Pada ketika ini, seorang pemuda Melayu yang kurus, berbaju belang hitam-kuning, memakai cermin mata, dengan beg merah, dan bekas air berwarna kuning - melangkah ke depan dengan perlahan-lahan. Beliau duduk pada jarak lima meter di depan FRU. Beliau mengangkat tangannya yang sedang menggenggam. Beliau duduk senyap di situ. Genggaman itu bukan untuk protes. Saya yang berada di belakangnya nampak dengan jelas, posisinya itu membawa makna bahawa beliau sedang menunggu polis untuk menggarinya.
Beliau memilih untuk tidak menentang ketika berdepan dengan kekerasan FRU. Beliau berseorangan di situ untuk beberapa minit. Ada orang yang menjerit, "Cepat bawa dia balik, jangan biar dia ditangkap!" Tiga orang kawan Melayu dengan cepat membimbingnya untuk balik ke kelompok manusia. Beliau tidak meronta, beliau menurut saja.
Apabila beliau lalu di sisi saya, saya nampak betapa sedih wajahnya. Saya tidak faham, mengapa wajah seseorang pemuda yang seharusnya bersemangat, sarat dengan kepiluan sedemikian. Mungkin anda anggap saya menghasut sentimen jika saya berkata sedemikian. Namun, benar dalam otak saya muncul sekeping gambar yang pernah saya tatapi, gambar seorang rakyat berdiri di depan kereta kebal untuk menghalang kemaraannya di Tianan Men, China, pada tahun 1989.
Tidak hilang kawal
... Walaupun telah diserang beberapa kali dengan gas pemedih mata, namun kelompok manusia tidak hilang kawal. Saya ternampak beberapa orang pemuda Melayu berlari ke kedai di tepi jalan dan mengetuk pintu besinya dengan kuat. Tingkahlakunya dibalas dengan ratusan orang yang mengherdiknya, "Jangan, jangan buat kerosakan, cepat tengok siapakah mereka! "
Saya tidak pasti beberapa orang pemuda itu sekadar mahu melepaskan geram, atau dihantar pihak lain untuk sabotaj. Tapi apa yang saya pasti, anda gagal membuat kecoh dalam kelompok manusia yang begitu tinggi disiplinnya.
Saya ternampak juga ada yang melontarkan satu botol air mineral dari perhentian bas Pudu Raya, menghala ke arah FRU. Dan ratusan orang yang berada di depan terus menghentikannya. Seorang pakcik Cina berulang kali menjerit, "Jangan lawan mereka, mereka terima arahan, mereka cuma jalankan tugas saja, kita semua rakyat Malaysia, jangan, jangan lawan."
Tiada bendera yang dibakar, tiada harta awam yang dicerobohi. Tiada kedai yang dihancurkan, tiada pintu atau tingkap kaca yang dipecahkan. Apa yang ada hanyalah laungan slogan dan duduk secara aman. Namun kita dilabel sebagai "perusuh". Apakah "keganasan" kami? Saya masih tertanya-tanya sehingga hari ini.
Kerana "aman" itu janji kami
Ratusan anggota polis memasuki kelompok "musuh" yang mempunyai puluhan ribu orang, dan polis pulang dengan tangkapannya yang berjaya. Apakah kamu rasa kamu ni berani dan tangkas? Kamu berjaya keluar dari kelompok kami tanpa dicederakan - ini kerana kami memilih untuk tidak berkasar. Apabila tiga atau empat orang daripada kamu bersama membuli seorang peserta, tahukah kamu bahawa ratusan pasang mata yang sedang memandang, dan ratusan pasang buku lima yang sedang menggenggam di belakang kamu?
Kami tidak berkasar kerana kami patuh kepada janji kami untuk berhimpun secara aman. Melihat prestasi kamu tempoh hari, semua rakyat tertanya-tanya, mengapa kamu sering terlambat apabila berlaku rompakan atau kes pencurian, dan apabila berdepan dengan rakyat jelata yang tidak bersenjata, kamu seolah-olah menelan pil berwarna biru itu, berkobar-kobar semangat, malah boleh menawan kelompok manusia 10 ribu orang? Apakah kami ini senang dibuli?
Bukankah tugas FRU adalah untuk menyuraikan orang ramai? Jadi mengapa pula menyekat jalan di Bukit Bintang apabila peserta perhimpunan diusir ke Jalan Pudu? Di kawasan berdekatan perhentian bas Pudu Raya, lorong di tepi jalan dipagari tiang besi kira-kira lima kaki tingginya. FRU melepaskan gas pemedih mata bertubi-tubi. Peserta mencari perlindungan di Hospital Tung Shin kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar yang utama. Tak malukah wahai Menteri mengecam peserta kerana menggangu hospital?
"Kali pertama bayar cukai"
Saya mengikut orang ramai untuk berehat di kawasan rumpun di depan hospital. Hujan mula turun. Mungkin langit juga tidak merestui tindakan mereka, mencurahkan air hujan untuk menjirus bahan kimia yang berada pada tubuh kami.
Seorang gadis yang berada di belakang saya bengkak dan merah matanya. Sambil mengesat matanya, beliau berkata, "Tahun ini kali pertama saya bayar cukai." Kawan di sebelahnya pula mempersendakannya, "Jadi kerajaan pun pulangkan kepada kamu sekarang!"
Kami ketawa terbahak-bahak bersama, dan gadis itu mencungkil senyuman pahit. Menurut khabar, sebutir peluru gas pemedih mata berharga RM300, dan hari ini kerajaan dengan murah hati menghadiahkan kepada rakyatnya. Puluhan bilion ringgit dibelanjakan untuk pertahanan negara, selain jet yang tidak boleh terbang, kapal selam yang tidak boleh selam - mungkin kami bersyukur dengan gas pemedih mata dan meriam air yang terbukti memadai harganya.
Gas pemedih mata dilepaskan lagi. Sebutir peluru gas itu jatuh pada tempat yang tidak jauh daripada kami. Asapnya tersebar ke hospital. Asap yang berkepul-kepul juga berlegar di kawasan masuk Rumah Bersalin Cina. Jangan kata kepada saya bahawa tiada gas pemedih mata dilepaskan ke arah hospital, jangan pula kamu kata kamu tidak tahu apa itu "impact zone" gas pemedih. Yang Berhormat Menteri Kesihatan, jikalau saya melontar sebiji bom tangan pada jarak 1 kaki di depan kamu, jangan pula menyalahkan saya jikalau kamu dibom mati. Ini kerana bom tangan saya tidak menyentuh anda. Mungkin anda boleh menyalahkan angin yang meniupkan kuasa bom tangan ini ke arah kamu! (Ketika menafikan penembakan gas pemedih ke dalam perkarangan hospital, Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai mendakwa gas pemedih mata mungkin ditiup angin ke dalam kawasan hospital.)
Selepas hujan berhenti, kelompok orang ramai hanya tinggal separuh dari asalnya. Ramai yang memandang dari dalam bangunan hospital, dan kebanyakannya sudah keletihan. Beberapa orang pemimpin parti politik cuba berunding dengan polis, dan peserta di belakangnya menjerit "Buka jalan, buka jalan!"
Tidak lama kemudian, orang di depan memberitahu bahawa polis bersetuju untuk membuka jalan kepada peserta. Namun, apabila peserta berkumpul semula di Jalan Pudu, polis pula mengambil kesempatan untuk melepaskan meriam air. Peserta menjerit, "Polis tipu, tipu!" Apa peliknya? Sedangkan pimpinan tertinggi kerajaan boleh berdolak-dalih, apa pula orang bawahnnya?
Peserta terpaksa bersurai selepas meriam air dilepaskan. Polis mula menyerbu ke dalam hospital untuk menangkap peserta perhimpunan. Kenyataan dari kerajaan (hujah Menteri Kesihatan) mendakwa bahawa tiada tangkapan dibuat di dalam hospital, sekadar menghantar peserta yang cedera masuk ke hospital untuk rawatan.
Nampaknya dalam masa sekelip mata, munculnya ramai pakar Photoshop dan Video Editing, dan kesemua video dan gambar menjadi palsu. Mengapa pula polis menghantar ratusan orang ke dalam rumah bersalin? Adakah ratusan lelaki dan perempuan itu mahu bersalin? Mungkin gas itu bukan untuk memberi kesan memedihkan mata, tetapi merangsang untuk bersalin.
Saya terserempak dengan seorang kawan yang tidak saya jumpai untuk 10 tahun kebelakangan, maka saya mengikutnya untuk berlari ke Jalan Robertson. Terdapat sebuah gereja di hujung jalan itu. Sekumpulan muslim sedang bersembahyang di depan gereja itu, menghala ke Mekah. Dua orang pakcik India dalam gereja membuka paip air agar orang yang mencari perlindungan di situ boleh mencuci mukanya. Apa itu perpaduan kaum? Apa itu keharmonian agama? Kawan yang menggagaskan 1Malaysia itu harus turun ke perhimpunan ini untuk lihat sendiri.
Puluhan anggota polis datang dari belakang, pakcik India ini membuka pagar besinya untuk kami lalui. Kami berjalan ke belakang gereja, melangkaui tembok yang tingginya lima kaki, dan duduk untuk berehat di lorong itu. Maka tamatlah perhimpunan yang saya sertai ini, untuk diri saya.
Akhirnya saya ingin berkata kepada badut yang mendakwa "apa yang susah sangat terkena sebutir gas pemedih mata". Benar, mungkin dari kesudahannya, kamu menang dalam perhimpunan ini. Rakyat gagal sampai ke Stadium Merdeka, memorandum gagal diserah ke Istana Negara, malah peserta disuraikan tanpa belas kasihan. Tapi jangan lupa, kemenanganmu disebabkan pilihan kami untuk tidak membalas dengan keganasan.
Saya tetap yakin, apabila suara rakyat menjadi tsunami, anda gagal menghalang dengan meriam air yang kuat dan gas pemedih yang memedihkan. Siapa yang menang dan siapa pula yang kalah kelak, kita tunggu dan tengok!
Sumber : MerdekaReview
No comments:
Post a Comment