Monday, June 6, 2011

PAS MELAKUKAN PERUBAHAN - UMNO PENING-PENING LALAT

Heboh di kalangan pemimpin kita dalam UMNO mengeluarkan komen tentang hasil muktamar PAS yang baru selesai semalam. Isu yang paling popular ialah isu pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang telah mengalahkan Nasharudin Mat Isa dan Uztaz Tuan Ibrahim.

Yang terakhir ialah komen dari Nazri Aziz yang telah mengadakan sidang akhbar semata-mata untuk membuat komen dan seperti pemimpin lain Nazri juga adalah di kalangan yang runsing dengan perubahan yang berlaku di dalam PAS. Runsing mereka ialah kerana mereka merasakan yang perubahan yang agak besar di dalam PAS itu mungkin memudharatkan UMNO/BN didalam pilihanraya yang akan datang.

Bagi saya pula, saya baru sahaja menulis tentang keperluan kita untuk berubah dan itu tuntutan Islam. Saya ulangi yang kita wajar berubah mengikut waktu dan zamannya. Islam itu progressif, dan Islam itu hidup di sepanjang zaman. Islam itu universal dan ianya merangkupi semua bidang kehidupan. Jika PAS melakukan perubahan maka ianya sedang mengikut kehendak agamanya supaya melakukan perubahan untuk menyesuaikan mengikut waktu dan zamannya.

Ramai orang boleh membahaskan mengikut selera politik masing-masing tetapi yang yang penting sekali untuk kita sedar ialah perubahan itu menakutkan UMNO yang masih statik dan tidak berupaya untuk berubah sedangkan rakyat yang dipimpinanya sudah jauh berubah. Perubahan yang dilakukan oleh PAS itu tidak semestinya mereka lari dari asas perjuangannya. Kita boleh berijtihad tetapi kita tidak lari dari asas Islam yang sejati.

Nazri telah mengandaikan yang perubahan di dalam PAS itu ialah untuk menjadikan Hadi Awang sebagai pemimpin alternatif kepada Pakatan Rakyat dan jika ini benar Nazri berpendapat yang Hadi sedang berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti. Komen Nazri itu membayangkan yang apa yang di takuti oleh UMNO bukannya siapa yang berkuasa di dalam PAS.

Yang ditakuti oleh Nazri itu ialah ‘consequence of events’ yang mungkin boleh mempengaruhi rakyat untuk meninggalkan sokongan kepada UMNO dan mengalihkan dukongan mereka kepada PAS kerana kesediaan PAS untuk melakukan perubahan kepada yang lebih baik. Apa yang sebutkan oleh Nazri itu merupakan seratus peratus ‘political statement’ semata-mata untuk menimbulkan perasaan curiga PKR kepada PAS.

Pemimpin-pemimpin kerajaan BN menumpukan usaha untuk memisahkan gulungan ulamak dan yang liberal dan bermacam-macam jenama yang diberikan terhadap masing-masing kumpulan dalam PAS. Itulah sebabnya ramai yang memberikan persepsi yang UMNO itu sebuat parti yang ‘desperate’ kerana sudah tidak mampu melakukan perubahan seperti yang dilakukan oleh parti-parti yang mereka musuhi.

UMNO seperti dulu juga mahu mengambil kesempatan di atas perpecahan pihak lawan Itulah sebabnya sokongan yang di dapati oleh UMNO bukannya sokongan yang legitimate tetapi meraih sokongan di atas perpecahan pihak lain. Itu tidak memeranjatkan sesiapa kerana wujudnya UMNO yang didaftarkan pada tahun 1988 dahulu itu adalah berlandaskan kepada perpecahan di kalangan UMNO dan parti baru ini mengambil perpecahan pihak lain sebagai senjata ampuh untuk memenangi pilihanraya.

Nazri cuba menakut-nakutkan rakyat yang Hadi akan menjadi PM jika Anwar tidak dapat mempertahankan diri di dalam banyak isu peribadi beliau. Saya ingin bertanya, jika Hadi menjadi PM apa salahnya? Apakah seorang yang berserban tidak layak menjadi PM? Apakah salahnya jika pemimpin PAS menjadi PM?. Kenapa ada ‘preconception’ yang orang seperti Hadi tidak boleh menjadi PM jika betul pun beliau mahu mencubanya?

Sedangkan kaki rasuah dan penyalah gunaan kuasa pun boleh menjadi PM apa salahnya pemimpin yang belum ada rekod menyalah gunakan berbillion-bilion ringgit wang rakyat menjadi PM? Adakah jawatan PM itu hanya untuk perasuah-perasuah sahaja?. Bukankah perlembagaan negara tidak membataskan yang jawatan PM itu hanya untuk orang UMNO sahaja.

Sesungguhnya kita dapat melihat pimpinan UMNO masih tidak dapat membuat pengakuan yang UMNO sudah lemah dan kebanyakan dari mereka masih belum dapat menentukan atau mempastikan UMNO akan berjaya mempertahankan kubu-kubunya. Keresahan pemimpin-pemimpin kita amat jelas dan di antara yang ramai-ramai itu saya nampak Muhyiddin sebagai pemimpin yang paling prakmatik dalam semua andaian beliau. Beliau mengakui yang kali ini BN akan berhadapan pilihanraya yang amat sengit dalam sejarah demokrasi kita.

Saya sendiri mendapat kritikan pedas kerana secara peribadi saya tidak memusuhi pemimpin-pemimpin dan ahli parti-parti pembangkang. Ada di antara pembaca tulisan saya telah meminta saya supaya menyertai DAP kerana saya berkawan dengan beberapa orang pemimpinnya sejak dari dulu. Fahaman politik tidak akan memisahkan saya secara peribadi dengan pemimpin yang berlainan parti.

Yang penting bagi seseorang itu ialah mempunyai jiwa besar yang hidup. Kita biarlah ibarat ikan di dalam laut. Walaupun ikan itu hidup bertahun tahun di dalam laut tetapi jika kita keluarkan ikan itu dari lautan itu, ia tidak akan menjadi masin kerana ikan itu berjiwa dan hidup. Ikan itu tidak akan terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya.

Di sebaliknya jika ikan itu mati dan tidak berjiwa ia akan menjadi masin jika direndam dengan air garam yang masin dan jika dijemur ia akan menjadi ikan masin. Itulah sebabnya ikan masin amat menyelerakan untuk dijadikan santapan mereka yang lahap dan sentiasa lapar.

UMNO sedang menakut-nakutkan orang ramai dan menganggapkan PAS sudah menjadi parti yang liberal dan itu salah pula kepada UMNO. Tetapi jika PAS dikuasai oleh kumpulan ulamak seperti dahulu UMNO juga akan menjadikannya sebagai isu besar dan menuduh PAS sebagai parti yang mengikut rentak taliban dan sebagainya. Bagi UMNO apa juga yang dilakukan oleh PAS itu semuanya salah dan usaha menakut-nakutkan rakyat tetap menjadi senjata mereka walaupun senjata itu kini sudah tumpul dan tidak berbisa lagi. Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan sentiment yang tidak laku itu lagi.

Hadi juga telah menjawab isu perbezaan perjuangan PAS dan DAP di dalam muktamar parti itu baru-baru ini. Kerjasama di antara dua parti itu adalah di dasarkan kepada perbezaan-perbezaan itu. Jika tidak ada perbezaan maka tidak timbul isu berkerjasama kerana sudah tidak ada perbezaannya.

Maka PAS telah menjawabnya dengan baik dengan menyatakan kerjasama hanya akan berlaku jika ada perbezaan di antara dua pihak yang berbeza. Jika kedua pihak itu tidak ada perbezaannya apa yang hendak dikerjasamakan?

Saya berpendapat UMNO perlu menumpukan kepada kelemahan sendiri. Jangan bersusah payah untuk menjaga kelemahan orang lain. Jika kita sudah perbaiki kelemahan kita maka kita tidak perlu takut dengan perkembangan pihak lain atau pun menakut-nakutkan orang ramai.

Sumber : Aspan Alias

No comments:

Post a Comment