Tuesday, March 11, 2008

Oleh HABIBAH OMAR dan WAN NAJIB WAN DAUD


BUTTERWORTH 10 Mac – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir meminta pucuk pimpinan mengambil langkah segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.


Tanpa menjelaskan mengenai langkah-langkah tersebut, beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu telah memberi mesej yang jelas bahawa suara rakyat di peringkat bawahan perlu diambil kira.


‘‘Langkah berkenaan boleh dilakukan dalam banyak cara kerana dengan terlepasnya lima negeri ke tangan pembangkang bukan perkara kecil dan memerlukan pendekatan drastik untuk memulihkan keyakinan rakyat.


‘‘Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan itu, bukan sesuatu yang baru apabila ketidakpuasan rakyat disuarakan di dalam forum-forum namun kita tidak mendengar suara berkenaan, sekarang mesej yang jelas telah diberikan oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini.


Beliau pada mulanya dijadualkan mengadakan sidang akhbar di Hotel Sunway Seberang Perai namun telah menukarkan lokasi ke Hotel Pearl View di sini atas sebab-sebab tertentu.


Lebih 500 penyokongnya hadir untuk memberikan sokongan kepada Mukhriz.


Ditanya mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan bahawa beliau mengadakan sidang akhbar berkenaan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, Mukhriz berkata:


‘‘Tidak. Saya difahamkan ada SMS yang dihantar mengatakan bahawa saya akan melakukannya (desak letak jawatan), saya tidak pasti siapa dalang itu.


‘‘ Tapi saya menerima panggilan dan SMS yang menyatakan rasa sedih dan kecewa di atas kecundang BN di beberapa negeri, sebelum ini kita tidak pernah kalah seperti ini, ia adalah satu peringatan,”.


Namun, katanya beliau yakin Perdana Menteri akan melakukan perkara yang difikirkan wajar malah sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Abdullah akan mendengar suara rakyat.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

No comments:

Post a Comment