Sunday, January 18, 2009

KT: UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP PAK LAH, KATA DR M

PETIKAN DARIPADA MALAYSIAKINI.COM : http://www.malaysiakini.com/news/96709
Oleh : Tun Telanai


Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Malaysia selama 50 tahun, akan kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika ia terus memberi tempat kepada pemimpin yang korup, kata mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.Beliau menyifatkan kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu semalam sebagai undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengingat bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tun Razak - yang akan mengambil alih kuasa Mac depan - tidak boleh mengulangi kesilapan Abdullah, yang dihukum oleh pengundi dalam pilihanraya umum lalu, kerana gagal menunaikan janjinya untuk membasmi rasuah.

"Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang," kata Mahathir.

Tanpa menyebut nama, Dr Mahathir berkata, pemimpin yang sudah tercemar dan yang terbabit dalam rasuah, masih dipilih sebagai calon.Beliau berkata, jika BN mahu menang, orang-orang berkenaan mesti disingkirkan.Gagal pulihkan sokongan.

Dr Mahathir menyerah kuasa kepada Abdullah pada 2003, selepas menjadi perdana menteri selama lebih dua dekad.Bagaimanapun, kedua-duanya kemudiannya tidak sehaluan dan Dr Mahathir terus menerus mengkritik pentadiran penggantinya itu.Selepas pilihanraya umum Mac 2008 di mana BN kalah teruk - hilang lima negeri dan gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat - Abdullah berdepan dengan desakan supaya bersara.

Dan kejayaan pembangkang merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil semalam, dilihat sebagai petanda bahawa BN gagal memulihkan sokongan pengundi kepadanya.

Pilihanraya umum dijadual diadakan pada 2013, tetapi pembangkang berkata kerajaan mungkin mengadakan pilihanraya mengejut tahun ini kerana bimbangkan popularitinya akan terus merosot.

Tsunami politik berterusan....Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pula berkata keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan bahawa tsunami politik yang berlaku pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, masih berterusan.

"Ia mengesahkan bahawa peralihan pradigma dalam politik Malaysia kira-kira 10 bulan yang lalu bukan secara kebetulan, tetapi mencerminkan inspirasi politik sebenar rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu menjadi satu amaran kepada Umno dan kepimpinannya mengenai akibat lebih teruk yang akan mereka terima jika masih berdegil tidak mahu mendengar desakan rakyat yang mahukan perubahan.Menurutnya, keputusan itu juga harus dikaji secara terperinci, khususnya, mengenai impak isu hudud, terhadap pilihanraya kecil tersebut.


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

No comments:

Post a Comment