Sunday, October 7, 2007

DI MELAKA KAWAN BABI, DI TERANGGANU GILA BABI

BILA KEMPEN BERSIH BERTEMU DENGAN PELURU HIDUP
Lee Ban ChenSep 20, 07 2:31pm
Petikan daripada Malaysiakini.com :
http://www.malaysiakini.com/columns/72634
Oleh : Tun Telanai

Assalamu'alaikum wm.wrt,

[Saya mengambil rencana yang ditulis oleh saudara Lee Ban Chen dan diubahsuai mengikut keadaan semasa.Harap maklum.]

Esuk 8 Oktober, genap sebulan insiden rusuhan 8 September 2007 berlaku di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu, hakikat sebenar masih belum terdedah dan implikasinya juga masih hangat diperbincangkan. Kerajaan takut untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat apa sebenar yang berlaku. UMNO selalunya bermain politik "baling batu sembunyi tangan" dengan meng'kambingHitam'kan pihak lawan khususnya PAS yang menjadi saingan paling hebat dalam arus politik perdana. PAS parti Melayu-Islam yang tunggal di negara ini, tidak kepada UMNO, parti cerca merba.

Cukup menggemparkan ialah dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pihaknya telah mendapat maklumat lebih awal akan berlaku provokasi awam di tempat ceramah anjuran Bersih (Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil) di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud pada malam 8 September itu.

Kata Hadi, PAS juga tahu siapa yang campurtangan supaya polis tidak mengeluarkan permit untuk mengadakan ceramah tersebut.

Polis bersubahat dengan parti pemerintah memang bukan perkara yang baru, sungguhpun seperti teori-teori konspirasi yang lain, memang sukar hendak dibuktikan tanpa kerjasama pihak polis yang telah hilang kredibilitinya, serta diberi kuasa timbangtara yang mutlak.

Namun, tidak dapat dinafikan memang tidak wajar polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan aman anjuran Bersih yang bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih.

Terutamanya alasan yang diberi, iaitu tempat terbabit tidak sesuai untuk diadakan ceramah kerana terletak dalam kawasan perumahan pegawai kerajaan, nyata sekali amat sukar diterima oleh pihak penganjur sebagai alasan yang munasabah. Menurut pemilik rumah di mana ceramah dijadualkan diadakan, Ahmad Salleh yang berumur 77 tahun, selama ini pihak polis tidak pernah menghalang ceramah-ceramah yang diadakan di kawasan rumah beliau kerana tidak pernah berlaku sebarang kejadian buruk, dan penduduk sekitarnya juga tidak pernah merungut.


Kata beliau, tokoh-tokoh pembangkang termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Fadzil Noor kesemuanya pernah berceramah di sana, dan yang paling ramai pernah dihadiri oleh 100,000 orang pada 1999.

Sekatan jalan

Berasaskan laporan-laporan dan kenyataan-kenyataan terbabit, tidak kelihatan usaha pihak polis untuk melaku adil kepada pihak penganjur. Pemimpin-pemimpin Bersih juga tidak diajak untuk berkompromi dan menenteramkan keadaan.

Sebaliknya polis telah menunjukkan ketegasan dan keghairahan yang melampau untuk menindas dan membatalkan suatu perhimpunan yang sewajarnya aman jika tidak disabotaj oleh pihak yang berniat jahat.

Menurut kronologi Malaysiakini, pada 5 petang hari terbabit, beberapa sekatan jalan dan halangan polis telah didirikan di sekitar tempat ceramah melarang kemasukan para hadirin agar pentas program dapat dirobohkan tanpa keizinan pihak penganjur.

Dari jam 6 petang hingga 8 malam, ahli dan penyokong PAS dan PKR mulai berhimpun di depan sekatan Jalan Sultan Mahmud, dengan harapan ceramah dapat diteruskan melalui perundingan pada saat-saat terakhir.
Bagaimanapun, pihak polis enggan berganjak. Pada jam 8.45 malam polis telah mengambil tindakan untuk menyuraikan mereka dan memberi amaran mereka yang enggan bersurai akan ditahan. Maka tercetuslah huru-hara apabila yang diganasi membalas dengan balingan batu dan sebagainya.

Pada jam 9.40 malam, penceramah undangan, termasuk Mustafa Ali (PAS), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Bersih), Khalid Ibrahim (PKR) , Leong Ngah Ngah (DAP) dan Azmi Hamid (Teras) telah tiba, namun pihak polis tidak mengambil kesempatan ini untuk mengadakan perundingan dan kompromi, agar kemarahan perusuh yang kian ramai jumlahnya itu, dapat diredakan dan ketenteraman di kawasa terbabit dapat dipulihkan.
Pihak polis sebaliknya meningkatkan tindasan dengan tembakan gas pemedih mata dan menggunakan trak penyembur air terhadap orang ramai yang berhimpun di antara jarak stesen Esso dan masjid. Pada jam 11.45 malam, ahli PAS, Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21, terkena tembakan seorang anggota polis, Azmi Hussein, 29, yang melepaskan empat das peluru hidup dekat Hotel Permai Inn.

Menurut Ketua Polis Negeri Terengganu Datuk Ayub Yaakob, Azmi menembak untuk mempertahankan diri kerana diserang oleh 20 orang lelaki yang bertindak mengugut dan memukul anggota polis itu dengan kayu dan menyebabkannya terjatuh.


Lepas tembakan

Dakwaan tersebut disanggah oleh seorang saksi kejadian tersebut, Osman Ismail, 49, yang melihat sendiri dari dekat bahawa anggota polis itu melepaskan empat atau lima das tembakan rambang sambil berlari ke arah Pasukan Simpanan Persekutuan selepas bertengkar dengan beberapa orang pemuda. Beliau yang takut terkena peluru sesat, bergerak ke arah lain dan ketika itulah beliau kedengaran laungan ‘mati’!

Osman menambah, beliau nampak anggota FRU yang berang bertindak memecah cermin kereta dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan. Beliau juga ternampak trak FRU terlanggar pasu bunga di Jalan Sultan Mahmud ketika mengundurkan kenderaan secara membuta tuli.

nsiden tembakan peluru hidup tidak mendapat tumpuan sepatutnya dalam laporan media aliran perdana. Sebaliknya insiden membakar Jalur Gemilang dan panji-panji Umno pada malam tragedi tersebut telah diwar-warkan.

Saya setuju dengan pendapat Ahmad Lutfi Othman bahawa selepas gas pemedih mata dilepaskan dan sebaran sebutan bahawa salah seorang yang ditembak oleh polis berpakaian preman telah meninggal dunia, maka tidak sukar difahami mereka yang dikuasai perasaan amarah, selain daripada ejen provokatur, mungkin juga membakar Jalur Gemilang atau panji-panji Umno, sebagai protes mereka terhadap simbol negara dan simbol parti pemerintah.

Berbanding dengan rampasan hak mereka untuk berhimpun secara damai, dan ancaman keselamatan dan nyawa ratusan, malah ribuan orang ahli dan penyokong PAS dan PKR oleh keganasan polis, apakah perlu diribut-ributkan tentang sehelai dua Jalur Gemilang atau panji Umno yang dibakar?

Bila kempen Bersih untuk pilihanraya yang lebih adil dan bersih bertemu dengan peluru hidup, bila anggota polis cawangan khas dalam pakaian preman disyaki memainkan peranan ejen provokatur, dan bila polis disyaki bersubahat dengan pemimpin Umno untuk mensabotaj perhimpunan aman parti-parti pembangkang, maka apakah perlu digembar-gemburkan tentang ‘semangat patriotik’ seperti yang ditakrifkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional?

Jelas sekali, yang lebih penting ialah desakan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas dan tidak memihak, untuk membuat siasatan segera secara mendalam dan perinci tentang pihak mana dan siapakah yang perlu bertanggungjawab terhadap tercetusnya Rusuhan Batu Buruk yang melibatkan 23 kes tangkapan polis, tujuh kes cedera (termasuk dua orang yang ditembak oleh peluru hidup) dan kemusnahan harta benda awam yang ditafsirkan bernilai sejuta RM.

Selamat mengerjakan Ibadah Puasa semoga mendapat hidayah dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Selamat menyambut Aidil Fitri-maaf zahir dan batin.


“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

Sekian, wassalam. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment