Friday, October 2, 2009

DI ANTARA DASAR DAN STRATEGI




OLEH : KHALID SAMAD
http://www.khalidsamad.com/2009/10/di-antara-dasar-dan-strategi.html

Terdapat pula sekelompok bijak pandai yang berkata, “dasar mesti sentiasa diutamakan berbanding strategi”. Ucapan seperti ini apabila disebut secara bersemangat, memang boleh menyebabkan sebahagian besar ahli terpengaruh sehingga menganggap strategi yang ditetapkan oleh pimpinan Pusat boleh diketepikan. Saya rasa itu merupakan kata-kata bersemangat yang hanya mengandungi semangat semata-mata walaupun diucapkan oleh golongan bijak pandai.

Marilah kita merujuk sejenak sejarah Rasulullah (SAW). Saya rasa semua mengetahui kisah Perang Uhud dan bagaimana 50 orang pemanah telah diarahkan oleh Rasulullah (SAW) untuk ditempatkan di atas Bukit Uhud. Baginda berpesan jangan turun walau apapun yang berlaku di medan pertempuran.

Bagi golongan yang menganggap `strategi' tidak sepenting dasar dan boleh diketepikan bila-bila sahaja, bergembiralah, kerana anda sependapat dengan golongan majoriti yang turun dari Bukit Uhud pada hari tersebut. Penempatan pemanah di atas bukit sememangnya hanya strategi dan pada hari itu, ingkar terhadap strategi yang ditetapkan telah mengubah kemenangan, yang hampir dalam tangan, menjadi kekalahan.

Bagi saya PR adalah strategi. Yang mempertahankan PR di Selangor adalah mereka yang bersependapat dengan Abdullah Bin Jubair pada yaumul Uhud. Maka bergembiralah walaupun anda dikatakan minoriti.

Ada juga saya terdengar sekelompok lain yang berkata, juga dengan penuh semangat, “PAS dijunjung atas kepala, Tahaluf Siyaasi hanya di paras bahu”. Kata-kata yang menarik dan.....hanya setakat itu sahajalah! Kelebihannya hanya terdapat pada betapa menariknya kata-kata itu dan betapa bersemangatnya kata-kata mereka yang berkata. Namun ianya kosong dan tidak bererti sama sekali. Persoalannya, bagaimana hendak diletak dibahu sesuatu yang telah ditetapkan oleh PAS itu sendiri? Tidakkah apabila keputusan dan arahan PAS diletak dibahu bererti kita meletak PAS sendiri di paras bahu?

Hmmm, pening di antara bahu dan kepala? Tidak mengapalah, bagi yang tak biasa bahasa kiyas mengiyas ini, biar saya jelaskan melalui satu lagi kisah dari sejarah Rasulullah (SAW).

Cuba kita kaji peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah pula kali ini. Sememangnya dasar islam adalah keadilan dan juga ukhuwwah. Ukhuwwah tertinggi semestinya ukhuwwah islamiyyah iaitu perasaan kasih sayang sesama orang Islam. Namun perjanjian Hudaibiyyah yang merupakan strategi Rasulullah (SAW), merupakan perjanjian yang tidak adil dalam arti kata ianya berat sebelah dan menguntungkan golongan Quraisy. Perkara ini semua tahu, termasuklah para sahabat pada ketika itu. Walaupun begitu, Rasulullah menerimanya kerana Baginda melihat syarat-syarat yang ditentukan walaupun tidak adil, membuka peluang kemenangan yang lebih besar. Maka strategi dituruti walaupun terpaksa menerima syarat yang tidak adil. Adakah dengan menandatangani perjanjian itu maka Rasulullah mengorbankan dasar dan maruah ummat Islam? Sudah pasti tidak!Pada hari perjanjian itu ditanda-tangani tidakkah berlaku peristiwa di mana Suhail bin `Amr yang mewakili kaum Quraisy mengheret kembali anaknya Abu Jandal yang telah Muslim? Suhail menampar muka anaknya dan memegang tengkuk anaknya dihadapan kaum Muslimin sambil berkata “Hai Muhammad! Sebelum dia datang kepada kamu, di antara kamu dan saya telah ada satu perjanjian.”. Suhail mengheret Abu Jandal untuk kembali ke Mekah sambil Abu Jandal berteriak, “Wahai kaum Muslimin, saya akan dikembalikan kepada kaum musyrikin untuk disiksa kerana agamaku (Islam)…”Adakah pada ketika itu Rasulullah (SAW) tidak menjunjung Islam di atas kepala Baginda dan sebaliknya mengutamakan `strategi atau tahalluf' melebihi dari Ukhuwwah Islamiyyah itu sendiri?


Dan ada yang lagi dahsyat lagi! Persetujuan Rasulullah (SAW) supaya perkataan ’Muhammad, Rasulullah’ digantikan dengan ’Muhammad ibni Abdullah’ dalam perjanjian tersebut atas desakan Suhail! Adakah ini penggadaian dasar yang dilakukan oleh Rasulullah? Baginda mementingkan strategi lebih dari dasar? Sekiranya dikatakan ’ya’ maka jelaslah anda keliru! Seperti kelirunya mereka yang menganggap setia dengan strategi PR sebagai menggadai dasar.Saya dengar akan ada usaha untuk terus melagakan PAS Selangor dengan PR Selangor atas hujjah-hujjah bersemangat dan motivasi seperti di atas.

Maka akan berkatalah golongan ini “Islam dijunjung di kepala, tahalluf di junjung di paras bahu”. Kata-kata menarik... tetapi kosong dan tidak membawa apa-apa makna untuk membantu perjuangan Islam itu sendiri.Saya harap yang membaca memahami; yang ingin pertahankan PR di Selangor adalah sama seperti mereka yang mampu melihat kebijaksanaan Perjanjian Hudaibiyyah dan akur dengannya. Yang melenting-lenting dengan ucapan bersemangat adalah seperti mereka yang membantah Perjanjian tersebut dan ingin terus mempertikaikannya. Kalau anda salah seorang dari mereka, hentikanlah.Harap faham. Strategi yang ditetapkan mesti dipatuhi. Perjanjian yang merupakan sebahagian dari strategi, mesti dituruti. Kalau kita ketepikan strategi dan perjanjian yang telah ditetapkan oleh PAS Pusat, atas apa alasan sekalipun, kita meletakkan PAS di tapak kaki kita, bukan di kepala ataupun di bahu kita!Atau apakah mungkin ada yang tidak kenal mana tapak kaki, yang mana bahu dan yang mana kepala?


Untuk makluman, semua strategi ditetapkan mengambil kira dasar yang ingin diperjuangkan. Oleh itu tidak akan bercanggah satrategi dan dasar sekiranya dikaji dan difahami dari sudut menyeluruh. Ianya hanya kelihatan bercanggah, seperti Perjanjian Hudaibiyyah, tetapi sekiranya difahami dari sudut yang tepat, tiada penggadaian dasar yang telah dilakukan. Dan disinilah perlunya wala’ yang sebenar. Iaitu patuh kepada arahan berhubung strategi, persoalan yang boleh dipertikaikan, tidak seperti hukum dan dasar. Namun ianya tidak dipertikaikan kerana keputusan telah pun dibuat dan kita wala’.


Kukuhkan PR dan jangan sengaja mencari perbalahan. Tak perlu timbul soal 'atas bahu ataupun atas kepala’. Mereka yang berusaha untuk menggagalkan PR dengan membawa soal Melayu-Islam, merekalah yang tidak wala’.


...................walaupun mereka merupakan pemimpin!


“UMNO TIADA, RAKYAT SEJAHTERA”.


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

No comments:

Post a Comment