Assalamu’alaikum wm.wrt,
Allah berfirman :
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu" [Surah Al Anfaal : 60]
Saya telah menghadiri Majlis Ijtimak PAS Kedah 2007 yang diadakan di Kompleks PAS, Batu 9, Kota Sarang Semut, Kedah pada hari Ahad, 23 Disember lalu. Majlis perasmiannya dilakukan oleh YB Salahuddin Ayob, Ahli Parlimen Kubang Krian dan penutupnya oleh Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana di tempat yang sama yang disampaikan oleh Haji Hadi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhanjaya PAS Kedah, YB Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga ADUN Sala. Ceramah perdana ini telah dihadiri oleh beribu rakyat Kedah untuk mendengar perkembangan terkini berkaitan isu-isu semasa dan mendengar stail Abdullah Ahmad Badawi yang serba ‘tidak tahu’ menangani berbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara.
Saya hadir dalam kedua-dua majlis tersebut bagi memenuhi kapasiti saya sebagai pemimpin peringkat cawangan. Kesimpulan yang boleh saya buat ialah para pemimpin pembangkang begitu yakin bahawa rakyat akan membuat satu perubahan besar dalam PRU ke-12 nanti. Tanpa mengambil kira factor SPR, pasukan polis, JPN, media dan seluruh institusi kerajaan yang bersiap saga dibelakang UMNO, mereka begitu yakin bahawa rakyat mulai benci kepada UMNO dan BN. Rakyat akan menolak UMNO dalam PRU ke-12 nanti.
Mereka sudah bersedia untuk membuat perubahan terutamanya rakyat daripada keturunan India yang marahkan kerajaan [baca: Abdullah] menggunakan pasukan polis, mahkamah dan undang-undang menghalang para pemimpin Hindraf untuk memperjuangkan nasib kaum India di Negara ini. Walaupun tindakan tersebut dibuat melalui saluran yang dibenar oleh Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia [mana mungkin permit diluluskan] dan kaum Cina mulai bangun memberontak terhadap kegelojohan para pemimpin UMNO dan kroni-kroninya merembat berbagai peluang-peluang ekonomi yang disediakan kerajaan menyebabkan ruang-ruang ekonomi [perniagaan] kaum Cina menjadi bertambah sempit dan perniagaan mereka sukar berkembang seperti sebelumnya dan kaum Cina marah terhadap keceluparan mulut para pemimpin UMNO yang berbau perkauman.
Namun begitu dalam kajian rambang saya menunjukkan bahawa mentaliti kebanyakan orang Melayu terutama di luar bandar [maksudnya : di ulu dan di kampung-kampung] tidak banyak berubah. Mereka masih lagi sayang dan setia terhadap UMNO, walaupun para pemimpin yang mereka pilih dan diberi amanah telah melakukan pembelotan dan kianat terhadap mereka sendiri, bangsa dan agama. Tetapi, orang Melayu luar bandar [termasuk juga golongan elit Melayu dan cendiakawan Melayu yang mencintai 3K] masih lagi menyangjung tinggi dan memberi penghormatan terhadap pemimpin jenis ini. Mereka masih lagi sudi mempertahan dan memberi undi terhadap kerajaan dan UMNO dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi bagi meneruskan penindasan, kezaliman dan tidak ada kepekaan terhadap nasib malang yang menimpa kehidupan majority orang Melayu di luar bandar dan di pinggir bandar.
Majority orang Melayu masih berfikiran sempit dan tidak ada matlamat untuk masa depan, berbanding dengan bangsa-bangsa lain yang lebih pentingkan survival masa depan bangsa mereka melalui perjuangan parti-parti politik yang mereka anuti. Hanya minority orang Melayu yang berfikiran cerdik, bebas dan matang yang akan turut bersama membuat perubahan. Golongan Melayu ini hidup di bandar-bandar besar yang terdiri daripada Melayu golongan pertengahan dan orang Melayu ini yang hidup bebas dari kongkongan UMNO. Mereka mendapat maklumat tepat daripada berbagai saluran. Tidak seperti orang Melayu yang hidup di luar bandar yang bergantung kepada media kerajaan untuk mendapatkan maklumat. Tidak ada parti politik yang ‘bodoh’ dalam perjuangan di dunia ini melainkan parti UMNO. UMNO sanggop mengadai maruah bangsa dan agama. Pemimpin UMNO boleh dibeli dengan umpan wang ringgit.
UMNO merongkai sedikit demi sedikit hak dan kepentingan Melayu dalam berbagai sector, manakala kepentingan hak bukan Melayu semakin bertambah dari masa ke semasa hasil perjuangan para pemimpin mereka yang bijak melalui saluran politik yang sah. Tidak mustahil akan sampai satu masa nanti orang Melayu akan hilang semuanya. Orang Melayu akan mengigit jari. Orang Melayu akan merempat di tanah air sendiri seperti apa yang berlaku terhadap bangsa Palestin.
Mentaliti orang Melayu jumud dan otak beku. Tidak mampu berfikir. Tidak mampu membuat pemilihan yang mana haq dan yang mana bathil. Semua ini terjadi kerana UMNO. UMNO mahu orang Melayu menjadi seperti itu. UMNO tutup semua saluran untuk memperkembangkan minda. UMNO kawal seluruh system kehidupan orang Melayu supaya survival politik UMNO terus kekal berkuasa. UMNO menjadikan orang Melayu sebagai ‘lembu pawah’ yang boleh dicucuk hidung setiap hari, yang boleh disembelih bila-bila masa yang dikehendaki. Pemimpin UMNO pantang dicabar. Mereka semuanya suci dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Mereka terhindar daripada sebarang dosa dan noda. Mereka maksum.
Dakyah inilah yang disumbatkan ke telinga dan mental orang Melayu setiap hari. Dalam pada itu orang Melayu disalurkan dengan berbagai habuan duniawi agar orang Melayu terus lupakan diri. Orang Melayu tidak akan peduli apa yang berlaku di luar daripada kandang mereka ditempatkan. Keadaan ini menjadikan para pemimpin UMNO bermaharajalela, rakus, gelojoh dan berani bertindak zalim terhadap sesiapa sahaja kerana tidak ada orang yang berani bangun mempersoalkannya. Konsep biarkan, biarkan, si luncai dengan labu-labunya diamalkan sepenuhnya oleh jenis orang Melayu yang saya sebutkan di atas.
Melihat scenario ini, kedudukan orang Melayu luar bandar yang menjadi ‘base’ kepada kekuatan UMNO, UMNO tidak akan hilang sokongan, kemungkinan UMNO akan mengalami sedikit kemerosotan sokongan, tetapi tidak sampai ke tahap UMNO kehilangan kuasa seperti yang berlaku di Indonesia, Filipina, Thailand dsbnya.
Demokrasi di Negara ini telah lama ‘mati’. Demokrasi bukan hanya diukur kejayaan mengadakan PRU setiap 5 tahun sekali. Ia memerlukan kebebasan setiap rakyat, pertubuhan dan organisasi yang ditubuhkan secara sah untuk bercakap, menulis dan berhimpun secara aman untuk bertukar-tukar pendapat demi kebaikan rakyat dan Negara. Adalah menjadi haq setiap organisasi dan rakyat menyampaikan dasar dan matlamat perjuangan masing-masing. Bukan mengikut fahaman mamak tongkang Zainuddin Maidin, yang bodoh-sombong itu.
Apa erti pilihanraya apabila seluruh kegiatan dan aktiviti rakyat dan pembangkang untuk menyalurkan maklumat pandangan kedua kepada rakyat disekat, diganggu dan diharamkan. Terlalu sukar bagi rakyat dan pembangkang bukan daripada golongan UMNO untuk bergerak dalam Negara ini, tidak seperti UMNO yang ada berbagai saluran yang ada di bumi, di langit, di udara dan di lautan. UMNO mendapat dokongan pelbagai pihak termasuk ‘syaitan dan iblis’.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengizinkan rakyat Malaysia untuk bebas menyokong mana-mana parti politik yang berdaftar dalam negara, tetapi UMNO tidak langsung menghormati Perlembagaan negara. Sikap jahat ini samalah dengan sikap dan doktrin Yahudi Zionis yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan hala tuju hidupnya sendiri. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang berhak memimpin kerana sifat mereka sebagai `the chosen people of God’.
Bagi mereka demokrasi itu bagus dan murni jika rakyat memberi sokongan kepada mereka [UMNO]. Jika sebaliknya, demokrasi itu harus diabaikan dan rakyat harus dihukum sepertimana yang berlaku terhadap pemerintahan PAS di Terangganu [1963 dan 1999-2004] dan di Kelantan sekarang ini. Akhir-akhir ini, UMNO menjadikan Negara ini sebagai sebuah ‘Negara Polis’ sepertimana mantan PM ke-4 pernah sebutkan dulu. Sila rujuk link yang disediakan ini [http://www.malaysiakini.com/news/58649 dan juga link ini http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=4971&Itemid=1]
Ke arah ‘Negara polis’ telah mulai wujud apabila semangat Reformasi ala-Indonesia muncul selepas Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan. Ia menjadi bertambah ‘keras’ bila UMNO mengalami kehilangan pengaruh dikalangan orang-orang Melayu pada PRU ke-10 tahun 1999. Selepas itu, bagi mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, maka UMNO terpaksa memperalatkan pasukan polis [disamping SPR, JPN dan institusi-institusi kerajaan lainya] supaya bertindak ganas, kejam, zalim dan tidak berperikemanusian terhadap PAS dan juga KeADILan [sekarang PKR].
Pasukan polis mulalah bertindak ganas mulai 1 Julai 2001 [pengharaman ceramah umum di tempat awam dan setiap ceramah perlu mendapat permit polis bagi memenuhi Akta Polis 1967] segala aktiviti dan kegiatan PAS dan KeADILan disekat, dikekang dan dipantau. Para pemimpin, ahli dan penyokong PAS dan KeADILan ditangkap, dipukul, disepak, diterajang, disembur dengan air dan bahan kimia, didakwa dan dihukum oleh mahkamah [pejabat Peguam Negara turut berperanan] berdasarkan percaturan politik UMNO sepertimana yang kita sedang saksikannya sekarang [rujuk peristewa demontrasi menentang kenaikan tol, minyak, tariff elektrik-air, perhimpuan BERSIH, Hindraf, Peace Walk sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia oleh Bar Cauncil dsb] menerima tentangan paling hebat daripada pasukan polis demi menjaga survival UMNO [alasan yang dicipta adalah untuk menjaga keamanan dan kenteraman awam serta perpaduan rakyat berbagai kaum adalah auta].
Dalam konteks ini , PAS pernah menulis surat rasmi kepada YABhg Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah Pengerusi,Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM [http://www.parti-pas.org/modules.php?name=News&file=article&sid=319] pada 12 Julai 2004 mengadu perihal tindak-tanduk pasukan polis yang tidak berprofessional ketika menjalankan tugas, terpengaruh dan mengikut telunjuk UMNO. Budaya ‘lempar batu sembunyi tangan’ bukan asing kepada UMNO kerana budaya inilah yang berjaya dihasilkanya semenjak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu dan banyak pula faedahnya kepada UMNO. Kadang-kadang tindakan pasukan polis begitu keterlaluan di luar batas-batas kemanusian dalam konteks Malaysia yang mempunyai hak-hak dan jaminan ini telah ditegaskan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5 hingga 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan jaminan terhadap hak-hak yang berkaitan secara langsung dengan tugas polis. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan khususnya telah menyentuh secara langsung tentang hak-hak politik yang dinikmati oleh rakyat. Secara khusus, Akta Polis 1967 adalah suatu akta yang berkaitan secara langsung dengan tugas-tugas polis. Malangnya beberapa peruntukan dalam akta ini telah melampaui semangat [ultra virus] Perlembagaan Persekutuan terutama Seksyen 27 iaitu berkenaan kuasa polis terhadap perhimpunan ramai.
Oleh sebab itu, Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Abu Talib Othman pada 12 Disember 2007 lalu menyarankan agar Akta Polis khususnya seksyen 27 ini dimansuhkan kerana ia melanggar Hak Asasi Manusia iaitu Perkara 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, dimana setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan dan Perkara 21- Kovensyen Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966. Pasukan polis dengan sengaja menyalahgunakan Akta ini untuk kepentingan politik UMNO [tafsiran rakyat masa kini]. Ia berdasarkan tindak-tanduk pasukan polis sendiri yang bertindak melampau. Pasukan polis tidak boleh menyalahkan rakyat untuk membuat tafsiran masing-masing. Mereka berhak membuat tafsiran berdasarkan fakta dan keadaan yang berlaku yang dipaparkan oleh media [bukan media massa arus perdana yang telah dibaruakan dan menjadi tali-barut serta bersedia pula untuk dilacurkan oleh UMNO bila-bila masa yang dikehendaki] dan lain-lain saluran maklumat yang ada di zaman IT ini.
Inilah realiti di dalam sebuah negara yang diberi nama sebuah negara demokrasi tetapi dari sudut praktisnya adalah `the iron law of oligarchy’. Bahkan jika diperhalusi lagi, oligarki itu sebenarnya sekelompok yang dikuasai oleh seorang pemimpin yang bersifat diktator atau pemimpin kuku besi. Georgel Orwell dan Noam Chomsky pernah mengatakan betapa trend politik pada abad ke 21 ini akan menunjukkan ciri-ciri totalitarianisme yang mengawal segala gerak geri rakyat untuk memelihara kepentingan individu dan parti pemerintah dalam sesebuah negara. Inilah trend yang semakin bermaharajalela di arena politik tanahair kita hari ini. Mereka menyembelih mana-mana elemen demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara menyatakan kebenaran dan keadilan. Biar dari mana suara itu kedengaran, dari mimbar masjid, dewan kuliah universiti, warung, pejabat, cyber cafe mahupun di Dewan Rakyat [tangkapan Dato’ Mustaffa Ali menjadi buktinya].
Abdullah ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Kedah berkata, kerajaan [baca: UMNO] akan memberi perhatian yang lebih [memulihan kenyakinan rakyat terhadap UMNO dan menyelesaikan permasalahan rakyat] terhadap ketiga-tiga buah negeri iaitu Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang merupakan kawasan ‘panas’ seperti yang didakwa oleh Tun Daim Zainuddin yang memungkinkan UMNO akan mengalami kekalahan yang teruk dalam PRU ke-12 nanti [rujuk : http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm]
PRU ke-12 terpaksa dilakukan pada tahun 2008 mungkin disekitar bulan Mac, ia dibuat dalam keadaan yang serba bermasalah kepada UMNO. Berbagai isu timbul mutakhir ini. Kaum China dan kaum India mula bangkit menentang UMNO yang menjadi tulang belakang BN. UMNO tidak boleh lagi mengharapkan sokongan daripada kedua-dua kaum ini sepertimana yang mereka dapat dalam PRU ke-10 dulu. Ketika itu orang Melayu pakat ramai-ramai menolak UMNO, tetapi pada masa kini dalam kedudukan kawasan pilihanraya yang disusun semula pada tahun 2003, tiada lagi kawasan majoriti Melayu melebihi 80%. Melayu pasti berpecah dua. Sebahagian akan mengundi PAS dan selebihnya akan mengundi UMNO. Ini adalah strategi UMNO untuk mengalahkan PAS kerana untuk menang mana-mana parti mesti mendapat sokongan bukan Melayu. Pada fikiran UMNO pada ketika itu, bukan Melayu pasti menolak PAS kerana PAS berjuang atas tiket agama. UMNO yang secular dan lebih liberal akan tetap menjadi pilihan bukan Melayu. Itu dulu, kini politik kaum China dan India mulai berubah.
Jadi, untuk menang UMNO terpaksa sekali lagi menggunakan kaedah di luar batas-batas amalan demokrasi seperti yang ditunjukkannya dalam siri-siri pilihanraya kecil di Indera Kayangan, Sanggang, Permatang Pasir, Batu Talam, Machap, Ijok dan pilihanraya kampus yang menjadi medan ujian bagi UMNO mencari formula untuk mengulangi kemenangan besar dalam PRU ke-11 lalu. UMNO pastinya tidak akan bergerak secara adil, bebas dan tulus dalam menghadapi PRU ke-12 nanti. Dihadapan kita sekarang sudah ada benteng pertahanan terakhir UMNO iaitu raSHIT yang sudah disambung kontraknya mempunyai MISI penting untuk memenangkan UMNO. Begitu juga dengan JPN, pasukan polis, Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah sedang bersiap sedia untuk menghadapi pembangkang.
Menyedari hakikat tersebutlah, Presiden PAS ketika berucap di Melaka telah memberi amaran bahawa PAS [dan mungkin juga PKR dan DAP] akan tetap menyertai pilihanraya untuk melawan penipuan dan penyelewengan yang bakal dilakukan oleh UMNO, termasuk selepas pilihanraya nanti [Rujuk : http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/pas-tetap-lawan-penyelewengan-umno-walau-lepas-pilihan-raya.html]. Ancaman Haji Hadi ini sedikit pun tidak menjadi kudis buat UMNO. UMNO akan tetap dengan agendanya sepertimana yang kita sudah maklumi modus operandinya yang UMNO lakukan berdekad lamanya. Banyak mana pembangkang hendak mengemukakan bantahan, dipersilakan. UMNO tidak pernah gentar. Sebagai buktinya, rujuk balik berapa banyak saman yang dikemukakan oleh PAS dan KeADILan bagi mencabar kesahihan PRU ke-11 lalu yang dipenuhi dengan pelbagai penyelewengan dan menyalahgunaan kuasa. KeADILan [sekarang PKR] telah membuat laporan khusus mengenai penyelewengan PRU ke-11 yang bertajuk ‘Sham Democracy’ dan diedarkan ke seluruh dunia melalui duta-duta mereka yang ada di Malaysia.
Hatta secara jelas UMNO dan SPR [tambah masa pengundian di Selangor, daftar pemilih caca-merba] telah melanggar Perlembagaan dan undang-undang. Menurut peraturan undang-undang, UMNO tidak boleh sama sekali menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen. Perbuatan seperti itu salah dan bersifat penyelewengan serta rasuah. UMNO perlu berkempen berdasarkan kekuatan parti politiknya sendiri seperti parti lawannya, pembangkang. Pemimpin-pemimpin UMNO [baca: BN juga], termasuk Abdullah Ahmad Badawi, Najib Tun Razak dan para menteri, tidak boleh membuat janji-janji untuk memberikan peruntukan pembangunan itu dan ini dengan wang kerajaan kepada para pengundi. Jika didapati pemimpin UMNO [BN juga] berbuat demikian, itu merupakan satu kesalahan rasuah dalam Akta Kesalahan Pilihanraya tahun 1954. Namun, tidak ada satu saman pun dibicarakan di mahkamah terbuka sampai sekarang, ketika kita diambang PRU ke-12 akan menjelma bila-bila masa dari sekarang. UMNO akan terus menggunakan strategi 3Mnya untuk melakukan penipuan, rasuah dan ugutan secara besar-besaran bagi memenangi PRU ke-12. 3M merujuk kepada "Machinery" [Jentera], "Media" [Media] dan "Money" [Wang].
Haniza Talha ada menulis dalam Malaysia Today [http://www.malaysia-today.net/2008/index.php?option=com_content&task=view&id=242&Itemid=32] . Dalam tulisan itu, beliau menyebut bahawa orang Melayu makan duit, mereka tidak makan isu. Timbullah isu apa pun, orang Melayu tidak akan ambil peduli. Apa yang mereka tahu ialah makan, tidur, buat anak dan berhibur. Kecetekan politik orang Melayu ini amat malang bagi ummah, Islam dan Negara. Masalah inilah yang dijumpai oleh Dr. Dzulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Kajian PAS Pusat yang menyatakan pemikiran politik orang Melayu telah mencapai tahap ‘tepu’ yang tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Saya juga turut bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Mohd. Sayuti Omar [http://marhaen.ngepeng.com/mar_a_merah_tinta28.html] bahawa kita patut memulaukan PRU ke-12. Tindakan itu katanya lebih rasional dan dipandang oleh dunia. Kita mengatakan SPR tidak adil tetapi dalam masa sama kita menyertai pilihanraya. Sayuti kata menyertai pilihanraya menunjukkan kita bersetuju dengan apa yang SPR lakukan selama ini. Sikap tidak konsisten inilah menyebabkan orang merasakan protes kepada SPR itu hanya protes olok-olok sahaja. Saya juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa usaha yang dibuat pembangkang dan Bersih berarak [ke Parlimen-bukan perhimpunan 10 November] mendesak agar pindaan akta SPR itu dibatalkan tidak akan membawa apa-apa hasil kerana UMNO menguasai ¾ suara di Parlimen . Ia hanya sia-sia sahaja dan usul tersebut sudah pun diluluskan dan kini berada di Dewan Negara untuk dibincangkan [rubber stamp sahaja].
Tetapi saya tidak bersetuju dengan pandangan Sayuti bahawa kita tidak boleh kritik raShit dan SPRnya. raSHIT memang seorang manusia yang biadap dan kurang ajar. Tidak tahu adat dan bersikap melampau. Jika beliau seorang manusia yang tahu adat, yang duduk di kerusi Pengerusi SPR, sepatutnya ketika beliau bercakap atau memberi pandangan, ia perlu berhati-hati, guna fikiran yang matang, bukan guna kepala lutut agar segala percakapannya tidak mengambarkan yang beliau bersikap ‘bias’ yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain selain daripada golongan UMNO haprak. Biarkan orang luar daripada golongan UMNO melihat dia itu neutral, walaupun pada hakikatnya beliau seorang UMNO lebih daripada UMNO. raSHIT sepetutnya menteladani bekas-bekas Pengerusi SPR yang terdahulu. Semua orang tahu mereka juga adalah penyokong kuat UMNO, kalau tidak, mustahil mereka boleh duduk di kerusi itu. Sikap raSHIT menunjukkan beliau seorang manusia yang tidak ada moral dan tidak berakhlak. Manusia durjana.
Jadi apa pendirian kita : Menyertai pilihanraya atau memboikotnya?
“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”
Sekian.Wassalamu ‘alaikum Wr.Wb
yeezy outlet
ReplyDeletecheap jordans
bape
bape hoodie outlet
jordan 1
kyrie 9
jordan outlet
birkin bag
kobe shoes
palm angels outlet