Monday, May 25, 2009

Mahkamah diperolok, kes Penanti dan rompakan di Islamic City

Bukannya mahu merendah-rendahkan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang memihak Dr Zamry Abdul Kadir. Apatah lagi untuk memperlekehkan penghakiman yang membatalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abd Aziz Abd Rahim yang mengesahkan kedudukan asal Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Namun yang lebih penting, apakah persepsi rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa oleh BN, yang didalangi Najib Razak, bagi menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat, awal Februari lalu, dapat diubah?

Mampukah keputusan panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut, iaitu Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop, dapat meredakan ketegangan politik yang semakin membahang di sana, terutama selepas Dun Perak bersidang secara tidak sah sehingga Speaker V Sivakumar dicekik, dihumban keluar, dikurung dalam stor dan "dilucutkan jawatan"?

Bukankah sejak awal beberapa penganalisis dan tokoh akademik terkemuka menyifatkan krisis di Perak tidak mampu diselesaikan melalui proses undang-undang, malah ia menyebabkan martabat mahkamah semakin dipersenda? Situasi rumit dan sulit menjadi makin berserabut.

Tanggapan rakyat bahawa BN telah melakukan aksi tidak bertamadun, mencemar institusi demokrasi dan secara gopoh-gapah serta terburu-buru meragut kuasa daripada Pakatan Rakyat terus tertanam kukuh.

Sementara Zamry dianggap wakil mahkamah, selain diperolok-olokkan melalui jenaka SMS tentang "lelongan Zamry, bukan Camry", Nizar pula menempah populariti lebih tinggi di kalangan rakyat. Hanya mengharapkan dokongan pasukan keselamatan dan mahkamah bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar boleh mengundang padah dari segi demokrasi.

Rakyat yang kian celik politik tentunya tidak mudah untuk dipaksa dan disumbat dengan keputusan mahkamah yang dilihat umum sebagai tidak mencerminkan keadilan dan kesaksamaan.

"Biar kalah hari ini, tapi pada pilihan raya umum akan datang, yang tidak dapat tidak mesti diadakan juga nanti, Nizar dan Pakatan Rakyat, insya-Allah beroleh kejayaan lebih gemilang," kata seorang profesor sains politik. "Saya yakin, persepsi rakyat tidak akan berubah dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mereka masih beranggapan tindakan BN merampas kuasa sebagai tidak sah dan salah menurut peraturan dan undang-undang."

"Kenapa mahkamah seperti histeria lagaknya, nampak terlalu obses dengan kes ini, walhal bagi saya, inti kepada krisis politik di Perak adalah bermula dengan tuduhan rasuah kepada dua Adun KeADILan ketika itu, yang kini melompat jadi Adun bebas yang menyokong kuat BN? Bagaimana kedudukan kes berkenaan, apa sudah jadi? Orang ramai juga nak tahu di mana perginya penyiasat bebas P Balasubramaniam dalam kes liwat terbaru Anwar Ibrahim?" ujar profesor yang tidak mahu disebut namanya itu.

Selagi BN terus berdegil untuk tidak menasihatkan Sultan Perak membubarkan Dun, datanglah apa juga penghakiman pun, ia pasti tidak berupaya untuk merongkai konflik yang bertambah parah ini. Hakikat ini bukan sahaja diakui pimpinan Pakatan Rakyat malah dituntut oleh Suhakam dan juga pemimpin komponen BN sendiri, selain tokoh-tokoh ternama politik, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Semakin BN menolak cadangan pembubaran Dun, maka makin tergambar jelas bahawa mereka begitu takut dan gentar untuk berdepan suara rakyat bagi mendapat mandat baru. Mana mungkin sebuah parti politik yang mengaku gagah-perkasa tiba-tiba menikus dan takut untuk mendapat mandat baru daripada rakyat?

Walaupun 3 hakim memihak BN, Najib pasti akan kalah dalam mahkamah rakyat, dan inilah yang paling digeruninya. Hasilnya, integriti dan kewibawaan badan kehakiman kita akan terus dipersoalkan, manakala keyakinan dunia terhadap proses keadilan di Malaysia terus merudum.
II.
Keputusan BN untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Penanti memang pelik. Dalihnya langsung tidak masuk akal. Bersusah payah pemimpin Umno dan media di bawah kawalan mutlaknya memberi penjelasan mengapa BN tidak meletakkan calon. Alasan rapuh itu pula sukar untuk dipertahankan konsistensinya apabila tiba-tiba sahaja berlaku kematian Adun PAS di Manik Urai, Kelanatan.

Pemimpin Umno tidak segan-silu mendakwa mereka tidak mahu lagi, untuk kali ketiga, terjerumus ke dalam perangkap Pakatan Rakyat. Bila pula perangkap itu dipasang, ya? Namun lebih menyerlah, begitu lemahnya semangat Umno untuk berdepan Pakatan di kawasan yang pada anggapannya sendiri ia akan kalah "siang-siang" lagi.

Sedangkan selama ini pembangkang, misalnya PAS, tidak pernah gentar untuk terus berdada dengan Umno-BN di mana-mana sahaja, biarpun risiko hilang pertarungan adalah cerah!

Tertarik saya dengan ungkapan Winston Churchill, yang dinukilkan kembali oleh wartawan terkemuka, A Kadir Jasin: "Seorang pesimis nampak kesukaran di dalam setiap peluang, seorang optimis nampak peluang di dalam setiap kesukaran."

Kadir yang juga blogger terkenal mengutip kata-kata Mahatma Ghandi: "Ketakutan ada kegunaannya tetapi penakut tidak ada sebarang guna". Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu mengaitkan untaian kata-kata hikmah tadi dengan keputusan BN tidak bertanding di Penanti.
III.
Hati mana tidak sebak dan dihiris pilu dengan laporan berita dan gambar tragedi pembunuhan dua beranak bersama seorang pembantu rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh, 20 Mei lalu.

Saya cuba membayangkan kedudukan suami mangsa, Jafri Tajul Aripin, 47, yang sedang berbual dengan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, melalui telefon. Tiba-tiba Jafri terdengar jeritan ketakutan isterinya dan talian terputus. Beliau segera berkejar ke rumah.

Di depan matanya, terbujur kaku mayat isteri tercinta, Wah Yah dan pembantu rumah, berlumuran darah. Mayat anak bongsu kesayangannya, Ezmin Denish, 5, pula ditemui di dalam bilik air. Dan dia terserempak suspek yang membunuh orang kesayangannya yang cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumahnya.

Cuba anda letakkan diri sekejap dalam posisi Tajul Arifin ketika itu. Dalam keadaan biasa, berdepan mayat isteri dan anak pun sudah cukup mengharukan, ini pula menghadapi jenazah keluarga tercinta yang dibunuh kejam tanpa rasa perikemanusiaan, dan anda baru sahaja bercakap-cakap dengan mereka melalui telefon!

Peristiwa berdarah itu bukan lagi episod yang memeranjatkan meskipun ia cukup menyayat hati. Kita belum lupa dengan adegan ragut yang juga menyebabkan kehilangan nyawa, membabitkan insan biasa, yang sebahagiannya hidup dalam kesusahan. Kita seolah-olah hidup dengan ihsan penjenayah. Di mana-mana sahaja anda boleh terperangkap dalam situasi sebagai mangsa penjenayah kejam.

Malah, kedai serbanika 7-Eleven, betul-betul di sebelah pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur tidak lagi membenarkan pelanggannya masuk ke dalam, selepas jam 9 malam, dan mereka hanya sekadar boleh membuat pesanan melalui tingkap kecil kerana serik dengan kes rompakan yang berulang kali berlaku kepadanya! Lebih sedih apabila rompakan itu sering terjadi di siang hari, berjiran rapat dengan Harakah, di sebuah lokasi yang dulunya dikenali sebagai Islamic City.


"PERKASAKAN RAKYAT, MUSNAHKAN UMNO"

No comments:

Post a Comment