Monday, May 5, 2008

AGENDA PERPADUAN MELAYU SANDIWARA UMNO-SIRI 2 :

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,
UMNO MENGKIANAT BANGSA DAN AGAMA

Sekumpulan barua-barua UMNO baharu sahaja tamat mengadakan Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bharu dari 2 hingga 3 Mei lalu. Dikatakan lebih 1,000 orang yang mewakil 200 ketua-ketua pertubuhan bukan kerajaan [NGO] menyertai Kongres tersebut. Kongres ini didalangi oleh dua pertubuhan utama iaitu sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Perpaduan Melayu [BBPM] yang baru dibentuk selepas pilihan raya lalu yang dikepalai oleh Osman Bakar dan Gabungan Penulis Nasional [Gapena] yang selama ini dipimpin oleh Ismail Hussein yang merupakan seorang ahli UMNO totok.


Dua badan ini sanggup menjadi ‘pencacai’ kepada UMNO dengan mengheret NGO-NGO Melayu lainnya agar menyertai Kongres berkenaan. Kongres ini diadakan dalam rangka mengembalikan kuasa mutlak memerintah kepada UMNO. Kuasa ini penting bagi UMNO untuk meneruskan tabiat buruk sebahagian besar para pemimpinya merembat harta rakyat dan membahagi-bahagikannya sesama sendiri. Hidup menghimpun harta dengan cara mudah mengadai amanah yang diberikan oleh rakyat. Menggunakan kuasa dan kedudukan meratah khazanah negara semahu-mahunya tanpa ada satu kuasa pun yang boleh menghalang kerakusan nafsu manusia yang bernaung dibawah kekuasaan UMNO laknatullullah.


Melihat kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO di negara ini, kalau iblis melihat sudah pasti dia terperanjat besar kerana iblis hanya melakukan satu kesalahan sahaja, tetapi para pemimpin UMNO melakukan berbagai kesalahan. Pemimpin yang jahat ini, kejahatannya lebih jahat daripada iblis dan ia akan membuat apa sahaja untuk memuaskan nafsunya. Mereka mentadbir negara mengikut nafsu tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang sering dinodai bagi kepentingan UMNO dan para pemimpinya.


Kongres berkenaan diadakan adalah kesan daripada PRU ke-12 lalu, di mana kononnya dikatakan dan diperbincangkan di sana-sini oleh orang-orang yang berkepentingan dalam lingkaran kuasa politik UMNO bahawa kuasa politik orang Melayu dilihat semakin terhakis dan ketuanan Melayu juga turut sama menghilang. Hujah ini sebenarnya satu bentuk membohongan yang nyata sebagai alasan untuk mengelabui mata rakyat Melayu di dalam dan di luar UMNO yang tidak ada kesedaran agama dan tidak faham mengenai makna keadilan dan kebenaran. Buta dalam terang,terang dalam buta, tidak mampu berfikir dan membuat pertimbangan yang mana intan dan yang mana kaca.



Majoriti golongan ini menjadikan Utusan Malaysia, Berita Harian, radio, tv dan media massa yang seangkatan dengannya telah dinaikkan taraf sebagai kitab dan tuan guru. Mereka menolak kitab-kitab muktabar yang diajar dan dibaca oleh Tuan-tuan Guru di masjid-masjid dan di surau-surau. Mereka hanya mengadap radio-tv dan media massa milik UMNO sebagai asas rujukan. Jadi, asas tauhid, keadilan dan kebenaran tidak akan terjumpa sampai bila-bila pun oleh golongan ini.


Saya percaya dan yakin golongan lain daripada golongan haprak ini tidak mudah terpengaruhi dengan resolusi yang dirangka dan telah pun dipersembahkan ke Bawah Duli Tunku Sultan Johor pada 4 Mei lalu yang merangkumi soal tuntutan mempertahankan kedudukan Melayu dari aspek Perlembagaan, politik, ekonomi, agama, bahasa, pendidikan dan kebudayaan.



Sesiapa pun yang celek mengenai gaya politik di negara ini, di belakang tabir kongres itu ialah UMNO. UMNO telah berjaya memperalatkan 200 NGO Melayu supaya mengadakan kongres tersebut. Negeri Johor dipilih sebagai simbolik penubuhan UMNO 11 Mei 1946 berlaku di negeri ini, di Istana Johor. UMNO mengharapkan para perwakilan yang hadir akan mengenang kembali nostalgia sejarah tersebut.


UMNO juga mengharapkan selepas berkongres akan dibentuk sebuah resolusi yang dapat mempengaruhi Raja-raja Melayu agar mengambil inisiatif mengerakkan usaha menyatupadukan orang-orang Melayu yang semakin terhakis kuasa politiknya. Strategi ini pernah digunakan pada tahun 90an, ketika perpecahan Melayu memuncak akibat perebutan jawatan dalam UMNO, ramai pemimpin utama UMNO keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Semangat Melayu 46 yang merupakan parti serpihan UMNO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.


Untuk menyatukan semula orang Melayu khususnya orang Melayu Johor yang menjadi negeri Darul UMNO, maka dicadangan diadakan satu Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diusahakan oleh Muhyiddin Yassin yang ketika itu sebagai MB Johor. Selepas perhimpunan tersebut, dikeluarkan satu resolusi yang berjaya membawa Musa Hitam, Shahril Abdul Samad, Onn Jaafar dan lain-lain lagi kembali ke pangkuan UMNO.


Kemasukan semula ramai para pemimpin dan ahli-ahli PMS46 ke dalam UMNO menyebabkan parti itu sedikit demi sedikit menjadi lemah dan akhirnya PSM46 terpaksa dikuburkan. Semua para pemimpin dan ahli-ahlinya termasuk Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Radhi Sheikh Ahmad dan Ahmad Sabbry Chik kembali ke dalam pelukan UMNO. Kini sejarah itu berulang semula. Isu perpaduan Melayu dimainkan kembali. Survival Melayu senantiasa menjadi senjata utama UMNO untuk kembali berkuasa. Hakikatnya kini, bukan kuasa politik Melayu itu yang terhakis, tetapi kuasa yang ada pada UMNO sebenarnya yang semakin hilang.


Terhakisnya kuasa politik UMNO adalah kesan daripada tindakan jahat dan zalim yang dilakukan oleh UMNO terhadap agama dan bangsanya sendiri. Kepercayaan rakyat selama ini memberi amanah kepada pemimpin UMNO untuk memimpin dan membela mereka serta menjaga agama Islam, tetapi sebaliknya para pemimpin UMNO menggunakan amanah itu untuk kepentingan diri sendiri. Kesan daripada perbuatan mereka itu, Allah s.w.t melaknat perbuatan jahat dan zalim itu dengan menarik kuasa sedikit demi sedikit yang akhirnya kuasa politik orang Melayu akan hilang ditelan zaman. Kemungkinan besar pada satu hari nanti orang Melayu hanya tinggal dalam buku-buku sejarah sahaja sebagai rujukan pada genarasi akan datang. UMNO gagal membelek sejarah keagungan kerajaan Negeri Melaka dan kerajaan-kerajaan terdahulu yang runtuh akibat dari perbuatan zalim dan penindas rakyat sebagai teladan dan pedoman.


Saya melihat perspektif kejahatan dan kelaziman yang telah dilakukan oleh UMNO terhadap bangsa Melayu terlalu banyak. Ia mencakupi masa selama 50 tahun yang mana UMNO menjadi tulang belakang pemerintahan di negara ini. UMNO bertindak seolah-olah dia sebagai Zionis Israel bertindak ganas dan melampau tanpa perikemanusiaan terhadap bangsa sebangsa dan seagama dengannya. Apabila UMNO merasakan dirinya lemah disebabkan tidak mendapat sokongan padu daripada kaum-kaum bukan Melayu, maka ia terpaksa mencari helah atau merangka satu lagi strategi baru bagi mengembalikan kekuatan kepadanya untuk terus memerintah.


Begitulah apa yang telah terjadi kepada Zionis Israel pada tahun 70an. Kekuatan bangsa Palestin di bawah pimpinan Allahyarham Yassir Arafat melalui PLO yang bersatu tenaga dan mendapat sokongan seluruh umat Islam di seluruh dunia amat mengerunkan Israel. Israel terpaksa menggunakan pengaruh Amerika Syarikat yang menjadi sekutu rapatnya merangka strategi bagaimana untuk melemahkan PLO dan pada masa yang sama Israel terus berusaha menambah kekuatannya bagi menentang kebangkitan rakyat Palestin.


Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Jimmy Carter telah mempengaruhi Allahyarham Anwar Sadar, Presiden Mesir yang pro Amerika ketika itu menjadi orang tengah di antara Israel dangan Palestin. Pada tahun 1977, Anwar Sadat telah memulakan ikhtiarnya sendiri dengan menganjurkan perjanjian perdamaiannya sendiri dengan Israel. Bersama Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin, Sadat menandatangani persefahaman Kem David pada tahun 1978, yang menjanjikan kuasa autonomi Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Arafat menyambut baik langkah tersebut dan berharap mendapat kuasa autonomi seperti yang dipersetujui itu. Harapan tinggal harapan, kuasa autonomi tersebut tidak pernah dilaksanakan sehingga ke akhir hayat beliau.


Arafat dan PLO terperangkap dan ditipu hidup-hidup oleh Zionis Israel. Dalam tempoh bertenang [gencatan senjata] itulah Zionis Israel berupaya mengembalikan kekuatan dan mengumpul senjata yang lebih canggih untuk menentang rakyat Palestin lebih ganas lagi. Arafat tersedar bahawa ia dan PLO telah masuk perangkap Zionis Israel dengan dalangnya ialah Anwar Sadat. Beliau bangkit menentang persetujuan tersebut, tetapi telah terlewat. Beliau menganggap bahawa "autonomi" sebenarnya hanya menggalakkan perampasan oleh Israel, beliau berikutnya terus menjaja teori kebebasan dan kemerdekaan Palestin.


Kembali kepada Kongres Permuafakatan Melayu di Johor itu, pada pandangan saya ia serupa kaedah yang digunakan oleh Zionis Israel dalam rangka UMNO untuk mencari kekuatan baru dan akan bangkit lebih hebatkan lagi untuk menghapuskan PAS dan PKR yang selama ini menjadi duri dalam daging yang menjadai batu penghalang kepada UMNO untuk terus berkuasa. Kongres yang diadakan ini adalah bertujuan untuk mempertahankan kuasa UMNO dan juga untuk mempertahankan kerjaya politik Abddullah Ahmad Badawi yang menghadapi tentangan yang paling hebat dalam sejarah kepimpinan dalam UMNO daripada berbagai peringkat pimpinan, terutamanya tentangan daripada Tengku Razaleigh Hamzah. Adalah satu pendustan yang nyata bahawa kongres ini diadakan bertujuan penyatuan bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik dan darjat.


Kalau sekiranya golongan ini jujur dan ikhlas, kenapa ketika UMNO menang besar dalam PRU ke-11 dahulu golongan ini menyepikan diri. Menikus seperti ayam bertelur, masing-masing memeramkan telor masing-masing. Dalam keadaan PAS dan PKR tercunggap-cunggap mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, golongan yang berkepentingan ini menyepikan diri dan tidak pernah berusaha untuk menjalinkan persahabatan atau penyatuan dengan UMNO. Tiba-tiba, apabila PKR dan PAS [juga DAP] menang besar, UMNO menang dalam kalah, ia amat mengejutkan apabila golongan haprak ini muncul dengan menjerit di sana-sini membawa isu ‘penyatuan Melayu’.


Saya telah tegaskan dalam siri pertama dulu bahawa lebih baik kita berkawan dengan orang kafir [yang baik dan setia dalam adat berkawan] yang jelas kekafirannya daripada kita berkawan dengan orang yang sebangsa dan seagama yang kita tidak tahu apa yang tersirat didalam sanubarinya. Ambillah kisah Abdullah bin Ubay salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.w.a sebagai teladan. Abdullah bin Ubay senantiasa bersembahyang berjemaah bersama Nabi, membantu Nabi mengambil air sembahyang, menghampar kain [sejadah] untuk Nabi, senantiasa membersihkan tempat Nabi bersembahyang, pada ketika-ketika tertentu Abdullah mengazankan dan Nabi menjadi imamnya dan beliau senantiasa membantu Nabi dalam kesusahan. Nabi sendiri tidak mengetahui bahawa Abdullah bin Ubay adalah seorang munafik sehinggalah turun malaikat Jibrail turun mengwahyukan kepada Nabi supaya tidak pergi sembahyang jenazah Abdullah bin Ubay yang telah meninggal dunia.


Melalui tulisan ini, saya merayu kepada kepimpinan PAS dan PKR terutamanya kepada Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat PKR agar abaikan segala rayuan dan pujukan daripada puak-puak yang mewakili golongan munafik ini. Jangan gadaikan maruah kita terlalu murah kepada UMNO. Ambillah teladan dan pedoman yang telah dilalui oleh Yassir Arafat yang akahirnya kecundang dan rakyat Palestin terus disiksa, ditekan dan ditindas sampai kini. Bagi PAS, jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Pantang umat Islam membiarkan ular patuk dua kali ditempat yang sama. Tugas kita sekarang ialah untuk menghapuskan UMNO dan mengambilalih tugas untuk memerintah negara ini.



INGATLAH UMNO ADALAH PENGKIANAT AMANAH RAKYAT DAN PENGKIANAT BANGSA SERTA AGAMA.


Untuk gambaran selanjutnya sebagai rujukan sila baca tulisan saya di link ini:
http://tuntelanai.blogspot.com/2007/04/umno-gagal-membela-nasib-orang-melayu.html



Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirulmukminin Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy‘ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan.” [8/147].



Luangkan masa jenguk-jeguklah blog saya :
http://tuntelanai.blogspot.com/
Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi:
http://demang.blogmas.com/



“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian.Wassalam

2 comments:

  1. saudara melihat kongres permufakatan melayu hanya dari sudut kepentingan politik kepartian saja tanpa melihat kepada bangsa, agama, bahasa, pendidikan, ekonomi dan budaya bangsa yang kian terhakis dengan bantunan pemimpin-pemimpin umno. jika sdr hadir, barulah sdr. sedar bahawa kongres berlansung melepasi agenda-agenda politik umno tapi melangkau keseluruhan kehidupan bangsa melayu

    ReplyDelete
  2. adalah kita percaya PAS boleh menjaga kepentingan bangsa melayu ? atau PKR atau DAP - jauh sekali ! itulah sebabnya terdapat suara-suara di kongres PMM agar jangan percaya lagi kepada org-org janji-janji org politik. jangan terlalu taksub kepada politik kepartian. bangsa melayu telah ujud lebih lama dari Umno atau pAS.

    ReplyDelete