Friday, January 1, 2010

2009 : PAKATAN RAKYAT MEMUSNAHKAN HARAPAN RAKYAT

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt



Selamat bersua kembali kepada peminat blog ini. Selama dua minggu saya tidak berkesempatan untuk menulis. Satu minggu berada di luar Negara dan kembali ke tanah air pula disibukkan dengan tugas-tugas yang ditinggalkan. Walau bagaimana pun, saya masih mengikuti perkembangan semasa yang melingkari kehidupan rakyat terutama mengenai isu-isu yang ada hubungkait dengan dasar politik Pakatan Rakyat [PR] yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.


Tahun 2009 telah pun menutup tirainya. 2009 banyak meninggalkan kenangan peristewa-peristewa suka-duka, pahit-manis perjuangan menentang kezaliman UMNO setengah abad yang lalu. Semuanya itu telah m
enjadi bahan sejarah yang akan dikaji oleh genarasi akan datang. Kini, tahun 2010 menjelma yang pastinya akan melakarkan sejarah hitam-putih kehidupan rakyat, Islam, bangsa dan Negara.


Sepanjang tahun 2009, keadaan politik di negara ini sentiasa tegang, panas dan menimbulkan berbagai kontroversi di antara Pakatan Rakyat [PR] dan Barisan Nasional [baca: UMNO]. Terdapat banyak isu yang dicetuskan oleh kedua-dua pakatan politik ini. Di satu pihak [PR] berjuang untuk mendapatkan kuasa, manakala UMNO [BN] berjuang untuk mengekalkan kuasa. Rakyat menjadi sandarannya.


Membuka tirai tahun 2009, PR tersenyum bangga dengan kemenangan dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terangganu pada bulan Januari dan diikuti 7 pilihan raya kecil lagi berikutnya. Sebanyak 9 pilihan raya kecil diadakan selepas pilihan raya umum 2008, Kebanyakan keputusannya menunjukkan bahawa UMNO [bermaksud BN juga]masih gagal memulihkan sokongan rakyat terhadapnya. UMNO tewas dalam 6 pilihan raya kecil, termasuk DUN Penanti yang tidak ditandinginya.


Dari 9 pilihan raya kecil yang diadakan, PR boleh tersenyum lebar. Pakatan melalui PAS memenangi 4 kerusi [Kuala Terangganu, Bukit Gantang, Permatang Pasir dan Manik Urai], manakala PKR memenangi 3 kerusi [Permatang Pauh, Penanti dan Bukit Selambau].UMNO hanya menang dua kerusi sahaja, iaitu di Batang Ai, Serawak [kawasan ulu, kad
ar buta huruf tinggi, miskin dan mundur] dan di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Di negeri dan di kawasan yang rakyatnya masih ramai yang jahil tentang hukum-hakam beragama dan manifestasi politik yang benar.


Mereka telah memilih bapak perasuah yang dikatakan banyak berjasa kepada rakyat. Mereka menolak calon PAS yang bersih daripada segala kekotoran yang menjadi budaya para pemimpin UMNO lakukan, mengamalkan rasuah, ambil komisyen, menyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk mengejar kemewahan hidup. Keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa kemenangan besar Isa Samad menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon akibat daripada kejahilan yang mereka anuti.


Hasil analisis keputusan pilihan raya kecil di Bagan Pinang menunjukkan bahawa 67% pengundi Melayu menyokong Isa [UMNO], manakala 73% pengundi bukan Melayu turut berbuat sedemikian. UMNO mula mendabik dada, melalui media massa yang dikawalnya memberi gambaran bahawa UMNO kini kembali diterima rakyat. Kebetulan selepas pilihan raya kecil tersebut, UMNO mengadakan perhimpunan tahunannya. Dalam perhimpunan itu, kemenangan Isa disambut penuh kegembiraan dan Pakatan Rakyat dihina, diperlekehkan, diejek dan dipersenda-sendakan. Mereka terlupa bahawa kemenangan tersebut adalah hasil sumbangan terbesar daripada undi tentera dan mereka berkempen ala gengstar, ganas dan menggunakan kaedah 3 M yang selalu mereka amalkan dan telah diangkat sebagai budaya mereka dalam setiap kali ada pilihan raya.


Sebaliknya, di pihak Pakatan keputusan tersebut diterima dengan hati yang terluka dan bercadang untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah bagi membongkar segala penyelewengan yang UMNO lakukan dalam proses pengundian tersebut. Keputusan itu menimbulkan berbagai kritikan pro dan kontra terhadap masa depan Pakatan Rakyat. Ia amat membimbangkan kerana UMNO ada kaedah tertentu untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Kesan dari kekalahan tersebut telah mencetuskan krisis dalaman PAS yang agak kritikal di antara dua kelompok dalam PAS. Satu pihak bersikap pro kepada UMNO yan
g berminat untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan perpaduan. Kelompok ini diketuai oleh Presiden dan disertai oleh Timbalan Presiden, Timbalan Mursyidul Am, beberapa kerat di kalangan AJK PAS pusat, kepimpinan PAS Terangganu dan termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor.


Manakala satu kelompok lagi menentang sebarang usaha untuk berkerjasama dengan UMNO. Kelompok yang diketuai Presiden ini mendapat tentangan paling hebat sebarang cubaan untuk PAS mengadakan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Ia diketuai oleh Mursyidul Am sendiri sehinggakan beliau mencadangk
an PAS mengadakan muktamar khas bagi membicangkan perilaku beberapa pemimpin PAS yang menjadi tali barut UMNO. Isu ini berakhir dengan PAS mengadakan Seminar Memperkasa Parti sehari di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar pada 7 November lalu.


Keghairahan Pakatan Rakyat untuk mengejar kuasa dan mendaki Putrajaya terhenti seketika kerana masing-masing sibuk berbahas di parlimen mengenai bajet 2010. Begitu juga dengan negeri-negeri juga turut sibuk dengan pembentangan dan perbahasan bajet masing-masing. Krisis rampasan kuasa di Perak yang didalangi oleh Najib Tun Rasak, kes kematian Teoh Beng Hock angkara SPRM bertindak melebihi tindakan yang pernah dilakukan oleh mossad Israel, skandal PKFZ dan institusi mahkamah diperalatkan oleh UMNO khususnya penyelesaian kes perlembagaan di Perak kurang diberi perhatian kerana masing-masing sibuk dengan tugas rasmi menghadiri siding dewan.


Tiba-tiba, malam 14 Disember 2009, peluang keemasan untuk merebut kuasa dari tangan UMNO yang sudah memerintah 52 tahun telah menjelma di hadapan mata. Peluang sebegini tidak akan muncul lagi, walaupun 1000 tahun akan datang. Pakatan Rakyat benar-benar tolak tuah. Rezeki datang bergolek, tetapi akibat angkara sebahagian para pemimpin Pakatan Rakyat yang melarikan diri daripada medan perang, yang mana perang belum lagi tamat mendatangkan padah kepadanya. Pakatan Rakyat terlepas peluang merebut kuasa dari tangan UMNO.


Proses pengundian untuk meluluskan bajet 2010 kerajaan pimpinan Najib Tun Razak hanya diluluskan dengan majoriti 3 undi sahaja. 66 orang [UMNO/BN] menyokong dan 63 orang daripada Pakatan Rakyat [PAS, PKR dan DAP] menentang bajet tersebut. Bajet 2010 hampir-hampir tidak diluluskan kerana terdapat perbezaan undi yang tipis antara penyokong kerajaan dan Pakatan Rakyat. Dari segi komposisi, BN mempunyai 137 wakil [70 orang wakil tidak hadir] di Dewan Rakyat berbanding 82 Pakatan Rakyat [18 orang wakil tidak hadir] dan tiga anggota Bebas. Berdasarkan konvensyen bagi sebuah negara berparlimen, sekiranya bajet itu tidak diluluskan, maka kerajaan UMNO akan hilang kuasa dan parlimen terpaksa dibubarkan dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan.


Saya menganggap 70 Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir itu adalah sebahagian daripada gerakan untuk memsebotaj pentadbiran Najib, tetapi isyarat ini tidak dapat dihidu oleh 18 [PAS-4, PKR-7 dan DAP-7] orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tidak hadir itu bagi acara penutupan perbahasan bajet 2010 yang memakan masa lebih daripada dua bulan [mulai 23 Oktober]. Adalah malang sekiranya wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menyedari bahawa penghujung perbahasan mengenai bajet 2010 memerlukan proses pengundian untuk meluluskannya yang mereka perlu hadir bagi mengambil bahagian dalam proses pengundian tersebut. Apa pun alasan yang diberi, kesimpulan yang boleh dibuat oleh rakyat ialah mereka lebih mementingkan urusan peribadi diri masing-masing daripada urusan rasmi di parlimen yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.


Analoginya mudah, permainan bola sepak belum tamat, tetapi pihak lawan telah memberi satu peluang keemasan menjaring gol untuk menang tanpa ada halangan. Mereka bertindak keluar padang lebih awal bersama-sama dengan penjaga gol sekali sebelum pengadil peniup wisel penamat, hanya tinggal beberapa pemain yang kurang upaya dan yang mengalami keceraan berada di tengah-tengah padang. Malangnya, Pakatan tidak mengambil kesempatan ini untuk menjaring gol. Pemain kita culas, malas dan curi tulang tidak masuk padang yang dikosongkan. Pakatan tidak terdaya menjaring gol kerana kekurangan pemain, walaupun pintu gol ternga-nga luas. Pakatan Rakyat gagal.


Peristewa ini juga mengingatkan saya peristewa perang Uhud. Peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal tahun ke 3 Hijrah di Bukit Uhud sebelah utara bandar Madinah. Orang-orang Quraisy telah menggerakkan seramai 3,000 orang angkatan bersama-sama dengan tentera bersekutunya untuk membalas dendam terhadap umat Islam dan menebus kembali kekalahan mereka yang sangat teruk di dalam peperangan Badar.


Nabi saw keluar bersama-sama dengan angkatan tentera baginda ke medan Uhud. Baginda menjadikan Bukit Uhud berada di belakang angkatan tentera baginda dan musuh berada di hadapannya. Baginda membuat pemeriksaan yang rapi terhadap kawasan peperangan tersebut dan mendapati bahawa bahaya akan datang dari arah belakang tentera. Lalu baginda menyediakan seramai 50 tentera dari kalangan pemanah-pemanah yang mahir.


Pasukan ini diketuai oleh Abdullah bin Jubair Al-Ansari di mana mereka ini diperintahkan supaya mengambil tempat yang strategik di atas puncak Bukit Uhud yang berada di belakang mereka. Ekoran dari peristiwa inilah bukit ini dinamakan dengan Bukit Pemanah. Kemudian tentera memberi kata putus kepada mereka: Peliharalah belakang kami dan kami juga tidak akan memberikan peluang kepada mereka menyerang dari belakang kamu. Baginda memerintahkan kepada mereka supaya memanah orang-orang musyrikin dengan menggunakan anak panah dan mereka tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan tempat mereka samada umat Islam mendapat kemenangan atau umat Islam mengalami kekalahan kerana kedudukan lokasi tersebut yang sangat bahaya. Memandangkan perkara ini sangat penting, baginda mengulangi arahan tersebut beberapa kali.


Semasa berlaku peperangan, pada peringkat awal umat Islam mendapat kemenangan tetapi oleh kerana sikap mereka yang tergesa-gesa merebut kemenangan dan mereka tidak bersabar malah mereka menyangka bahawa peperangan telah tamat, orang-orang yang berada di medan meninggalkan peperangan dan mereka mula menghimpunkan harta ghanimah serta orang-orang yang berada di atas bukit pula membelakangi perintah Nabi saw dan perintah panglima mereka Abdullah bin Jubair di mana mereka meninggalkan tempat-tempat mereka untuk bersama-sama mengumpul harta ghanimah.


Melihat keadaan tersebut, Khalid bin Al-Walid yang ketika itu masih belum memeluk Islam terus merebut peluang tersebut, menyerang dengan menggunakan tentera berkuda dari belakang menggunakan kesempatan yang terbuka secara tiba-tiba kerana tentera pemanah meninggalkan tempat mereka menyebabkan beliau berjaya menukar perjalanan peperangan dari kemenangan umat Islam kepada kekalahan umat Islam dengan menggunakan gerakan ketenteraannya.


Ternyata peperangan tersebut memang berakhir dengan kekalahan teruk bagi umat Islam di mana seramai tujuh puluh orang tentera yang gugur syahid. Peristiwa tersebut menjadi pengajaran yang sangat kuat bagi umat Islam. Allah telah menurunkan ayat Al-Quran sebanyak lebih dari enam puluh potong ayat di dalam surah "Aali Imran" mengenai keadaan tersebut sambil menjelaskan kepada mereka faktor-faktor yang mencetuskan tragedi yang telah berlaku dan kekalahan tersebut adalah kerana mereka melanggar perintah Rasulullah saw dan terlalu tamak untuk mengumpulkan harta.


Jadi, peristewa perang Uhud berulang kembali terhadap Pakatan Rakyat, di mana 18 Ahli Parlimennya meninggalkan medan perang, walaupun Penasihat parti PKR [Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia], Presiden PAS dan Penasihat DAP masih tetap di medan perang, ke sana ke mari, resah, kelam kabut mencari-cari pemain yang sudah melarikan diri dan tidak menghadirkan diri dalam proses pengundian yang masih dijalankan [peperangan sengit masih berlaku].


Dengan apa alasan sekali pun [kecuali yang benar-benar uzur dan yang digantung], rakyat sebagai penonton tidak mudah boleh dimaafkan begitu sahaja. Rakyat yang amat benci dan meluat dengan kerakusan UMNO yang telah berkuasa sejak sekian lama amat marah terhadap sikap malas, culas dan lalai yang amanah dipertanggungjawab di atas bahu mereka. Mereka telah mensia-siakan peluang yang ada dihadapan mata.


5 tahun sekali mereka datang bertemu rakyat, merayu undi kononnya untuk mendapatkan kuasa untuk membentuk kerajaan. Melalui kuasa, Pakatan kononnya boleh membela rakyat, bangsa, agama dan negara, tetapi apabila undi diberi dan mereka diangkat sebagai wakil rakyat, mereka sendiri mengagalkan usaha merebut kuasa dan membentuk kerajaan mengambil alih kuasa daripada UMNO.


Sebagai kesimpulannya, Allah swt masih sayang pada Najib Tun Razak, saya yakin sungguh pun Najib diserang setiap hari dari segenap peluru, tetapi pastinya di dalam sanubarinya terdapat sekelumit keikhlasan dalam perjuangan, oleh sebab itu Allah swt tetap mengekalkan kerajaannya dan mengelak beliau dari menanggung malu. Berbanding Pakatan Rakyat, Allah swt menurunkan sedikit penyakit ‘kelalaian, malas dan cuai’ serta diberi kedudukan dalam zon selesa untuk terus meninggalkan perjuangan dalam saat-saat yang amat genting dan amat memerlukannya. Pakatan Rakyat perlu banyak bermuhasabah kenapa pertolongan Allah tidak tiba di saat-saat yang amat diperlukan.


Tarikh 14 Disember 2009 telah meninggalkan titik hitam dalam perjuangan Pakatan Rakyat kerana kegagalannya merebut kuasa daripada tangan UMNO tanpa perlu berjuang dalam pilihan raya, hanya melalui undi tidak percaya di parlimen. Walau pun kuasa hampir dalam genggaman, namun Pakatan Rakyat tetap gagal memunafaatkannya peluang yang ada. Ia sekali gus menghilangkan keyakinan rakyat [khususnya pengundi atas pagar] terhadap Pakatan Rakyat. Pakatan telah menghancurkan impian dan harapan rakyat yang menyokongnya selama ini.


Kepada yang terlibat-tiada maaf bagi mu.

“UMNO TIADA, RAKYAT SEJAHTERA”


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

No comments:

Post a Comment