Wednesday, December 31, 2008

INTERBIU EKSKLUSIF MOHAMMAD SABU

Dipetik daripada



Dalam menghadapi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, terlalu banyak isu seperti pembelian Eurocopter, penjualan IJN, penubuhan suruhanjaya kehakiman, politik wang dalam Umno."

DALAM menghadapi Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu, terlalu banyak isu-isu utama yang boleh meratah Umno-BN seperti pembelian Eurocopter, penjualan IJN, penubuhan suruhanjaya kehakiman, politik wang dalam Umno dan PPSMI yang cukup membelit. Selain isu-isu nasional ini, isu kemiskinan dan pembaziran seperti pembinaan Masjid Kristal dan Monsson Cup juga menjadi igauan buruk kepada calon BN, Wan Farid Wan Salleh.

Pilihanraya kecil ini menjadi ujian bukan hanya Umno tetapi juga kepada pembangkang terutama selepas tsunami politik 8 Mac lalu. Untuk membincangkan tentang isu-isu utama dan isu tempatan di Kuala Terengganu, Harakah mendapatkan pandangan Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu. Ikuti Interbiu Eksklusif Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MD JAM dan wartawan, IRWAN MUHAMMAD ZAIN serta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama beliau di kediamannya di Shah Alam, pada 24 Disember lalu.



HARAKAH: Apa signifikan Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu kepada PAS berdasarkan landskap politik yang cukup bermasalah dengan parti pemerintah hari ini (Umno) ?



MOHAMAD SABU: Pilihanraya kecil di Kuala Terengganu ini adalah satu pilihanraya yang cukup penting terutama sekali dalam pilihanraya lepas tsunami politik yang berlaku di Pantai Barat dan juga Kelantan. Dari Terengganu, Pahang hingga bahagian selatan ia tidak banyak berlaku perubahan dalam pilihanraya yang lepas. Pilihanraya ini diadakan ketika ura-ura peralihan kuasa akan berlaku pada Mac depan. Pilihanraya ini juga akan menguji kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak. Pilihanraya yang akan menguji kepimpinan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said yang tidak mendapat sokongan majoriti kalangan wakil rakyat Umno.
Pilihanraya ini juga menguji adakah PAS berada di tahap pilihanraya yang lalu atau bergerak jauh ke hadapan untuk mendapat sokongan dan kembali memerintah Terengganu pada pilihanraya umum yang akan datang.Oleh itu pilihanraya ini sangat penting kepada BN itu sendiri untuk menguji kepimpinan peringkat nasional, Dato' Seri Najib Tun Razak dan di peringkat negeri, Dato' Ahmad Said dan kepada PAS yang mewakilkan Pakatan Rakyat.



Apakah Pakatan Rakyat ini berkisar perkembangannya di tempat ramai orang bukan Islam yang membuat perubahan dalam pilihan raya umum lalu atau pun ia berjangkit di tempat majoriti orang Islam. Jadi pilihanraya ini begitu penting untuk dijadikan kayu ukur rakyat di Malaysia dan juga di Terengganu.



Mengapa PAS menunggu 1 Januari 2009 untuk mengumumkan calonnya bagi menentang calon BN, Dato' Wan Farid? Di mana kelebihannya?



Ini kerana, Umno dia tak banyak calon yang layak. PAS ada banyak calon yang layak maka Presiden PAS akan menentukan yang mana yang paling layak untuk menjadi calon.



PAS atau Pakatan Rakyat perlu menang dalam pilihanraya ini bagi mencorakkan pendirian rakyat terhadap usaha menuju Putrajaya. Pada penilitian Saudara, sejauh mana 'kemenangan' ini mampu menggerakkan perubahan itu?



Kita lihat terutama di kawasan yang celik IT iaitu di Lembah Klang, Lembah Kinta dan Penang pembangunan bukan lagi menjadi isu yang utama.Yang menjadi isu utama adalah soal kehakiman, hak asasi, pembaziran, rasuah. Ini yang berlaku di kawasan bandar dan separuh bandar. Kuala Terengganu biarpun ianya bandar tetapi boleh dikatakan agak ketinggalan dan terlalu luar bandar. Taraf kemiskinan yang tinggi menyebabkan pembangunan masih menjadi isu yang utama dalam pilihanraya kepada Barisan Nasional dan pihak pembangkang akan mengunakan isu ini juga iaitu kegagalan pihak pemerintah memberikan pembangunan yang seimbang kepada rakyat.



Bagaimana kalau PAS kalah?



PAS kalah dalam pilihanraya kecil perkara biasa. Menang itu satu yang luar biasa.



Terlalu banyak isu yang boleh menggodam Umno dan BN pada pilihanraya ini. Adakah isu-isu seperti yang kita tahu, politik wang dalam Umno, kenaikan harga barang, penubuhan suruhanjaya kehakiman dan macam-macam lagi itu boleh mempengaruhi pengundi Kuala Terengganu?



Isu nasional di Kuala Terengganu tidak berapa memberi kesan tetapi isu-isu kehidupan harian seperti kenaikan harga barang, isu pembaziran misalnya perbelanjaan yang begitu banyak membina Masjid Kristal dan Monsoon Cup dan kemiskinan yang nyata serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperkayakan beberapa individu. Ini merupakan isu utama di Kuala Terengganu.



Kita beralih kepada isu IJN. Penangguhan pengswastaan IJN kepada Sime Darby sebagai contoh, tentunya akan menyusahkan para pesakit jantung di kalangan rakyat biasa. Kos pasti meningkat sekalipun ada jaminan kerajaan. Apa yang Saudara rasakan?



Kita perlu tentang habis-habisan kerana bila diswastakan ia akan menjadi sebuah hospital yang betul-betul menumpukan kepada perniagaan. Bila perniagaan sudah tentu orang akan bercakap tentang untung rugi. Berbanding dengan hospital kerajaan atau separuh kerajaan ia bersifat kebajikan biarpun Musa Hitam kata setelah diswastakan, IJN tidak akan berubah fungsi. Itu hanya janji mulut. Tapi hitam putih bila perjanjiannya nanti, perkara-perkara seperti itu bukan ada.


Jadi bila sebut diswastakan tak salah mereka naikkan harga, naikkan caj dan sebagainya dalam perubatan. Sebab bila diswastakan hospital itu sudah jadi sebahagian daripada perniagaan. Jadi saya hairan bila orang seperti Musa Hitam mengatakan tidak akan berubah fungsi itu. Saya rasa itu mengarut.



Apa komen Saudara dengan penangguhan itu? Adakah ianya ada muslihat tertentu?



Tangguh kerana pilihanraya Kuala Terengganu tetapi isu ini bagi orang Kuala Terengganu bukan besar sangat. Mereka bukan tahu berapa orang sakit jantung. Berapa kos bayar bedah!



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi menyifatkan 'penangguhan' penjualan IJN kepada Sime Darby itu sebagai sikap prihatin kerajaan BN. Soalnya, menangguh bukan membatalkan. Maknanya ia akan dilaksanakan juga selepas ini. Apa yang patut dilakukan oleh rakyat, NGO dan parti-parti politik untuk menyekat penjualan ini?



Perlu terus suarakan bantahan. Perlu terus buat tentangan. Bahkan perubatan seperti ini, kerajaan perlu lebih banyak beri subsidi untuk rakyat termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang menikmati sedikit kemudahan. Sedikit saja mereka dapat, kalau swasta teruk lagi mereka akan tanggung.



Tapi penjualan IJN ini seolah-olah diadakan secara sulit?



Perundingan secara sulit telah berlangsung lama dan Najib juga umumkan selepas selesai Parlimen bersidang. Seolah-olah mahu mengelak daripada dibincangkan di Parlimen. Ia tidak ada ketelusan.


.Menyebut ketelusan kita lihat dalam isu pembelian helikopter Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan walaupun telah ditangguhkan dan disahkan tiada penyelewengan tetapi rakyat percaya wujudnya 'kesangsian' dan 'kepentingan' pemimpin tertentu. Soal ketelusannya bagaimana?



Ketelusannya memang tidak ada. Kita nak dapat maklumat masih susah sebab adanya OSA. Tapi kita yakin kenapa dibatalkan selepas pertukaran menteri iaitu Perdana Menteri mengambil alih kementerian Pertahanan. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Ataupun pembelian helikopter itu menguntung kroni Najib bukan kroni Abdullah. Barangkali itu juga punca pembatalan.



.Isu ketelusan juga jadi agenda utama rakyat bila mempersoalkan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan SPRM baru-baru ini. Di mana bezanya antara dulu dan sekarang?



Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Banyak lagi suruhanjaya yang boleh dibuat tetapi perlaksanaannya yang menjadi isu.



Rasuah tidak boleh dibanteras melalui undang-undang semata-mata. Rasuah hanya boleh dikurangkan melalui etika iaitu akhlak. Kita lihat misalnya bagaimana kita nak buktikan dari sudut undang-undang, misalnya Adun-adun di Selangor atau tempat lain yang jadi Adun satu penggal atau dua penggal, hidup seperti jutawan dengan keretanya, rumahnya tetapi elaun cuma lima hingga enam ribu ringgit sahaja.



Jadi dari segi undang-undang kita susah nak bawa mereka ini ke mahkamah. Tetapi dari segi etika, mereka ini sudah dilihat tidak bersih. Begitulah juga Perdana Menteri, baru-baru ini terdedah sewa rumahnya saja sudah mencecah jutaan ringgit setahun. Jadi ini kehidupan mewah. Jadi orang yang begini nak bercakap soal penyelewengan dan rasuah memang tidak boleh kerana ia bermula dengan etika bukan undang-undang.



Macam kita nak bayar duit kepada polis kerana nak menutup satu kes kalau dia minta duit misalnya, kita tak perlu pergi jumpa polis atau kastam, cukup cuma sms nombor akaun. Kita boleh 'bank-in' dalam akaun mana-mana bank mereka. Jadi membenteras rasuah bukan melalui suruhanjaya. Ia lebih kepada etika dan ini yang banyak dipraktik di negara-negara barat tetapi bukan di negara-negara dunia ketiga.



Sedangkan parti itu sendiri itu parti yang dilanda dengan rasuah. Bagaimana mereka yang mengamalkan rasuah mahu membasmi rasuah. Kerajaan lain yang ganti saja boleh. Itu pun belum tentu lagi tetapi sekurang-kurangnya kerajaan baru itu akan bermula dengan era baru sebelum berlaku kerosakan.



Ada tak perbezaan antara Suruhanjaya ini dengan apa yang sudah ada sebelum ini?



Tiada perbezaan. Kalau Umno yang buat tiada apa-apa perbezaan. Macam Suhakam sajalah. Kita boleh hantar memorandum kemudian buat demonstrasi sikit. Lepas tu habislah, tiada apa-apa tindakan. Salah guna kuasa polis, salah guna badan kehakiman akan tetap berjalan seperti biasa.



Pendapat saudara dengan cakap-cakap yang mengatakan Abdullah menubuhkan suruhajaya ini kerana mahu menjatuhkan Najib?



Itu semua spekulasi. Saya tidak setuju dengan pandangan itu.


Adakah penubuhan kedua-dua suruhanjaya ini mampu memberikan kesan baik kepada rakyat sekalipun ianya tidak diletakkan terus di bawah kuasa Parlimen?



Sudah ada suruhanjaya sebelum ini. SPR itu suruhanjaya, Hak Asasi Manusia juga suruhanjaya tapi fungsinya tidak ada. Sebab itu etika itu lebih penting daripada segala bentuk suruhanjaya dan undang-undang. Dan Malaysia dari segi etika mempraktikkan satu etika yang cukup buruk.



Dari sudut rasuah dan penyelewengan, kita boleh lihat kehidupan ahli-ahli politik, bagaimana kehidupan mereka terutama ahli politik dari parti pemerintah. Kehidupan mereka tidak padan langsung dengan pendapatan. Dan mereka ini antara orang yang berteriak tentang rasuah dan sebagainya. Jadi saya tidak nampak akan berlaku apa-apa perubahan.



Dalam isu PPSMI, banyak pihak dari NGO dan parti-parti pembangkang mendesak agar kerajaan menghentikan dasar tersebut kerana bukan sahaja ia bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan, Perlembagaan malah merugikan masa depan orang-orang Melayu khususnya. Pemerhatian Saudara macam mana?



Saya ingat kerajaan nak kena insaf. Sebab masa buat dulu cuma percubaan. Dan sekarang yang menentang ini ahli-ahli akademik bukan orang-orang politik. Orang-orang akademik yang terlibat dalam pendidikan secara khusus seperti Profesor Nik Safiah Karim, Profesor Khoo Kay Kim, Dr Awang Sariyan dan banyak lagi.



Mereka ini bertindak menentang berdasarkan kajian mereka dan perbandingan dengan negara-negara lain seperti Russia, Jepun, Jerman, Korea dan sebagainya dari sudut pendidikan. Jadi kita lihat Bahasa Melayu itu sendiri akan jahanam pada masa akan datang. Dan orang yang berteriak nak membela orang Melayu yang menjahanamkan Bahasa Melayu.Kalau dulu tulisan Jawi sekarang Bahasa Melayu pula jadi mangsa. Umno yang kononnya berjuang untuk Melayu membunuh Bahasa Melayu dan mereka ini lah sebenarnya pengkhianat bangsa dan bahasa.



Teras menyeru agar rakyat bersatu menyaman kerajaan dalam isu PPSMI ini. Begitu juga Gapena. Bagaimana saudara melihat dari sudut politiknya, kuasa desak yang mampu menundukkan keangkuhan kerajaan dalam isu ini?


Kena pelbagai cara iaitu saman di mahkamah, penentangan di Parlimen, desakan NGO, demonstarsi-demonstarsi untuk menentang tersalah urus kerajaan dalam soal bahasa dan pendidikan. Saya sebut begini sebab bantahan daripada ahli-ahli akademik yang saya kira pandangan mereka perlu diambil kira.
Bercakap soal ketelusan oleh pihak kerajaan. Dalam Umno sendiri terdapat 'Peraturan Eksklusif' yang tidak lut (ada imuniti) oleh undang-undang apabila berlakunya rasuah dan politik wang dalam parti itu.



Mereka tidak boleh diseret ke mahkamah. Jawatankuasa Disiplin Umno mengatasi undang-undang. Ini bagaimana?



Ini satu perkara yang perlu dilihat misalnya Umno menuduh dan membuktikan Isa Samad terlibat dalam rasuah atau politik wang. Tapi mahkamah tidak mendakwa beliau. Jadi kita kata nak basmi rasuah dan politik wang ini cuma 'Meranam Joker' saja lah. Lawak sajalah.



Tun Mahathir sendiri mengesahkan terlalu banyak politik wang atau rasuah menjelang pemilihan Umno kali ini. Tidakkah ini mempercepatkan lagi Umno reput dan peluang ini harus direbut oleh pembangkang?



Umno memang menuju kereputan. Tetapi pembangkang tidak boleh mengharapkan kelemahan orang lain untuk mereka muncul. Mereka mesti membuat gerak kerja yang baik untuk mengambil alih kuasa dari Umno yang sedang reput ini. Kalau kita berada di tahap yang ada sekarang, kita belum dilihat secara umumnya berupaya mengambil alih melainkan kita mempertingkatkan lagi kerjasama dan juga menarik perhatian rakyat kepada kita.



Cadangan GMI untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran Mac depan tentunya ada agenda tersendiri. Apa tujuannya dan mengapa bulan Mac itu dipilih? Setakat ini sejauh mana persiapannya?
Cadangan untuk perhimpunan ini sebenarnya datang dari Dewan Pemuda dan dibawa ke mesyuarat PAS Pusat. Dalam mesyuarat itu mereka angkat perhimpunan itu ke tahap PAS Pusat. Dan selepas perbincangan dengan NGO, akhirnya dipersetujui supaya Gerakan Mansuh ISA (GMI) mengepalai perhimpunan ini bersama 80 NGO yang lain. Kita memilih Mac kerana waktu masih ada dua bulan lebih untuk kita memberitahu rakyat. dan masa itu berlaku peralihan kuasa. Supaya mereka yang akan mengambil alih kuasa itu mendegar dan melihat tuntutan rakyat kerana ISA sekarang ini sudah tidak popular kepada rakyat, kepada pemerintah dan kepada sesiapa saja termasuk parti komponen BN yang menyuarakan penentangan mereka terhadap ISA itu.



Peralihan kuasa dari Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Najib Tun Razak tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat. Mungkin ada kepada Umno. Apa yang saudara nampak Malaysia di bawah pentadbiran Najib?




Abdullah pula dia tahu bahawa keruntuhan kerajaan Dr Mahathir terutama kepada orang Melayu adalah antaranya isu agama, isu rasuah, isu pembaziran maka bila beliau naik, dasar-dasar itu lah yang diutamakan. Beliau berhentikan pengumuman projek-projek mewah dan menonjolkan isu agama iaitu Islam Hadhari serta ingin membasmi rasuah yang menyebabkan rakyat memberikan sokongan yang hebat dalam tahun 2004.



Rekod kemenangan BN yang tak pernah dicapai oleh empat Perdana Menteri sebelum itu. Najib saya lihat dia akan tune ke arah mengambarkan bahawa beliau adalah pengganti bapanya. Iaitu beliau akan propangandakan soal pembangunan luar bandar. Ternyata beliau sedikit sebanyak bertuah dalam pilihanraya lepas, kebetulan beliau jaga Felda harga getah dan kelapa sawit berada di tahap yang tinggi.



BN diselamatkan oleh peneroka dalam pilihanraya lepas. Sebab itu kawasan Felda di Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan hampir semua dimenangi oleh BN. Najib akan ambil 'line' itu saya yakin iaitu untuk menonjolkan beliau sebagai sedikit mirip membela Melayu, membela penduduk luar bandar. dan ini akan dispin dalam masa singkat dan saya yakin Pilihanraya Umum ke 13 akan dibuat setahun selepas Najib ambil alihdalam tahun 2010.



Ia tak boleh lama kerana tengok macam Abdullah, kerana lama sangat orang tahu dia kaki tidur, beliau lemah. Najib pun tak akan ambil masa yang lama. Saya jangka Pilihanraya Umum akan diadakan secepat mungkin selepas Mac akan datang.



Apakah saudara atau rakyat boleh menerima Najib yang sarat dengan kes-kes 'penyelewengan' yang berprofil tinggi dan eksklusif sebagai seorang PM kelak?



Itu isunya. Kita kena atasi image building yang akan dibuat oleh kerajaan Najib nanti. Sekarang pun kita sudah mula serang, kita dah mula hentam isu Eurocopter, isu pembelian kapal selam, isu Altantuya dan lain-lain lagi. Jadi ini kita kena gempar dari awal sebab 'image buliding' ini akan berlaku begitu, orang awam terutamanya akan kata itu kesilapan Abdullah, Najib kita belum cuba.



Begitu juga ketika Abdullah ambil alih dari Dr Mahathir, orang kata itu kesalahan Dr Mahathir, Abdullah kita belum tahu lagi. Jadi benda ini kita tak mahu. Sebab itu gerakan untuk meletakkan Najib berada dalam keadaan yang tidak selesa perlu kita laksanakan daripada sekarang hingga pilihanraya akan datang. Kalau kita diam diri, beliau akan bina imej baik sepertimana Abdullah bina.



Barangkali ada motivasi dan ingatan kepada petugas PAS seluruh negara di Kuala Terengganu?


Saya ucapkan selamat bertugas dan selamat memenangkan calon Pakatan Rakyat.


No comments:

Post a Comment