Tuesday, May 24, 2011

IZWAN : UTUSAN MEMALUKAN VISI SAID ZAHARI


Susur jalur sejarah akhbar tertua di Malaysia iaitu Utusan Melayu dipenuhi dengan liku dan perjalanannya sejak sebelum sehingga selepas merdeka tidak lekang dengan kontroversi.

Sebuah akhbar yang menjadi lidah dan telinga kepada perjuangan rakyat suatu ketika dahulu kini menjadi alat dan instrumen mengekalkan kemandirian si penguasa.

Akhbar yang lahir di Singapura (ketika itu Singapura masih bersama Tanah Melayu) pada 1938 menjadi pentas utama dalam melontarkan mesej dan berita bagi memangkin kebangkitan rakyat serta menjadi alat utama di dalam kesedaran rakyat ketika masih di bawah penjajah.

Etika kewartawanan dibawa Utusan Melayu jika dibandingkan pada suatu masa dahulu dengan sekarang seperti langit dan bumi.

Di zaman kemuncaknya, Said Zahari sebagai Ketua Pengarang Utusan dalam tahun 1950-an dan 1960-an berjuang untuk kepentingan rakyat, khususnya membawa isu-isu orang Melayu yang masih hidup miskin dan melarat.

(Kerana itu juga beliau menjadi mangsa politik UMNO yang mahu menguasai Utusan pada 1961. Apabila Said ke pejabat Utusan di Singapura, kerajaan Malaya mengharamkan beliau kembali. Di Singapura pula, Lee Kuan Yew menahan beliau tanpa bicara atas tuduhan kononnya terlibat dalam kegaiatn komunis. Selama 17 tahun beliau dalam tahanan di Singapura)

Sepanjang liputan perjanjian perdamaian di Baling pada tahun 1955 (ketika itu Said Zahari bertanggungjawab membuat laporan), tiada laporan yang dianggap sensitif serta mengundang kemarahan dilaporkan walau pun peristiwa tersebut dianggap antara sejarah penting buat negara.

“Bagaimanapun upacara itu tidaklah didramatikkan oleh suasana prasangka, ketidakpastian, kecemasan dan ketegangan yang membendung pertemuan Baling,” Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan, menulis di dalam salah satu artikelnya.

Sejak pengambilalihan kuasa oleh UMNO, Utusan tidak lagi menjadi suara rakyat, sebaliknya ia hanya menjadi penyebar fikiran UMNO.

Reputasi dan kebebasan Utusan menjadi lebih parah lagi apabila tindakan memecat salah seorang wartawannya iaitu Hata Wahari yang juga merupakan presiden Kesatuan Wartawan Malaysia atau National Union of Journalists (NUJ) baru-baru ini.

Berbeda ketika era Said Zahari, pemogokan Utusan Melayu yang dikepalainya dari bulan Julai hingga Oktober 1961 bukan sahaja sebahagian daripada sejarah penting Utusan Melayu sendiri bahkan juga sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air yang tidak boleh dipadamkan daripada lembaran sejarah.

Solidariti dan setiakawan antara sesama wartawan ketika itu sangat kukuh bahkan ia menampakkan jelas imej tegas dan kebebasan sebuah entiti yang wajib menjadi milik rakyat dan bukannya untuk segelintir mereka yang mempunyai kepentingan.

Lihat sajalah berapa ramai ketua cawangan parti politik pemerintah yang memegang jawatan tinggi di dalam Utusan ketika ini, beranikah pengurusan dan lembaga disiplin bersikap bertanggungjawab untuk menjawab soalan ini?

Ia pasti tidak sama sekali.

Adakah dengan status wartawan di Utusan Melayu, individu-individu ini menjadi bebal dan kebal dari segi undang-undang? Cermin-cerminlah.

Sudah tiba masanya ketua-ketua pengarang di dalam Utusan ketika ini untuk mencermin diri sendiri dan bukan sekadar menjadi kartun badut seperti kolum senyum kambing dalam akhbar mereka.

Jika semangat Said Zahari yang sanggup mogok dan meringkuk dalam penjara ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) selama 17 tahun tidak diolah dan sudah lenyap, mungkin juga akhbar Utusan akan suatu hari nanti menjadi lebih teruk daripada bungkus nasi lemak. –

Sumber : Roketkini.com

No comments:

Post a Comment