Wednesday, February 29, 2012

SEMUA MENUNGGU GANI PATAIL: ADAKAH SUAMI SHARIZAT AKAN DIDAKWA?

Perhatian rakyat Malaysia telah beralih kepada Peguam Besar yang popular, Gani Patail, kerana ingin tahu jika dia akan mengeluarkan waran tangkap bagi suami Menteri hal ehwal wanita Shahrizat Jalil, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan NFC yang berjumlah RM250mil.

Gani yang sering dituduh rasuah dan menjadi pak turut kerajaan persekutuan pimpinan Umno, dan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada hujung minggu yang lalu, terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya, ia mencetuskan spekulasi bahawa ia adalah isyarat kepada Gani untuk tidak tunduk kepada tekanan daripada orang ramai, pihak pembangkang dan Umno sendiri, untuk bertindak ke atas kes yang memakan masa yang lama itu.

Najib sebenarnya memberi respon terhadap berita bahawa polis telah mengesyorkan supaya dakwaan pecah amanah dikenakan keatas Salleh Ismail, pengerusi NFC, walaupun timbalan ketua polis, Khalid Abu Bakar sebelumnya telah mengumumkan pada bulan November bahawa siasatan tidak menunjukkan apa-apa "elemen" pecah amanah .

Sesungguhnya, skandal NFC penuh dengan misteri kerana hampir semua kumpulan-kumpulan utama dalam parti Umno terlibat dalam perjanjian itu. Projek itu sendiri bertujuan untuk membangunkan industri penternakan lembu di Malaysia dan telah dianugerahkan kepada suami Shahrizat serta keluarga untuk diselia pada tahun 2006.Sebuah pinjaman kerajaan berjumlah RM250mil telah diberikan bagi pembiayaan projek itu tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang yang diketuai oleh pengarah strategi PKR Rafizi Ramli dan ketua wanita Zuraida Kamaruddin telah mendedahkan bahawa keluarga Shahrizat menggunakan sebahagian besar pinjaman untuk tujuan peribadi termasuk membeli kondominium mewah, kereta,bercuti di luar negara dan sebagainya.

PN mesti bertindak dengan profesional

Menyeru pentadbiran Najib untuk berhenti menundakan kes ini, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang memberi amaran keras terhadap menggunakan Gani sebagai alasan untuk menghalang atau melambatkan tindakan terhadap Salleh baru-baru ini.

"Apa yang penting ialah Peguam Negara mesti bertindak mengikut fakta kes. Saya berharap mereka akan menyelesaikan perkara itu secara profesional," Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, memberitahu sidang akhbar pada hari Isnin.

Salahuddin bimbang akan komen terbaru Perdana Menteri mengenai perkara itu, yang membayangkan bahawa ada kemungkinan tiada pendakwaan akan dilakukan oleh pentadbiran beliau. Perdana Menteri berkata Peguam Negara memegang kuasa mutlak di bawah Perlembagaan untuk memutuskan sama ada sesuatu kes mempunyai bukti yang mencukupi untuk diterima di mahkamah, kegagalannya akan menyebabkan kes dikembalikan semula kepada polis untuk siasatan semula.

"Saya menyatakan ini berdasarkan prinsip bahawa andaian tidak boleh dibuat ke atas apa yang akan berlaku seterusnya kerana ia terpulang kepada Peguam Negara .dan hanya dia mempunyai hak untuk membuat keputusan dalam perkara ini. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua siasatan berakhir dengan pendakwaan, "kata Najib kepada pemberita pada hari Ahad.

Najib dan pengikutnya telah dipersalahkan kerana memulakan kejatuhan NFC kerana memberi maklumat tentang penyalahgunaan dana dengan tujuan untuk menjatuhkan Shahrizat dan menggantikannya dengan Raja Nong Chik sebagai calon bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umun yang akan datang. Ia dijangka akan diadakan pada akhir tahun ini.

Najib, bagaimanapun, tidak bersedia apabila skandal meletup dan sekarang sedang dipersalahkan kerana mengurangkan peluang Umno untuk menang pada PRU ke-13. Dipercayai bahawa dia kini sedang membuat perjanjian dengan Shahrizat untuk tidak mendakwa beliau, dengan syarat dia meletak jawatan dari kabinet dalam masa terdekat.

Memalukan Muhyiddin dan Badawi secara berterusan

Pemerhati Umno percaya bahawa dia kini sengaja memanjangkan drama NFC kerana puak saingan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga terlibat dalam kes itu.

Badawi yang juga mantan Perdana Menteri telah memberikan projek kepada keluarga Shahrizat untuk diurus. Pesaing berpotensi Najib dalam perlumbaan untuk merebut jawatan presiden Umno, Muhyiddin Yasin, merupakan bekas Menteri Pertanian yang menanda tangani secara rasmi pemberian projek kepada keluarga Shahrizat. Dengan memainkan skandal NFC, Najib berharap untuk menjatuhkan kedua-dua Badawi serta Muhyiddin.

"Najib akan memaksimumkan pengunaan media untuk memalukan Muhyiddin, KJ dan puak Badawi, jadi jangan mengharapkan tindakan pantas atau keputusan daripada Peguam Negara. Taktik ini memberi kelebihan kepada Najib dan beliau akan menggunakannya sepenuhnya. Kepada rakyat, sudah tentu dia akan menyanyikan lagu yang berbeza dan tali barutnya akan pergi menyebarkan pelbagai jenis cerita untuk cuba memisahkan diri daripada skandal NFC, "kata pemerhati Umno kepada Malaysia Chronicle.

"Tetapi saya tidak fikir ia akan berjaya memperdayakan orang ramai kerana mereka tahu Umno tetap meraih keuntungan daripada pendedahan kes Shahrizat dan sekarang ia cuba dipanjangkan dengan membabitkan Muhyiddin dan Badawi supaya nama mereka juga tercemar. Yang rugi adalah Umno, secara keseluruhannya kerana politik kotor tetap akan memakan presidennya juga. "

Written by Maria Begum, Malaysia Chronicle

FELDA SABAH ATAU WILAYAH PERSEKUTUAN SABAH; BOM JANGKA UNTUK BN DALAM PRU 13

Sabah, secara rasminya negeri di bawah bayu, juga ada nama lain dalam tahun-tahun ini. Sejak Umno mengambil alih kerajaan negeri pada 1994, ia juga dikenali sebagai negeri di bawah penjajahan Malaya atau negeri di bawah koloni Malaya- dengan sebab yang tertentu.

Satu lagi skandal yang terbit adalah fungsi atau ‘ketiadaan fungsi’ Felda atau Federal Land Devepoment Authority di negeri itu.

Pihak berkuasa itu memiliki lebih kurang satu per tiga daripada sejuta ekar atau lebih tepat, 306 000 ekar tanah di Sabah seraya menyalahi perlembagaan negeri, Gabenor dan kerajaan negeri dan juga konsep sebenar Persekutuan.

Kepura-puraan

Felda memasuki negeri itu pada tahun 1979 dengan berpura-pura atau dengan perjanjian yang tidak pernah ditepatinya. Tiada tanda-tanda bahawa agensi persekutuan itu akan menyerahkan tanah itu semula kepada kerajaan negeri.

Bagi memburukkan lagi keadaan, sebahagian besar tanah yang diambil mereka adalah tanah NCR (rizab peribumi) yang sepatutnya diturunkan kepada anak cucu pemilik asal. Dengan itu, penaklukan tanah di Sabah oleh Felda juga melanggar Adat, Perlembagaan pertama yang diperakui oleh perjanjian Malaysia, 1963, kerajaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Trajedi Sabah bermula semasa Kerajaan Berjaya, di bawah Ketua Menteri Mohd Harris Salleh (1976-1985) yang sebenarnya dipimpin oleh Kerajaan Persekutuan.

Felda Sabah adalah jenayah paling teruk dilakukan oleh Kerajaan Persekutan terhadap Sabah bersama dengan membenarkan pendatang asing membanjiri negeri itu, pencurian minyak dan gas dan ketidakakuran terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

Komplot keji terhadap rakyat Sabah ini bermula pada 1976, sejurus selepas kemalangan trajik pada 6 Jun dimana kapal terbang terhempas membawa Ketua Menteri Donald Aloysius Marmaduke Stephens @ Mohd Fuad Stephens, anak beliau, tiga orang menteri kabinet kerajaan negeri, seorang timbalan menteri dan lima yang lain di sepanjang pantai Sembulan, Kota Kinabalu.

Sejurus pemergian Stephens

Stephens, Huguan Siou ( Ketua Penghulu) kepada kaum peribumi berketurunan British –Kadazan di sebelah ayahnya dan British- Jepun di sebelah ibunya.

Harris, yang pada ketika itu adalah Timbalan Ketua Menteri dengan sedih pilu telah mengambil alih jawatan Ketua Menteri dengan segera dan dalam masa beberapa hari telah menandatangani penyerahan mutlak minyak dan gas negeri tersebut kepada Kerajaan Persekutuan. Stephens sebelum itu enggan menandatanganinya dan sekiranya ia tidak dapat dielak, mahukan 30% royalti kemuadian sekurang-kurangnya 20%. Harris telah dipaksa bersetuju dengan 5% yang ditawarkan kerajaan Persekutuan.

Jauh dari perhatian pula adalah agenda Felda untuk mencuri tanah di Sabah secara besar-besaran pada tahun 1979.

Dengan perjanjian bersama kerajaan negeri pada tahun itu, Felda berjanji akan membangunkan skim tanah penduduk di Sabah untuk rakyat tempatan, bukan pendatang asing seperti yang berlaku kini. Sebagai pulangan, kerajaan negeri Sabah telah mengadakan 200 000 ekar tanah di Kinabatangan, kemudian 50 000 ekar di Kinabatangan/Lahad Datu dan akhirnya 56,000 ekar di kawasan yang sama.

Kurang daripada 7% dibangunkan

Agensi tersebut, menurut peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kong Hong Ming yang sedang menyiasat Felda Sabah menganggarkan kurang 7% tanah tersebut dibangunkan iaitu tanah yang diserahkan kepadanya untuk 1500 penduduk dengan setiapnya sepatutnya mendapat 14 ekar.

Pada tahun 1990, Felda Sabah telah melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri kerana kerajaan Persekutuan telah menjimatkan dana untuk memberikan infrastruktur asas dan kemudahan kepada skim tanah. Pada masa itu, kerajaan Berjaya telah pun dijatuhkan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS).

Agensi itu bukan sahaja melanggar perjanjian tetapi enggan menyerahkan tanah yang belum dibangunkan kepada kerajaan negeri dan mengagihkannya semula kepada pemilik asal. Apalagi ketika itu PBS diketuai oleh seorang peribumi beragama Kristian yang juga Ketua Menteri Joesph Pairin Kitingan. Beliau juga mengeluarkan partinya daripada BN pada tahun yang sama.

Berdasarkan perjanjian 1979, Felda telah bersetuju untuk menwujudkan Komiti Pemilihan yang menguruskan pemilihan dan perlantikan penduduk untuk skim pendudukan. Felda harus melantik sekurang-kurangnya dua ahli yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Komiti Pemilihan ini yang terdiri daripada empat ahli dengan ahli dari Felda sebagai pengerusi.

Felda juga berjanji bahawa penduduk yang dipilih oleh Komiti akan berhak untuk turut serta dalam pembangunan dan penyelenggaraan tanah yang telah ditentukan dan berdasarkan bayaran gaji juga dividen. Felda perlu menyediakan plot rumah kepada setiap penduduk dan keluarga mereka besama rumah persendirian dibina di atasnya di kawasan rumah dalam skim tanah tersebut.

Tetapi, setelah mengenepikan perjanjian 1979, Felda telah seolah-olah mewujudkan kawasan tanah persekutuan tidak rasmi di Sabah dengan mewujudkan badan keselamatan yang mengawal pergerakan keluar masuk dari tanah tersebut dan menyingkirkan beribu-ribu rakyat peribumi yang miskin di negeri itu yang sebelum ini menyimpan harapan untuk kehidupan yang lebih baik.

WP Sabah bukan Felda Sabah

Kawasan “Wilayah Persekutuan’ yang ditadbir Felda ini mempunyai stesen janakuasa dan bekalan air bersih mereka sendiri; yang peliknya, kampung-kampung berhampiran masih hidup dalam kegelapan dan terpaksa mendapatkan bekalan air di sungai berhampiran bagi bekalan air harian seperti membasuh pakaian, ,masak, mandi dan sebagainya.

Felda telah membangunkan tanah di Sabah dengan sendirinya dan menjadikan ia sebuah kawasan tanaman kelapa sawit yang luas tanpa melibatkan pemilik sebenar tanah ini. Cuba teka siapakah yang bekerja di estet-estet besar ini? Ya, sudah pastilah pendatang asing yang boleh keluar masuk ‘Wilayah Persekutuan Felda’ dengan mudah.

Ibu negeri kepada ‘Wilayah Persekutuan Felda’ ini yang bergandingan dengan kawasan perbandaran yang dipenuhi pendatang asing ini adalah kawasan Lahad Datu. Di sini, anda pasti tidak menyangka ia masih lagi negeri Sabah.

Pembangkang di Sabah telah menggesa agar menamatkan perjanjian 1979 dengan Felda dengan memetik bahawa Felda telah melanggar perjanjian tersebut.

Perjanjian lain yang sedang diteliti oleh pembangkang adalah Perjanjian Minyak 1976 di antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan dan penyerahan Labuan kepada kerajaan Persekutuan dan juga Perjanjian Malaysia, 1963 yang juga terdapat unsur pelanggaran perjanjian.

Yang peliknya, kerajaan negeri tidak mempunyai salinan perjanjian Minyak 1976 dan satu teori kita adalah ia sebenarnya tidak pernah wujud. Ini sudah pasti akan membongkarkan banyak lagi penipuan dan rompakan terhadap rakyat Sabah.

Written by K Suresh, Malaysia Chronicle

MAHATHIR - ASET ATAU LIABILITI BUAT NAJIB?

Sejak akhir-akhir Tun Mahathir dilihat begitu aktif dan banyak bersuara. Cuma kalau dulu beliau agak kritikal dalam banyak perkara, mutakhir ini bekas Perdana Menteri itu mula menjadi pendokong nombor satu kepada kepimpinan Najib dan seperti turut bergelut untuk memastikan BN tidak tumbang dalam pilihanraya akan datang, sekaligus mengelakkan musuh politik utamanya Anwar Ibrahim bersama Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Jika di zaman Pak Lah beliau tidak bersetuju dengan semua perkara, di peringkat awal kepimpinan Najib juga beliau tidak setuju dengan banyak perkara seperti 1Malaysia, pembinaan Menara Warisan 100 tingkat, dasar ekonomi berasaskan merit yang mahu diperkenalkan Najib, perlantikan beberapa menteri dan timbalan menteri yang diaggapnya terlibat dengan rasuah serta pelbagai lagi. Pendeknya ada saja kritikannya terhadap dasar dan benda baru yang mahu diperkenalkan Najib.

Dalam masa yang sama, nada dan kritikannya terhadap pembangkang tidak pula berubah. Beliau tetap keras, pedas dan kadang-kadang sinis terhadap pembangkang.

Namun kebelakangan ini, Mahathir seperti menyimpang kukunya yang sebenar terhadap Najib. Beliau bukan saja banyak menyokong Najib, bahkan meneruskan serangan kerasnya terhadap pembangkang. Kalau ada pun dasar baru Najib yang dijangka rakyat beliau akan bersuara menentangnya, sebaliknya beliau hanya berdiam diri. Lebih dari itu dalam usaha Najib mahu menawan kembali Selangor, Mahathir sudah dibawa sebanyak dua kali untuk memberi kata-kata semangat kepada jentera UMNO dan BN Selangor.

Dalam usahanya membantu Najib dan mengelakkan BN tumbang, Mahathir juga turut membuat andaian buruk tentang masa depan negara jika Pakatan Rakyat memenangi piihanraya dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Beliau mengaitkan pertukaran kerajaan dengan agenda Amerika dan kaitannya dengan Israel dengan harapan rakyat akan terus mempertahankan kerajaan BN yang ada sekarang serta menolak Pakatan Rakyat yang berhasrat menggantikan BN.

Soalnya apakah watak Mahathir sekarang masih merupakan aset atau bakal menjadi liabiliti bagi Najib dalam menghadapi PRU 13 akan datang ini?

Harus diakui bahawa Mahathir adalah pemimpin yang hebat dan mampu mempertahankan kuasanya selama 22 tahun. Beliau mempunyai banyak sumbangan kepada pembangunan negara tetapi peranannya kepada perpecahan Melayu juga bukan sedikit. Pengharaman UMNO pada 1988, diikuti penubuhan UMNO Baru dan halangan kepada Tengku Razaleigh serta pengikutnya daripada menyertai parti itu sehingga mengakibatkan penubuhan Semangat 46 adalah dipercayai agenda Mahathir untuk mempertahankan kuasa dan sekaligus menyebabkan Melayu berpecah.

Atas nama perpaduan Melayu, beliau kemudiannya menjemput Ku Li kembali kepada UMNO tetapi kemudian memecah-belahkan kembali orang-orang Melayu dengan memecat Anwar Ibrahim pada 1998. Ia tidak lain untuk mengelakkan Anwar merampas kedudukannya. Ekoran pemecatan itu, PKR ditubuhkan dan orang-orang Melayu berpecah serta tidak lagi bulat seperti dulu.

Kalau dulu Melayu hanya berpecah kepada UMNO dan Pas tetapi Mahathir telah menjadikan cabang perpecahan berpecah tiga - suatu ketika berpecah melalui UMNO, PAS dan Semangat 46, sekarang UMNO, PAS dan PKR pula.

Dari segi pembangunan negara, Mahathir memang banyak membawa pembangunan dann pembaharuan tetapi dalam masa yang sama beliau juga memberi banyak kekayaan kepada keluarga, anak-anak dan kroninya. Di sebaliknya wujudnya KLIA dan KLCC di zaman Mahathir, kekayaan kroni dan anak-anaknya juga meningkat sama dalam pelbagai bidang perniagaan.

Hakikatnya Mahathir mungkin bagus sebagai Perdana Menteri tetapi agak "zalim" sebagai Presiden UMNO dan pemimpin bangsa Melayu. Beliau tidak akan berkompromi terhadap musuh-musuhnya yang mahu menggugat kuasanya dan tidak kisah Melayu berpecah asalkan kuasa kekal dalam genggaman.

Meskipun di zamannya beliau tetap berjaya membawa UMNO dan BN kekal dengan majoriti dua pertiga kuasa di Parlimen, tetapi kejayaannya itu banyak disumbangkan oleh peranan media massa dan budaya takut yang dimekarkan dalam sanubari rakyat andainya pembangkang mengambil alih kuasa. Namun dengan keterbukaan rakyat dan ruang maya yang lebih terbuka seperti sekarang, senjata yang pernah digunakan Mahathir itu sudah tidak setajam dulu lagi.

Dalam isu Israel yang dikaitkan dengan Anwar misalnya, hari ini terdedah juga bahawa Mahathir sendiri pernah berutus surat dengan Perdana Menteri negara itu. Sementara kerajaan akan mendedahkan kandungan surat itu pada minggu depan, di ruang-ruang internet sudah pun terdedah antara kandungan surat itu yang mana Mahathir didapati mengucapkan tahniah kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel atas kejayaan memenangi pilihanraya.

Begitu juga dalam isu pinjaman kepada Bank Dunia, walaupun Mahathir seakan bersikap keras dan bermusuh dengan Bank Dunia untuk menunjukkan sikap gentlemannya yang tidak bergantung kepada Barat, akhirnya didapati beliau juga pernah meminjamnya.

Dalam isu kehakiman juga baru-baru ini, Mahathir diserang oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah yang menyebut dasar dan pindaan perlembagaan oeh Mahathir telah menjadikan sistem kehakiman menjadi pincang dan tunduk kepada kuasa Parlimen.

Meskipun tuduhan itu dinafikan sebagai tidak benar oleh Mahathir, hakikatnya tentulah rakyat lebih mempercayai Tun Dzaiddin sebagai bekas Ketua Hakim berbanding Mahathir sebagai orang politik.

Terbaru ini muncul pula isu MAS yang turut dikaitkan dengan Mahathir sehingga menyebabkan kerajaan mengambil keputusan menyelesaikan di luar mahkamah kes hutang bekas Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli dengan kerajaan yang berjumlah RM580 juta. Ia menyusul ekoran dakwaan Tajuddin bahawa pengambilalihan MAS olehnya adalah kerana dipaksa oleh Mahathir atas nama khidmat negara untuk menampung kerugian Bank Negara.

Dalam kes ini, Mahathir sudah banyak diasak untuk bercakap benar tentang penswastaan MAS yang dilakukannya sehingga menyebabkan kerajaan rugi RM1.8 billion. Mahathir bukan sahaja mengelak untuk menjawab tetapi mengaitkan kerugian adalah perkara biasa dalam mengurus kerajaan dengan mengambil contoh Pak Lah juga menyebabkan kerugian RM8 billion apabila membatalkan projek rel berkembar daripada Johor Bahru ke Perlis.

Ternampak bahawa akhir-akhir ini semakin banyak perkara-perkara yang dilakukan Mahathir yang dulunya hanya didiamkan, kini sudah mula dibongkar satu demi satu. Meskipun beliau terus menjawab dan menangkis pelbagai perkara yang dibangkitkan itu, hakikatnya imej serta kredebiliti beliau sebagai bekas Perdana Menteri dan seorang Negarawan sudah banyak tercalar.

Walaupun mungkin masih ada yang mengaguminya tetapi generasi muda rata-ratanya lebih suka melihat sisi kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir sama ada kepada negara mahupun bangsa Melayu, berbanding kebaikan yang dilakukannya. Anak-anak muda lebih melihat bahawa sokongan Mahathir kepada Najib yang turut melakukan banyak kesilapan hanya menambahkan lagi kerosakan yang ada.

Lagi pula gaya kepimpinan Mahathir kurang secocok dengan selera anak-anak muda sekarang yang penuh idealisme dan impian. Anak-anak muda secara semulajadinya menolak amalan kronisme dan memberi kekayaan kepada anak-anak. Berbanding Anwar, dari segi menjadi idola kepada generasi muda, Mahathir agak jauh ketinggalan. Kelompok yang sesuai dengan Mahathir hanyalah generasi tua dan pertengahan yang masih bergantung kepada media tradisional sebagai sumber maklumat.

Keaktifan Mahathir bersuara akhir-akhir ini bukan sangat untuk mempetahankan BN tetapi lebih kepada memastikan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri. Mahathir sendiri tidak suka BN menang terlalu cemerlang. Ketika Pak Lah berjaya mencapai kemenangan 198 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihanraya 2004, Mahathir menyebut kerajaan yang terlalu kuat adalah tidak baik kepada rakyat. Lantas beliau berkempen untuk menjatuhkan Pak Lah dan BN sehingga akhirnya berlakulah keputusan buruk pada 2008. Tidak dapat tidak, Mahathir ada sahamnya menjadikan keputusan buruk 2008 itu.

Sekarang Mahathir mempertahankan Najib adalah kerana musuh yang sama-sama ditentang ialah Anwar Ibrahim. Jika selepas PRU 13 di mana nanti BN akan mencapai keputusan yang buruk, tidak ada jaminan Mahathir akan terus berada disisi Najib. Beliau mungkin menyokong pemimpin lain dan mahu Najib ditukar pula. Sejarah politiknya menunjukkan bahawa Mahathir adalah penganut falsafah Barat iaitu "tiada kawan dan musuh yang kekal dalam politik, yang kekal hanyalah kepentingan peribadi".

Dengan beberapa episod seperti hubungan dengan Israel, Bank Dunia, kemelut MAS dan sistem kehakiman yang kini muncul dan dikaitkan dengan Mahathir, adalah dipercayai beberapa isu lain berkaitan kepimpinannya selama 22 tahun akan muncul satu demi satu selepas ini. Ini sekaligus menjadikan beliau terus diperbualkan, diperdebat malahan dipertikaikan. Rakyat terutama generasi muda mungkin melihatnya sebagai objek kebencian pula.

Mungkinkah ini hukum karma yang datang menimpanya umpama boomerang?

Oleh kerana Najib dilihat banyak bergantung dan membiarkan Mahathir semakin kerap bersuara, dibimbangi karma itu akan turut terpercik sama kepadanya dalam PRU 13 ini.

Oleh : Shahbudin Husin

KRISIS POLITIK KEDAH: ANWAR TIDAK TERLIBAT DIMANA-MANA

SUDAH sah memang kabinet negeri Kedah menghadapi masalah. Walaupun tidak setepat jangkaan penulis (4 kosongkan pejabat, 1 letak jawatan), tapi 2 yang enggan dilantik semula ini sudah membuktikan dengan sendirinya perantakan itu memang berlaku.

Sekaligus, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menafikan perkara ini sejak krisis mula dicium media, adalah tidak benar sama sekali. Penulis tidak mahu menyimpulkannya dalam bentuk negatif, tapi bukankah penafian itu bererti Azizan menipu rakyat?

Begitu juga dengan 2 Exco yang terlibat (Datuk Phahrolrazi dan Datuk Dr. Ismail Salleh), masing-masing menafikan pada mulanya ada berlaku krisis tapi dengan sempurnanya majlis angkat sumpah semalam, semua sudah jelas – pergeseran itu memang berlaku.

Kenyataan masing-masing Azizan dan 2 Exco terbabit boleh dirujuk disini.

Tujuan penulis membangkitkan hal ini ialah untuk membuktikan bahawa dalam soal krisis politik di Kedah ini Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat mana-mana. Kesemua 5 Exco yang disebut-sebut pada awalnya berantakan dengan Azizan dan 2 yang menolak perlantikan semula diakhirnya, adalah terdiri Exco dari parti PAS sendiri.

Jika 3 Exco dari PKR yang memberontak, itu mungkin boleh dikatakan Anwar terlibat, tapi jelasnya sekarang semua mereka adalah Exco dari PAS!!

Oleh itu, tidak usahlah Azizan cuba menyembunyikan kelemahan sendiri dengan mengaitkan Anwar di dalam hal ini. Belajarlah menerima kelemahan sendiri, itu adalah lebih baik.

Yang nyata, permainan politik Azizan begitu jelas, walaupun katanya bersedia menerima 2 anggota Exco yang enggan dilantik semula, tapi jelasnya tidak ada lagi portfolio yang tinggal untuk diserahkan kepada mereka.

Kesemuanya sudah dibahagi-bahagikan antara Datuk Ir. Amirudin Hamzah, Datuk Dr. Hamdan Mohamad Khalib dan Abdul Ghani Ahmad.

Ini semua merumuskan bahawa kelemahan dalam cara mentadbir itu memang wujud di Kedah, sebab itu PAS pusat terpaksa masuk campur walaupun Azizan dikhabarkan pada awalnya sebagai berkata “berhak melantik Exco tanpa perlu merujuk kepada Presiden Parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang”, rujuk disini.

Apa pun penulis meminta semua pihak akur kepada arahan pucuk kepimpinan parti PAS yang mahu semua ahli Exco kerajaan negeri sedia ada dikekalkan dalam jawatan masing-masing. Tidak usahlah memanjangkan lagi hal ini kerana ia hanya memberi gambaran yang tidak baik.

Lagipun penulis dimaklumkan oleh sumber dalaman parti PAS bahawa Azizan tidak akan dilantik semula Menteri Besar jika Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan Kedah dalam pilihanraya akan datang – yang mana adalah juga antara syarat-syarat yang ditetapkan Phahrolrazi untuk menerima kembali jawatan Exco Kedah.

Sumber : SuaraPakatanRakyat

Artikel Berkaitan :

Pas Timbang Formula Selesai ‘Krisis Exco’ Esok

MB Kedah Kecam Komplot Bagi Singkirkannya