DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, July 5, 2011

LIM HONG SIANG : BERSIH 2.0: PERJUANGAN BELUM SELESAI

Meskipun kesudahannya semakin diduga, dengan perkembangan terkini yang menyaksikan kesudian BERSIH 2.0 untuk berhimpun di stadium, dan kesediaan kerajaan Najib Razak untuk memberi laluan; namun, BERSIH 2.0 kini berdepan dengan cabaran baru untuk mengerah dan memujuk penyokongnya agar menerima keputusan ini.

Menurut pengamatan Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Tang Ah Chai (gambar kanan), BERSIH berada pada kedudukan yang proaktif, mendominasi keadaan pada pusingan awal, namun memberi persepsi bahawa pimpinannya berganjak langkah pada pusingan akhirnya. Tang Ah Chai berkata, BERSIH telah menyampaikan mesej yang amat jelas, jikapun tidak 100% - berhubung hak asasi untuk berhimpun sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan amalan turun ke jalan raya untuk menyampaikan pandangan.

Segala serangan terhadap BERSIH 2.0, adalah tidak kukuh, tambah Tang Ah Chai. Beliau berkata, BERSIH tidak rasis, sebaliknya jentera negara yang digunakan untuk menyerang BERSIH adalah lebih bersifat "perkauman", dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Ambiga Sreenevasan, misalnya. Keduanya, BERSIH tidak mempunyai muslihat untuk menggulingkan kerajaan, malah jauh lagi dari menghidupkan semula fahaman komunisme. Oleh yang demikian, perkembangan awal memperlihatkan bahawa BERSIH berada dalam satu kedudukan yang positif.

Titik pusingan

Bagaimanapun, BERSIH bertukar jadi pasif setelah Istana Negara mengeluarkan Titah Khas oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada malam 3 Julai 2011. Titah Khas ini meletakkan BERSIH pada kedudukan yang agak pasif, ulas Tang Ah Chai. Pemuda UMNO mengambil kesempatan untuk "cabut" dari gelanggang dengan Titah Khas tersebut, dan PERKASA pula mengulangi pendirian untuk menunggu keputusan BERSIH.

Sebagaimana yang diduga, antara tuduhan yang dilemparkan terhadap gerakan BERSIH adalah "memerangi Yang di-Pertuan Agong". Malah, Pemuda UMNO telah memberi kata duanya bahawa BERSIH akan dicap sebagai penderhaka seandainya tidak akur untuk membatalkan demonstrasi jalanan, selepas Titah Khas dikeluarkan.

Perkembangan terbaru menyaksikan kesediaan pimpinan BERSIH 2.0 untuk menerima tawaran supaya mengadakan perhimpunan di stadium, selepas mengadap YDPA pada kira-kira jam dua petang tadi. "Semestinya ada bezanya untuk berdemo di jalan raya dengan berhimpun di stadium, lebih-lebih lagi ianya bukan cadangan yang baru, tetapi telah dikemukakan sejak awal lagi," kata Tang Ah Chai.

Namun, BERSIH tetap dengan pendirian untuk berdemonstrasi di jalan raya, malah ada yang pernah menyindir dengan mengatakan "berdemo di stadium ibarat menyanyi di bilik air". Sudah tentu ianya bukan satu proses yang mudah untuk meyakinkan orang ramai bahawa demonstrasi di jalan raya adalah amalan demokrasi yang harus diterima.

Bilangan orang yang tentukan kejayaan BERSIH

Kini, secara tiba-tiba Pengerusi BERSIH 2.0 mematahkan hajatnya untuk berdemo di jalan raya, sebaliknya menerima cadangan untuk menganjurkan perhimpunan di stadium. Untuk ini, Tang Ah Chai berkata, usaha BERSIH 2.0 masih belum selesai. Seandainya 100 ribu orang membanjiri stadium pada 9 Julai 2011, maka ia tidak akan dilihat sebagai kegagalan; sebaliknya, jikalau yang hadir hanyalah 10 ribu orang atau lebih kurang, maka ia semestinya satu tamparan sengit buat BERSIH 2.0.

Tang Ah Chai menambah, BERSIH 2.0 kini perlu menangani masalah ketidakpuasan sesetengah penyokong yang tetap mahu berdemonstrasi di jalan raya. Ia semestinya bukan sesuatu yang mudah, kerana masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri - tetapi ketidaksampaian untuk memobilisasi mereka akan mengundang kegagalan.

Sebagaimana yang diketahui, ramai yang telah menempah tiket samada pengangkutan mahupun kediaman untuk perhimpunan 9 Julai 2011. Lebih penting, terdapat enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat berikutan perhimpunan BERSIH, malah ratusan yang ditangkap sebelum ini kerana berkempen untuk BERSIH. Pimpinan BERSIH 2.0 terpaksa berdepan dengan sentimen tahanan ini dengan keputusan terbaru yang dibuatnya.

Jika diberi laluan...

Bagaimanapun, Tang Ah Chai juga berkongsi kekhuatiran yang terpendam dalam hatinya, seandainya inilah kesudahannya, maka aktivis sosial bakal berdepan dengan kesukaran untuk mengerah orang ke jalan raya pada masa depan. Pemerintah, malah orang awam akan memberi alasan bahawa demonstrasi dalam stadium sudah memadai.

Satu lagi keresahan yang timbul adalah, peranan instistusi raja ketika berdepan dengan senario sebegini. Sesetengah aktivis semestinya akan mempertikaikan sejauh manakah peranan institusi raja untuk menyelesaikan keadaan sebegini, yang melibatkan gerakan sosial, ataupun kepentingan parti politik. Kesemua ini menjadi persoalan yang wajar direnungi pimpinan BERSIH ketika mencatur langkah seterusnya.

Bagaimanapun, Tang Ah Chai ketika menilai perkembangan isu BERSIH ini berkata, secara "luaran," Najib mungkin membebaskan diri buat sementara dari tekanan jika ratusan ribu turun ke jalan raya. Namun, ia dikatakan "luaran", kerana meskipun golongan ini tidak muncul di jalan raya, tetapi telah membuat ketetapan parti politik manakah yang bakal diundi pada PRU ke-13.

Tang Ah Chai tidak lupa untuk menambah, susulan daripada perkembangan senario terkini, polis seharusnya berhenti untuk menangkap dan menahan orang awam atau aktivis lantaran daripada gerakan BERSIH, malah membebaskan segera tahanan yang dikaitkan dengan gerakan BERSIH 2.0.

Sumber : MerdekaReview

No comments: