Pejabat Peguam Negara hari ini mengesahkan telah menerima kertas siasatan daripada polis ke atas beberapa pemimpin pembangkang dan Bersih 2.0 berhubung pembabitan mereka pada perhimpunan 9 Julai lalu yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.
Ketua pendakwaraya di pejabat Kuala Lumpur, Raja Rozela Raja Toran, ketika dihubungi berkata senarai nama itu termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen Batu Tian Chua dan juga pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
"Ya, mereka sebahagian daripada pemimpin utama (yang kertas siasatan telah diterima),” katanya kepada Malaysiakini.
Raja Rozela bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kertas siasatan yang diterima pejabatnya daripada polis.
"Ada beberapa. Kami juga menerima beberapa kertas siasatan (berhubung perhimpunan) itu,” katanya,
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini dilaporkan berkata polis telah selesai menjalankan siasatan berhubung perhimpunan 9 Julai itu dan telah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Awal minggu ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kertas berkenaan dijangka siap hujung minggu ini dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
Lazimnya, pihak peguam negara akan mengambil masa bagi menyemak kertas itu dan ada kalanya ia akan dikembalikan kepada polis untuk siasatan lanjut sekiranya ia tidak lengkap.
Pada perhimpunan 9 Julai itu, tidak kurang 1,600 ditangkap. Mereka kemudiannya dilepaskan selepas kenyataan mereka dirakamkan.
Sumber : TVSNews
Ulasan :
Kita akan tenguk pancak silat Najib seterusnya.
No comments:
Post a Comment