Friday, August 5, 2011

ABD SHUKUR HARUN : 54 TAHUN MERDEKA – BAGAIMANA SEKARANG?

Hanya minggu saja lagi rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara e-54, suatu detik bersejarah yang amat gemilang hasil usaha generasi masa itu dan sebelumnya menuntut kemerdekaan.

Orang kampung saya di Serkat, Pontian Johor begitu gembira dan sentiasa meneriakkan ‘Merdeka’ dengan mengangkat tangan penuh semangat. Mereka bangga dapat ‘menghalau’ penjajah pulang ke negerinya. Siang malam orang memperkatakan merdeka dan meneriakkannya di mana-mana – di masjid dan surau, di kedai kopi, di pengkalan sungai tempat memunggah ikan, di bangsal kelapa dan di mana-mana.

Suasana menjelang 31 Ogos itu sangat menarik, di mana orang kampung saya dan tem[pat lain juga menyambut seperti hari raya. Mereka mendengar radio dan membeli akhbar jauh di pekan untuk mendapat berita terkini iaitu bagaimana detik-detik bendera Union Jack yang akan diturunkan dan kemudian dinaikkan bendera negara ini.

Mereka gembira tanah air akan merdeka, negara ini diperintah oleh anak negeri sendiri yang bersongkok dan berbaju Melayu berkain samping, bukan Mat Saleh yang berkot dan bernektai yang datang dari England. Anak negeri bangga dapat mencapai kemerdekaan dan memerintah sendiri negara ini.

Itulah yang mereka tahu mengenai kemerdekaan tanah air. Pengetahuan mereka mengenai kemerdekaan berhenti setakat itu saja. Mereka tidak tahu akan erti demokrasi berparlimen, konsep dan falsafahnya, kebebasan bersuara, hak-hak asasi dan sebagainya.

Namun menariknya, para pejuang kemerdekaan ini tidak memikirkan hendak menimbun kekayaan apabila berkuasa, tidak terfikirkan mengenai rasuah dan nepotisme, politik wang dan sebagainya.

Mereka hidup dalam keadaan serba sederhana, namun jiwa perjuangan mereka sangat tinggi, justru mereka mengunyah idealisme dengan begitu hebat

Hari ini – lima puluh empat tahun kemudian – suasana sangat berbeza. Erti kemerdekaan tidak berhenti setakat menggenggam tangan melaungkan merdeka, menurunkan bendera Union Jack, mengibarkan bendera Tanah Melayu, ‘menghalau’ Orang Puteh dan sebagainya.

Generasi kini menghendaki pengisian kemerdekaan itu dengan tuntutan demokrasi yang luas, kebebasan bersuara, pilihan raya yang adil dan bersih serta terjaminnya hak-hak asasi manusia. Mereka juga menuntut pembahagian adil kekayaan negara.

Di sinilah, ketika saya merenung peristiwa Himpunan Bersih 2.0 di Ibu Negara 9 Julai lalu saya segera terkenang akan suasana masa lampau 54 tahun lalu itu, zaman datuk nenek dan ayah bonda kita semua, bahkan zaman remaja saya sendiri.

Himpunan Bersih 2.0 yang menggegarkan negara adalah cetusan dan manifestasi pengisian tuntutan kemerdekaan itu sendiri. Mereka yang berhimpun itu - pelbagai bangsa dan agama - kebanyakannya adalah golongan terpelajar yang mendapat pendidikan di dalam dan luar negara. Mereka adalah golongan yang terdidik.

Mereka memahami erti pilihan raya yang bebas dan demokrasi serta hak-hak asasi manusia hasil dari bacaan dan pendedahan yang mereka terima dari pelbagai sumber. Mereka terdedah dengan pelbagai maklumat dari dunia siber yang terbuka luas tanpa sempadan. Mereka menekuni pelbagai wabe-site, blog, You-Tube, Twitter, Face-book dan pelbagai media lain dalam dan luar negeri. Mereka menentang pemerintahan secara feudal dan kuku besi.

Mereka adalah generasi yang mendapat maklumat dari ‘professor Google dan Yahoo’, mereka adalah generasi face-book di mana persepsi mereka sangat berbeza sekali dengan generasi masa lalu.

Mereka merasakan sudah sewajarnya rakyat negara ini yang telah 54 tahun merdeka menikmati demokrasi sepenuhnya dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Mereka enggan dikongkong oleh pelbagai sekatan, akta yang tidak munasabah yang menyekat kebebasan mereka.

Sebab itu apabila para NGO mengadakan Himpunan Bersih 2.0, mereka segera menyokongnya, justru mereka mempunyai aspirasi yang sama dengan Bersih 2.0. Mereka meluncur laju ke tengah Ibu Kota dari pelbagai jalan dan lorong dengan aman. Tidak ada harta benda awam yang dirosakkan. Mereka penuh disiplin walaupun suara mereka agak keras.

Inilah phenomena generasi baru, generasi Face-book. Namun begitu yang menariknya, golongan generasi lama yang penuh semangat masih wujud dan mereka ini ikut serta menuntut kebebasan bersuara menerusi Himpunan Bersih 2.0 itu. Inilah yang dikatakan bahawa
Himpunan Bersih 2.0 sangat unik.

Ia adalah himpunan multiracial society. Inilah yang menyebabkan Sasterawan Negara, A. Samad Said sangat terharu dengan perpaduan kaum yang menyerlah di dalam Himpunan Bersih 2.0 itu.

Persoalannya di sini ialah himpunan tersebut telah disalahtafsirkan atau dikelirukan oleh golongan tertentu yang berkepentingan. Dalam masa yang sama pemimpin pemerintah tidak memahami atau tidak bersedia untuk memahami aspirasi generasi baru ini dan juga sebahagian golongan generasi lama yang prihatin dengan pergolakan di negara ini.

Para pemimpin yang tidak memahami aspirasi rakyat inilah menyebabkan timbul pelbagai masalah dan kejutan diiringi dengan pelbagai tuduhan bahawa kononnya Himpunan Bersih 2.0 didalangi oleh anasir luar yang hendak menimbulkan huru hara dan pelbagai tuduhan jahat lain. Pada hal jika himpunan itu dibenarkan, tanpa gangguan pancutan air dan gas pemedih mata, saya yakin ia akan berjalan secara aman.

Saya merasakan inilah yang terjadi apabila pemimimpin yang berkuasa itu, pertamanya dia tidak mememahami situasi masa kini, Kedua, tidak memmahami asporasi generasi baru dan ketiga, kemahuan untuk mempertahankan kuasa melebihi segala-galanya. Inilah yang menimbulkan masalah.

Disebabkan mereka tidak memahami situasi masa kini dan tidak bersedia walaupun hanya untuk mendengar suara rakyat, menyebabkan meruncingnya suasana politik masa kini. Umno/BN telah memerintah 54 tahun, suatu tempuh yang sangat

lama dan ini menyebabkan mereka terlalu yakin bahawa mereka tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapapun dan setiap suara yang bersifat kritikal dengan kekuasan mereka akan ditentang.

Dengan itu walaupun Himpunan Bersih 2.0 itu hanya menuntut pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil ia telah ditafsirkan sebagai usaha mencabar kekuasan mereka. Maka terjadilah apa yang terjadi.

Sungguh malang, selepas 54 tahun merdeka, pemimpin pemerintah masih berfikir seperti zaman 70-an atau 80-an dengan segala yang ada pada zaman itu. Mereka perlu sedar bahawa mereka berada di zaman dunia siber dengan maklumat yang sangat terbuka. Kita telah merdeka tetapi belum menikmati kebebasan.

Sumber : DISINI

No comments:

Post a Comment