yang paling raksaksa MRT itu siap dengan sempurna sebanyak lebih dari 60 billion ringgit telah dibelanjakan. Harga projek itu telah dibuat secara runding terus. Rakyat tidak faham kenapa projek sebesar itu tidak dilakukan sebut harga melalui ‘international tender’ yang mungkin akan hanya berharga 30 billion riggit.

Kenapa cari jalan yang mahal untuk melaksanakan projek ini? Jika kosnya terlalu tinggi rakyat akan membayar perkhidmatannya dengan harga yang tinggi juga. Kenapa dinampakan sangat niat dan tujuan yang tidak baik itu kepada rakyat?

Benar, negara kita kaya tetapi manusia yang berkuasa dan berpengaruh telah mencuri harta rakyat secara sistematik melalui runding terus tadi. Apa yang ditakuti jika kekayaan kita akan hilang seperti apa yang berlaku kepada pokok-pokok getah yang di racun seperti yang saya ceritakan tadi.

Takut-takut wang yang mengalir dengan begitu banyak itu akan akhirnya kehabisan seperti kehabisan susu kepada pokok yang di racun tadi. Apabila susunya kekeringan pokok itu mati dan jika kita berbelanja seperti pengaliran susu dari pokok getah yang di racun tadi, kantung negara akan akhirnya kosong.

Akhirnya rakyat juga yang akan sengsara sedangkan kontraktor yang datang dari keluarga yang berpengaruh itu sahaja yang akan senang lenang bersama dengan konsultan projek itu serta agen-agen yang mendapat komisyen yang besar-besar itu.

Kalaulah begini keadaannya mungkin menanam semula kebun getah dengan menggunakan racun tadi tidak boleh lagi di laksanakan. Kita mungkin dipaksa menggunakan sistem tebang sahaja semua pokok-pokok yang tidak berguna tadi dan di tanam dengan benih-benih baru dari klon yang baru dan menghasilkan.

Mungkin barisan kepimpinan kita juga terpaksa dilakukan ‘replanting’ secara besar-besaran kerana kebanyakkan dari mereka tak ubah seperti pokok-pokok getah tua yang sudah ‘menggurutu’ kulitnya.

Jika kita lakukan replanting seperti ini ada peluang bagi kita memulakan torehan secara baik dan sistematik supaya pokok-pokok getah itu tidak lagi ‘menggurutu’ lagi. Kalau kita dapat susu yang baik harga di pasaran pun akan lebih tinggi lagi.

Kepada anak-anak muda sekarang, kita mesti belajar dari elemen-elemen buruk ini. Mempelajari dari kesilapan orang lain itu merupakan cara pembelajaran yang terbaik dari belajar dari kesilapan sendiri yang lazim kita lihat sekarang.

Oleh : Aspan Alias


No comments:

Post a Comment