Monday, August 1, 2011

KONSPIRASI KE-2 : PIHAK PEMBELAAN FAIL 10 SAKSI ALIBI UNTUK DITEMUBUAL

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menambah 10 nama saksi pembelaan yang telah difailkan pada 26 Julai lalu.

Anwar dalam notis itu menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Permohonan itu difailkan sebelum Anwar meneruskan prosiding membela diri dalam perbicaraan konspirasi kedua terhadapnya.

Senarai 10 saksi alibi terbaru itu turut menamakan dua individu berprofil tinggi, termasuk bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Mohamad Ariff Abdul Kareem dan ketua pegawai operasi Bursa Saham Malaysia Omar Malek Ali Merican.

Pada 26 Julai, Anwar memfailkan satu notis usul memohon pihak pembelaan dibenarkan menemu bual lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

Selain menamakan Najib dan Rosmah, Anwar turut menamakan tiga saksi yang lain.

Mereka ialah Hasanuddin Abd Hamid pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Setakat ini, mereka telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid, adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel, dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.

Sementara itu menurut peguam Anwar yang ditemui di lobi mahkamah memberitahu, permohonan yang difailkan hari ini adalah untuk mengumpulkan bukti dan keterangan sebelum perbicaraan bermula.

"Kami tidak perlu menyatakan mengapa kami mahukan tambahan 10 saksi terbaru ini kerana kami mempunyai hak untuk melakukan demikian. Kami harap boleh dapatkan keterangan mereka pada 3 Ogos ini," katanya.

Sumber : TVS News

No comments:

Post a Comment