Monday, July 4, 2011

AHMAD TAJDID : MISTERI DAKWAT KEKAL: SIAPA BOHONG... SPR ATAU KABINET?

SALAH satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan dakwat kekal kepada mereka yang telah membuang undi. Tuntutan penggunaan dakwat kekal ini telah disuarakan oleh Bersih bagi tujuan menghalang pengundian dua kali. Amalan ini telah dipraktikkan oleh beberapa negara termasuk India, negara pengamal demokrasi terbesar dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awalnya bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal ini. Malah kerajaan BN yang menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 turut mempersetujuinya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Raman Suliman dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 5 September 2007 berkata, keputusan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada PRU ke-12 (8 Mac 2008) bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

"Kita mahu rakyat percaya 100 peratus bahawa proses demokrasi sememangnya dilaksanakan di negara ini. Atas sebab itu, SPR menggunakan dakwat supaya tidak ada tuduhan di buat ke atas suruhanjaya itu walaupun memang tiada sebarang (asas) pun," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat.

Menjawab soalan asal Dato' Dr. Tan Kee Kwong (BN-Segambut), beliau berkata, SPR akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada PRU ke-12.

"Ini bermakna setiap pemilih akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi setelah namanya disahkan terdapat dalam daftar pemilih SPR yang digunakan untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun janji SPR dan kerajaan BN itu tidak kesampaian kerana hanya 4 hari sebelum PRU ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, negara dikejutkan dengan sidang akhbar bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Pada sidang media itu, Abdul Rashid mengumumkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu kerana kononnya terdapat pihak tertentu dari Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara dan merancang untuk mencalitkannya pada kuku pengundi di luar bandar bagi menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka.

Malah menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan kerana disyaki membawa masuk dakwat kekal tersebut bagi mensabotaj perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun tindakan SPR itu tidak disenangi anggota komponen BN khususnya Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada 5 Mac 2008 berkata, tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal sedikit sebanyak menjejaskan tanggapan baik pengundi terhadap kerajaan.

Menurutnya, walaupun SPR sebuah badan bebas, namun segala yang diputuskan oleh suruhanjaya itu sering disalah anggap sebagai keputusan kerajaan BN.

"Justeru tindakan (terbaru) ini juga akan dilihat sebagai kelemahan kerajaan sedangkan keputusan itu dilakukan oleh SPR," katanya kepada pemberita.

MCA turut menyatakan rasa kesal dan mempersoalkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian.

Pengerusi Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA Pusat, Wong See Wah berkata, SPR seharusnya mengkaji penggunaan dakwat berkenaan sebelum melaksanakannya dan bukan membatalkan cadangan pada saat-saat akhir.

"Kami juga marah dengan tindakan sesetengah pihak yang terlibat dalam penyeludupan dakwat kekal dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun sehari kemudiannya, komen-komen menyokong tindakan SPR itu mula dilaporkan media pro-BN guna mempengaruhi pendapat umum.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia pada 6 Mac walaupun menyifatkan tindakan itu sebagai 'satu kejutan' tetap memberikan sokongan kepada SPR yang disifatkan "telah mengambil keputusan yang betul" dan "berani mengambil tindakan tidak popular demi menegakkan keadilan".

Akhbar milik Umno itu yakin dengan penjelasan SPR dan polis kononnya ada rancangan pihak terbabit hendak mencalit dakwat kekal pada kuku pengundi di kawasan luar bandar.

"Bayangkan jika SPR memandang ringan perkara ini. Bagaimana jika pihak tertentu itu berjaya memperdaya dan mencalit dakwat pada kuku pengundi berdaftar di kawasan luar bandar itu adalah pengundi yang berhasrat mengundi BN.

"Bagaimana dia hendak dibenarkan masuk ke pusat mengundi jika kukunya sudah dicalit dakwat. Sudah tentu dia tidak dibenarkan mengundi.

"Kekecohan tentu berlaku dan keselamatan pengundi dan penyokong parti-parti politik tidak terjamin. Perkara yang sama juga tentu tidak digemari oleh parti pembangkang jika perbuatan sabotaj ini terkena kepada pengundi yang mahu menyokong mereka," akhbar itu berhujah.

Sentimen sama dikongsi Najib Razak yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sambil menyifatkan tindakan SPR itu sebagai tepat, Najib menegaskan dakwaan kononnya mungkin berlaku unsur sabotaj untuk menimbulkan kekecohan pada hari mengundi.

Menurutnya, ada pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat yang sama pada kuku jari sehingga menyebabkan mereka tidak layak mengundi.

"Kalau tidak layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan ketegangan pada hari mengundi.

"Jadi tindakan SPR ini merupakan satu langkah yang amat tepat,” kata Najib selepas menghadiri majlis peneroka bersama pemimpin dan pelancaran Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu pada 5 Mac 2008.

Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad pula menyifatkan penggunaan dakwat kekal akan mewujudkan banyak masalah apabila para pengundi menolak peraturan baru tersebut pada hari pembuangan undi.

"Mengikut peraturan yang dicadangkan oleh SPR, seseorang pengundi diberi pilihan sama ada mencalit dakwat di kuku dan jika tidak mahu, mereka perlu menandatangani borang yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, pengundi juga berhak menolak untuk tidak menandatangani borang itu dan akhirnya kertas undi diberi juga. Inilah yang mengelirukan orang," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein turut melihat keputusan SPR itu sebagai munasabah.

"SPR merupakan satu badan bebas. Sekiranya tindakan ini dapat menghalang kemunculan dakwat yang mencurigakan dan boleh menggugat ketelusan pilihan raya, maka kami Pemuda tidak ada masalah dengan keputusan itu," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd. Taib pula percaya SPR bertindak demikian selepas menyedari terdapat cubaan untuk menggagalkan pelaksanaannya semasa proses pengundian.

"Apa yang membimbangkan, sekiranya dilaksanakan juga sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak," ujarnya.

Manakala Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.

Setiausaha Kerja Umno, Husainay Hashim pula dilaporkan berkata, pembatalan cadangan penggunaan dakwat kuku tidak perlu dipertikaikan kerana dibuat demi menjamin kelancaran proses pengundian.

Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno, Kamelia Ibrahim berkata, dakwat itu digunakan sebagai ‘senjata’ oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo berpendapat, proses pembuangan undi sebelum ini lebih sesuai digunakan daripada menggunakan tanda dakwat kekal di kuku.

"Lebih baik kita mengadakan pilihan raya seperti biasa jika penggunaan dakwat ini bakal menimbulkan masalah dan 'mengancam keselamatan negara'," katanya mengulangi kata-kata hikmat pemimpin Umno dan BN.

Akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak akur dengan keputusan SPR yang membatalkan penggunaan dakwat kekal kerana ia dibuat bagi melancarkan proses pilihan raya umum.

Menurutnya, langkah SPR itu bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini bukan kali kedua atau ketiga kita terlibat dalam pilihan raya tetapi dah masuk 12 kali. Kemenangan kita dalam pilihan raya adalah berdasarkan kepada kerja kuat, kepercayaan rakyat dan bukan kerana kita menipu," katanya penuh yakin.

Begitulah bersemangatnya para pemimpin Umno mempertahankan langkah SPR dan sekali lagi faktor 'keselamatan negara' dijadikan hujah untuk menyokong sikap 'flip-flop' SPR itu.

Bagaimanapun cerita sebenar pembatalan penggunaan dakwat kekal itu didedahkan sendiri Ab. Rashid ketika merasmikan "Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008: Demokrasi Berjalan" anjuran Unit Kajian Penyelidikan Pilihan Raya, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 17 Mei 2008, kira-kira dua bulan selepas PRU12 berlangsung.

Ketika menjawab soalan Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan, Pengerusi SPR itu mengakui bahawa keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal di kuku jari pengundi itu dibuat atas ARAHAN KABINET.

"Kabinet menolak cadangan (penggunaan dakwat kekal) itu. Cadangan peraturan itu ditolak kabinet," kata Ab Rashid selamba.

Bagaimanapun Ab. Rashid mendakwa kononnya anggota PAS membeli dakwat tersebut daripada Thailand dan merancang mencalitkannya pada kuku jari pengundi-pengundi tua di kampung-kampung.

"Umno juga beli dakwat tersebut," dakwanya.

Beliau turut menyatakan pandangan bahawa penggunaan dakwat kekal itu bertentangan dengan artikel 119 Perlembagaan.

Pengakuan Ab. Rashid ini tentunya mengejutkan. Jelas SPR yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas telah tidak bersikap bebas kerana menerima bantahan kabinet. 'Keberanian' beliau untuk mendedahkan perkara sebenar bukan suatu yang mengejutkan kerana Ab. Rashid sebenarnya bersara daripada jawatannya pada hujung tahun 2008.

Pengakuan terbuka Ab. Rashid yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily tentunya menarik minat para pemimpin Pakatan Rakyat. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab di Parlimen pada 24 Jun 2008 mendakwa Ab. Rashid bersama-sama Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah menipu rakyat dengan menyatakan keselamatan sebagai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan sedangkan ia adalah arahan kabinet.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz yang memang terkenal dengan tabiat 'bersilat lidah'nya menafikan dakwaan Ab. Rashid itu dengan berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan Ab. Rashid untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-12.

Kata Nazri, walaupun Jemaah Menteri tidak menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal itu namun mereka hanya meminta Ab. Rashid menimbangkan perkara tersebut dengan mengambil kira pelaksanaannya mungkin bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini berbangkit di mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu sebelum pembubaran Parlimen," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Guan Eng (DAP-Bagan).

Namun Nazri mendakwa keputusan sama ada untuk meneruskan penggunaan dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR sebagai autoriti yang kompeten dan bebas, kononnya.

Tambah Nazri, kerajaan juga belum bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi SPR atas kenyataannya bahawa beliau telah diarah oleh Jemaah Menteri untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal.

Nampaknya masing-masing pihak mengelak untuk bertanggungjawab dalam isu ini. Ab Rashid menyalahkan kabinet dan kabinet pula melalui parlimen mendakwa Pengerusi SPR berbohong.

Berbohong sudah menjadi lumrah pemimpin BN dan sedikit demi sedikit sudah mula ditiru golongan birokrat. "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong LAMA-LAMA JADI MENTERI," bait puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Usman Awang mengukuhkan lagi tanggapan ini.

Oleh kerana tidak sanggup untuk dibohongilah Bersih 2.0 muncul dengan lapan tuntutan baru termasuk penggunaan dakwat kekal ini.

Pengerusi SPR yang baru, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam satu kenyataan bertarikh 17 Januari 2009 mendakwa SPR tidak menolak kemungkinan menggunakan dakwat kekal dalam PRU akan datang selepas penggunaannya dibatalkan semasa PRU ke-12.

SPR sedang mengkaji kelemahan penggunaan dakwat kekal itu untuk proses penambahbaikan supaya rancangan penggunaannya dapat diteruskan, katanya.

Katanya, jika penggunaan dakwat kekal pada kuku itu didapati mampu menawarkan proses pengundian lebih telus dan adil kepada pengundi, ia mungkin digunakan pada masa depan, katanya ketika meninjau proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah, Pasir Panjang.

Kata Abdul Aziz, kajian tersebut boleh siap dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang berlangsung.

Bagaimanapun jelasnya, jika hasil kajian diperoleh lebih awal, SPR akan menggunakannya dalam mana-mana pilihan raya kecil jika ada.

"Lagi cepat lagi baik. Jika cepat, kita akan mulakan dengan pilihan raya kecil jika ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.

Itulah janji Abdul Aziz. Tapi hingga kini tiada tanda-tanda dakwat kekal akan digunakan. Beliaupun sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk berbohong seperti Pengerusi SPR terdahulu.

Ini menjadi alasan paling kukuh mengapa kita perlukan Bersih 2.0.

Ia bukan sahaja untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil. Ia juga perlu untuk membersihkan negara daripada para pembohong dan pendusta.

Sumber : Harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment