Tuesday, July 21, 2009

IMAM BESAR AJAK KE MASJID, MENTERI BESAR GALAK KE PANTAI?

Oleh : Mat Zain Mat Isa [http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21836&Itemid=1]

Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.

Di antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.


Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin. Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh sekalian mereka dalam memimpin ibadat utama kepada Allah itu.


Kejadian itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para asatizah dan ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.


Amat malang bagi umat ini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulangsebut pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.


Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Pihak pemerintah pula lebih gemar memperbanyakkan jumlah masjid berbanding mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.


Mereka lebih ghairah mengeluarkan belanja menghias dan memperindahkan masjid dan surau berbanding memakmurkannya dengan berbagai aktiviti berpatutan dan berterusan di situ.

Fenomena ini agak menyeluruh. Sebab itu apabila berlaku kejadian 'sejadah terapung' di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, akhir bulan lalu, ada pandangan mengaitkannya dengan peringatan Allah agar umat Islam memperbetulkan kepincangan ini.


Sebuah akhbar Inggeris, 30 Jun lalu memetik ulasan Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian yang dianggap aneh dan menggemparkan itu.


"Tidak perlu panik. Kejadian itu adalah ingatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat berjamaah," ujarnya.


Menurut laporan akhbar itu, seorang wanita dari Seremban yang menziarahi masjid popular di tengah Sungai Terengganu itu terserempak dengan fenomena pelik itu. Beliau dikatakan sempat merakamkan kejadian 'sejadah terapung' itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.


Penyebaran cerita itu dikatakan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat berdekatan. Aizi Saidi bagaimana pun mengaitkan kejadian itu sebagai gambaran sikap tidak ambil berat rakyat negeri Terengganu dengan tuntutan menunaikan solat berjamaah.


Beliau malah mengakui fenomena masjid kosong semakin menjadi lumrah di negeri itu. Katanya, Terengganu mempunyai masjid yang sangat banyak, tetapi jumlah jemaah yang memakmurkannya amat mendukacitakan.


"Sebilangan masjid kita malah kekurangan ahli jemaah walaupun ketika solat Jumaat," akhbar itu memetik pengakuan beliau.


Pengakuan terus-terang itu bukan suatu yang mengejutkan. Ia bukan cerita baru. Cerita masjid-masjid di Terengganu kosong dan lengang kedengaran sejak berdekad dulu.


Hanya buat beberapa tahun di zaman pemerintahan PAS, fenomena itu diperbaiki. Sebahagian besar masjid milik kerajaan kelihatan "basah" dan makmur. Jumlah anggota kariah yang menghadiri masjid meningkat mendadak di serata negeri. Kemakmurannya ditambah dengan siri kuliah dan tazkirah yang silih berganti.


Perkembangan positif dan membanggakan itu bagaimana pun susut dan beransur pupus ekoran tindakan politik oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih pemerintahan pada 2004.


Ia dimulakan dengan pemansuhan semua Jawatankuasa Masjid Mukim (JMM) dilantik oleh kerajaan PAS. BN menggantikannya dengan kumpulan manusia yang sealiran dengan fahaman politiknya.


Keghairahan BN membalas dendam kepada penyokong parti lawan di peringkat kampung juga gagal mengambilkira keperluan menjaga kemakmuran masjid. Orang yang BN lantik sebagai Ahli JMM sebahagian besarnya bukan dari jenis manusia yang dekat dengan masjid. Satu-satunya kelayakan diambil kira ialah pendirian dan kecenderungan politik mereka yang memihak BN.


Akhirnya berlakulah fenomena masjid-masjid yang kosong dan kontang. Jumlah ahli kariah yang berjamaah merosot mendadak. Bilangan majlis ilmu juga tidak lagi sekerap sebelumnya. Sebahagian besar tenaga pengajar dan ustaz terlibat memberikan kuliah dan tazkirah tidak lagi diberikan ruang meneruskan usaha dakwah dan pengajaran agama.


Sikap sepi dan tidak serius BN terhadap usaha memakmurkan masjid amat terserlah. Mereka turut menganjurkan majlis memperingati Israk dan Mikraj. Ingatan dan ajakan kepada hadirin agar sentiasa mengunjungi masjid dan mendirikan solat secara berjamaah turut disuarakan para penceramah di majlis itu.


Namun, suratan atau kebetulan, petang menjelang 27 Rejab (Ahad lalu) juga kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Ahmad Said turut mengumumkan satu agenda penting dalam kalendar pelancongan negeri. Ia telah memutuskan akan menghidupkan kembali 'Pesta Main Pantai', satu pendekatan yang amat bertentangan dengan hasrat memakmurkan masjid.


Pesta itu adalah amalan tradisi masyarakat Terengganu sejak dulu. Ia dikatakan dibuat oleh masyarakat kampung yang bertanam padi sebagai acara hiburan mereka selepas selesai musim menuai. Mereka akan membawa keluarga ke tepi pantai, mendirikan khemah dari kayu atau buluh. Daun kelapa berpelepah akan digunakan sebagai dinding dan atap khemah.


Mereka akan berkampung di situ buat beberapa hari sambil berehat dan mengadakan aktiviti sukan rakyat dan persembahan hiburan kebudayaan.


Pesta itu diteruskan di era moden dengan sedikit pengubahsuaian. Ia bagaimana pun terhenti seketika sebelum ini. Pandangan beberapa pihak, terutama ulama dan pemimpin agama diambil kira. Pesta sebegitu didapati banyak mengundang kesan tidak baik kepada masyarakat, terutama berhubung gejala sosial dan dorongan melakukan maksiat.


Kini, BN Terengganu telah berkeputusan menghidupkannya kembali. Tidak dapat dipastikan pandangan ulama dan tokoh agama mana yang mereka rujuk.


Pesta itu bakal dilangsungkan selama dua minggu pada awal bulan depan. Kerajaan negeri menyandarkan rasionalnya kepada melaksanakan agenda pelancongan, menghidupkan seni warisan dan kebudayaan, serta hiburan kepada rakyat.


Memang itulah rasional yang paling mudah dan lumrah digunakan mana-mana pihak untuk menghidupkan sesuatu yang mendapat tentangan sebahagian anggota masyarakat.


Kita juga tidak terlalu jumud sehingga menolak sepenuhnya aktiviti budaya dan seni warisan. Apatah lagi sesuatu itu dikaitkan dengan agenda pelancongan yang dibuktikan dapat menambahkan pendapatan kepada negeri.


Bagaimanapun, sepertimana dibuktikan banyak pihak sebelum ini, penganjuran pesta seumpama itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, terutama terhadap akhlak dan moral umat Islam.


Ia menjadi medan sangat kondusif dan dorongan kepada kejadian yang menyalahi hukum dan suruhan agama. Apatah lagi dalam keadaan biasa tanpa pesta sebegitu pun, kerajaan sudah menghadapi suasana amat sukar menbendung dan mencegah maksiat dan mungkar.


Mengambil kira fenomena kebobrokan sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat mutakhir ini, pengumuman kerajaan negeri Ahad lalu yang mahu menghidupkan kembali pesta pantai dilihat amat bercanggah dengan semangat sambutan Israk dan Mikraj.


Ekoran itu ada suara dalam masyarakat negeri itu yang mengatakan, "Imam Besar bersungguh ajak rakyat ke masjid, Menteri Besar pula anjur program galakkan rakyat bermain di pantai".


Tindakan itu bukan sahaja membuktikan kerajaan tidak ambil pusing seruan sebegitu baik oleh Imam Besar Negeri, malah BN sekali lagi tersilap kaedah dan cara untuk mengubati penyakit sosial yang melanda masyarakat.


“UMNO TIADA, RAKYAT SEJAHTERA”

No comments:

Post a Comment