Thursday, June 26, 2008

TUN MAHATHIR LETAK JAWATAN: APAKAH YANG TERSIRAT?

Oleh: Dr Rahmat Ghazali



Saya amat meminati Tun Dr Mahathir Mohamad kerana karisma, intelektual dan keberanian beliau yang kental. Namun saya tidak melihat beliau sebagai manusia yang sempurna; beliau juga melakukan kesilapan seperti manusia kerdil yang lain.



Boleh dikatakan semua rakyat tahu bahawa Tun Mahathirlah yang memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pewaris kerusi Perdana Menteri. Baca sahaja komentar media, dalam dan luar negara, masing-masing menyebut frasa ‘pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Mahathir sebagai PM’ apabila merujuk kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (misalnya Reuters menulis: “Mahathir Mohamad, who handpicked Abdullah as his successor in 2003…”).



Namun apakah Tun Mahathir juga yang wajar dan berkuasa memaksa Abdullah meletakkan jawatan? Jika ada kesilapan, maka di hujung justifikasinya ialah orang yang melantik Abdullah itulah yang harus dipersalahkan. Namun tidak ada siapa yang berani menuding jari mengatakan Tun telah melakukan kesilapan besar ketika mengumumkan pelantikan Abdullah sebagai penggantinya pada tahun 2003 dahulu.



Malah apabila BN memenangi Pilihan Raya 2004 dengan cemerlang, ramai yang mengatakan pilihan Tun itu adalah tepat dan Tun sendiri amat bangga. Terlanjur di situ ramai pemerhati politik yang mengatakan bahawa kemenangan BN pada Pilihan Raya 2004 adalah ‘Abdullah’s factor’, namun ada juga yang meneropongnya sebagai ‘Mahathir’s factor’. Kemenangan itu adalah ‘Mahathir’s factor’ kerana katanya ramai rakyat yang sudah bosan dengan Tun.



Ramai saintis politik melihat Tun sebagai diktator (sila baca Vorys 1975; Munro-Kua 1996; Heryanto dan Mandal 2003, Human Rights Watch 1998, Asian Human Rights Commission 1999 dan Human Rights Watch 1999). Ramai yang melihat apa yang telah berlaku pada Tun Hussein Onn, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Abdullah Badawi sendiri, Anwar Ibrahim, dan kali ini giliran Abdullah lagi sekali walaupun beliau sudah diangkatnya menjadi PM, sebagai sikap autoritarian pemimpin tertinggi negara ketika itu.



Malah di kalangan penggiat media ramai juga yang diminta meletakkan jawatan: lihat sahaja Kadir Jasin, Johan Jaafar, Nazri Abdullah dan ramai lagi yang tak perlu disebut. Pada zaman Tun ramai ahli akademik di IPTA menutup rapat mulut mereka dalam hal komentar dan kritikan terhadap kepimpinan negara. Lebih malang lagi dalam isu Pindaan Perlembagaan, institusi Raja juga telah dibisukan.



Kita tahu bahawa Tun Mahathir amat berpengaruh dan beliau amat berani untuk berkata apa sahaja yang beliau suka sama ada secara langsung atau secara sarkastik; bukan itu sahaja malah beliau akan bertindak keras jika arahannya tidak dipatuhi. Dengan itu juga terdapat media yang melihat Tun Mahathir seperti doktor bedah (misalnya kata The Star Dr Mahathir likened the radical action to “removing gangrene” to ensure survival); dia akan bedah, potong dan buang apa sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi kadangkala dia terlupa apa yang dipotong itu menjadi penentu kepada kesinambungan nyawa.



Ramai doktor bedah yang telah membunuh pesakit kerana kesilapan mereka dengan niat asalnya mahu menyelamatkan nyawa.Tun Mahathir pernah riuh dan gamat menyalahkan George Soros ketika negara dilanda bencana ekonomi 1997-1998. Namun kemudiannya dalam pertemuan beliau dengan George Soros, pendiriannya berubah, seperti tersirat kata-kata mohon maaf beliau kepada Soros.



Suatu ketika beliau mahu Dato Seri Najib mengambil alih jawatan PM daripada Pak Lah dan akhir-akhir ini beliau tidak lagi mencadangkan Najib. Kalau bukan Najib siapa? Dirinya sendiri atau anaknya? Bila ditanya wartawan, Tun sendiri tidak tahu siapa atau dia tahu tetapi malu untuk berkata. Sebenarnya apa yang ingin saya katakan ialah Tun Mahathir bukan sempurna, dia juga terdedah kepada kesilapan. Dan pada usia tua sedemikian, dalam sfera politik yang menolak polisinya yang terdahulu, dia dilihat seperti ‘senile’ (tak berani saya hendak terjemahkan dalam bahasa Melayu).



Kerap kali ramai yang melihat senario politik yang ‘huru hara’ dalam konteks hubungan ‘Mahathir-Pak Lah’ ialah sebagai konflik ‘kuli lawan tauke’. Sama sahaja situasinya ketika meletupnya konflik Mahathir-Anwar. Namun ada yang lupa bahawa orang yang dahulunya ‘kuli’, kini dah jadi ‘tauke’ dan mantan ‘tauke’ sudah tiada lagi taring untuk memberi arahan itu dan ini.Jika kita lihat tiada perubahan besar dalam kepimpinan Pak Lah maka kita harus bertanya: ‘perubahan dalam konteks apa?’ Tun Mahathir melihat perubahan dalam persepsi dirinya sendiri.



Perubahan besar yang telah Pak Lah lakukan ialah ‘beliau tidak mahu tunduk pada arahan Tun Mahathir lagi’. Ada beberapa perubahan besar (jika kita tidak mahu mengatakan banyak) yang telah Pak Lah laksanakan. Antaranya ialah kes-kes rasuah dan kegenjotan institusi kehakiman negara yang melibatkan zaman ketika Tun Mahathir sendiri berkuasa. Pak Lah tidak menyekat pihak BPR untuk menyiasat kes-kes elit negara. Lihat sahaja bagaimana Ketua Polis Negara sendiri disiasat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri disiasat.



Kes VK Linggam secara langsung mendedahkan kegenjotan pentadbiran Tun sebagai PM. Dan pada hari ini media di negara ini tidak lagi seperti zaman sebelum Pak Lah. Media arus perdana sendiri sudah berani membuat komentar dan mengkritik kerajaan tanpa gentarkan pengampangnya, malah majalah-majalah yang tertakluk kepada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak sudah bebas menjadikan musuh politik BN sebagai fokus dan memberi ‘positive depiction’ kepada mereka. Itulah ketelusan dalam konteks yang membina.



Walau bagaimanapun apabila berbual dengan intelektual yang condong kepada teologi Islam, terdapat yang mengatakan bahawa senario UMNO hari ini ada hikmahnya dan ada yang melihatnya sebagai balasan Allah terhadap pemimpinnya yang telah menganiayai orang lain; kata mereka lagi “doa orang yang teraniaya itu makbul”. Saya cuba bertanya siapakah yang dianiayai?



Mereka menjawab Anwar Ibrahim, mantan Timbalan PM. Namun mereka juga bersetuju bahawa Anwar sendiri bukanlah manusia sempurna yang bebas daripada dosa. Dia juga telah melakukan banyak kesilapan, cuma dalam konteks ‘penganiayaan ini’ hukuman yang dia terima tidak setimpal dengan dakwaan terhadapnya. Dan saya bertanya lagi siapakah yang sebenarnya yang telah menganiayai Anwar? Mereka menjawab: “Siapa lagi kalau bukan Tun Mahathir?”



Dan saya cuba bertanya pula bilakah Anwar dibebaskan, siapakah yang memegang tampuk kerusi PM ketika Anwar dibebaskan? Kata mereka, jawablah sendiri.Adakah semuanya ini bukan perubahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah? Dan perubahan besar inilah yang dilihat menjadi punca konflik Mahathir-Pak Lah. Jika Tun mahu semua ahli UMNO beramai-ramai meninggalkan UMNO; saya percaya orang yang pertama sekali yang harus mengikut jejak Tun Mahathir ialah anak lelakinya sendiri, jika Tun benar-benar masih berpengaruh. Namun ramai pula rakan-rakan saintis politik mengatakan bahawa “apa hairannya jika Tun meninggalkan UMNO, kerana UMNO yang tulen telah lama berkubur, dikuburkan oleh siapa? Jawablah sendiri.”



Jangan lupa bahawa yang wujud hari ini ialah UMNO ciptaan Tun sendiri – ‘UMNO Baru’ dan itulah nama yang telah digazetkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Dan isu ini jugalah yang dilihat membangkitkan kemelut konflik Mahathir-Hakim Negara pada suatu ketika itu. Pada hari ini isu institusi kehakiman negara berbangkit lagi melalui kes video VK Linggam. Mungkin kerana Tun rasa bersalah, makan Tun mahu keluar daripada UMNO, itulah yang dilihat oleh Karpal Singh (sila baca NST 20 Mei, Karpal said, "In fact, his resignation may well reflect his guilt").



“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih

No comments:

Post a Comment