Sunday, November 16, 2008

KES ALTANTUYA: INSTITUSI KEADILAN DISABITKAN BERSALAH

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
[http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=017893&Itemid=60]

Ramai dari kalangan rakyat mungkin agak bingung bagaimanakah Razak Baginda boleh dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri di atas pertuduhan bersubahat membunuh Altantuya pada jam antara 9.54 pagi, 18 Oktober 2006 dan 9.45 pagi, 19 Oktober 2006.

Bagi mereka yang mengharapkan kebenaran sebenar (the real truth) daripada episod pembunuhan ngeri ini, saya ingin menasihati lupakan sahajalah hasrat anda tersebut. Perbicaraan jenayah bukan bertujuan mencari kebenaran. Dengan lain perkataan Mahkamah bukan tempat mencari kebenaran.
Perbicaraan jenayah melibatkan soal bukti dan keterangan. Mahkamah hanya berminat dengan isu keterangan dan bukti. Tidak lebih daripada itu. Apabila kita bercakap tentang bukti dan keterangan ianya tertakluk kepada kaedah dan prosedur tertentu sebelum ianya boleh diterima oleh Mahkamah.
Dalam konteks undang-undang di negara ini segala keterangan hanya akan diterima jika ianya mematuhi kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah.
Memandangkan kerja membuktikan tuduhan jenayah adalah amat berat dan begitu membebankan tugas tersebut tidak dipikulkan ke atas individu. Sebaliknya tugas, tanggung jawab dan kerja tersebut diserahkan kepada negara melalui institusi Pendakwa Raya.


Dalam konteks kes Altantuya, kerja membuktikan Razak Baginda terlibat bersubahat tidak diletakkan kepada ayah atau keluarga Altantuya. Sebaliknya tugas tersebut diserahkan kepada Negara Malaysia di bawah institusi Peguam Negara selaku Pendakwa Raya.


Mengapa diserahkan kepada negara? Kerana hanya negara sahaja yang mempunyai segala kekuatan sama ada material atau sumber manusia untuk melaksanakan tugas pendakwaan. Negara mempunyai polis yang mempunyai kuasa penyiasatan yang amat luas dan pendakwa raya yang juga mempunyai kuasa pendakwaan yang amat luas. Negara juga mempunyai Mahkamah yang mempunyai kuasa yang amat luas untuk membicarakan sesiapapun tanpa mengira pangkat dan darjat untuk dibicarakan di Mahkamah jika terlibat dengan kes jenayah.


Begitulah secara teorinya bagaimanakah proses pendakwaan kes jenayah di dalam mana-mana negara.


Secara teorinya sepatutnya negara yang mempunyai segala sumber di tangannya tidak mempunyai masalah untuk memastikan pendakwaan ke atas Razak Baginda dapat disempurnakan secara kemas dan teliti. Dengan pendakwaan yang cermat dan teliti sebarang ruang untuk mereka yang dituduh dilepas dan dibebaskan dapat dielakkan.


Amat malang perbicaraan kes pembunuhan Altantuya berlaku di dalam negara yang mana sistem keadilannya sedang dipertikaikan. Kes Altantuya berlaku di saat institusi-institusi keadilan di negara ini iaitu institusi polis, Peguam Negara dan Mahkamah kesemuanya sedang diletakkan bersama-sama Razak Baginda, Azilah dan Sirul Azhar di dalam kandang orang salah.


Kita mulakan dengan melihat bagaimana institusi polis dibicarakan. Di dalam kes Altantuya, rakyat didedahkan menerusi afidavit Razak Baginda semasa permohonannya untuk mendapatkan jaminan bahawa Azilah (seorang anggota polis) mengakui dia bertanggung jawab di atas kematian enam orang atau lebih dan beliau boleh membantu Razak daripada gangguan Altantuya.


Di sini saya ingin mencelah sedikit. Adalah suatu yang amat pelik pihak Mahkamah boleh menggunakan afidavit yang sama untuk membebaskan Razak dari tuduhan bersubahat tanpa mengambil kira pengakuan Razak di dalam afidavitnya berkaitan apa yang dilakukan Azilah. Pengakuan Razak tentang Azilah sepatutnya lebih dari mencukupi untuk membuktikan bahawa ada unsur subahat di dalam kes ini.


Dalam keadaan Razak mengakui Azilah memaklumkannya bahawa beliau telah membunuh lebih dari enam orang dan boleh membantu Razak, beliau masih mahu menggunakan khidmatnya. Malahan Razak sendiri mendedahkan di dalam afidavitnya bagaimana Azilah memaklumkan kepadanya bahawa "tonight sir, you can sleep peacefully (malam ini tuan boleh tidur dengan nyenyak).


Saya percaya pembaca boleh menafsirkan apa maksud ayat tersebut!


Untuk makluman pembaca, semasa pendegaran permohonan jaminan oleh Razak, Hakim N.K Segara telah membuat teguran kepada peguam Razak. Hakim tersebut menyatakan afidavit yang dikemukakan oleh Razak mengarahkan kepada satu kesimpulan bahawa Razak telah bersubahat dengan Azilah untuk ?get rid? (bebaskan) Altantuya dari kehidupan Razak. Hakim yang sama juga menyatakan, mengapakah dalam keadaan Razak mengetahui Azilah telah membunuh beberapa orang beliau masih meneruskan hasratnya meminta tolong dari Azilah. Bagi saya ini bukti kuat bagi menunjukkan elemen subahat.


Kes Altantuya juga mendedahkan kita bagaimana penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dengan tiba-tiba boleh menukar pengakuaan bersumpahnya dalam masa 24 jam dan kini dilaporkan hilang. Bagaimana beliau boleh dengan tiba-tiba menukar pengakuannya jika tiada sebarang campurtangan dari pihak polis? Ini persepsi rakyat jalanan yang tidak boleh dibuang begitu sahaja.


Mari kita lihat bagaimana Mahkamah juga dibicarakan di dalam kes Altantuya. Rakyat bertanya kenapakah Hakim N.K Segara yang agak senior dan sepatutnya mendengar kes tersebut secara tiba-tiba ditukarkan dengan Hakim yang agak junior iaitu Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin. Di kalangan para pengamal undang-undang Hakim N K Segara diketahui seorang hakim yang penuh integriti. Beliau dengan secara tegas tidak membenarkan Razak diberi jaminan dan malahan semasa pendengaran permohonan jaminan Razak, beliau memarahi peguam Razak kerana dengan secara sengaja tidak membaca perenggan di dalam afidavit Razak yang menyentuh pertemuan Razak dengan Najib Tun Razak.


Hakim yang membebaskan Razak iaitu Hakim Datuk Zaki pun tegas juga. Beliau dengan tegas tidak membenarkan sebarang isu berkaitan Najib dibawa ke Mahkamah. Percubaan Karpal Singh untuk mengaitkan Najib dengan Razak telah dengan tegas ditolak oleh Hakim Dato Zaki.


Kini setelah Razak dibebaskan mungkin baru rakyat dapat memahami dan menemui jawapannya kenapa ada pertukaran Hakim. Ini satu lagi persepsi rakyat di dalam kes Altantuya ini.


Akhirnya kita melihat pula bagaimana institusi Peguam Negara juga dibicarakan di dalam kes Altantuya. Meskipun kes ini kes yang besar, penting dan mendapat liputan meluas di dalam dan di luar negara, Peguam Negara masih tidak merasakan adalah penting untuk beliau sendiri mengendalikan kes tersebut.


Amat menghairankan di dalam kes Hindraf dan kes Batu Buruk, Terengganu yang hanya melibatkan tuduhan remeh dan hanya dibicarakan di Mahkamah Rendah, Peguam Negara sanggup ?mencemar duli? mengendalikan kes tersebut.


Tidak cukup dengan peguam negara sendiri tidak turun dalam kes Altantuya, Timbalan Pendakwa Raya juga ditukarkan di saat akhir. Pertukaran pihak pendakwa di saat akhir bagi kes sebesar ini sudah tentu mencacatkan persediaan pendakwa. Takkan Peguam Negara tidak tahu hal ini. Tindak tanduk Peguam Negara bagi rakyat, menunjukkan seolah-olah kes Altantuya bukan kes yang besar dan perlu diberi perhatian.


Razak Baginda mungkin dibebaskan dan dilepaskan, tapi bagi rakyat biasa, institusi polis, Peguam Negara dan Mahkamah tetap disabitkan bersalah di dalam kes Altantuya ini.


Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi:
http://demang.blogmas.com/


“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian.
Wallahu'alam dan terima kasih

TANDA-TANDA DUNIA KITA MULA TERBALIK

Oleh : Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda ‘dunia sudah terbalik’. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.


Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga ‘fatwa’ tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.


Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan.


Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal.


Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina.


Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin ‘hubungan seks’ sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas ‘pengkid’ atau ‘tandas saudarai’. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau ’saudarai’ boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku.


Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn ‘Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).


Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi ‘nafsu bercinta’.


Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang ‘haram pengkid’ dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh ‘insan-insan berjawatan’ itu mengambil kira soal kedudukan dan ‘keselesaan kerusi’ masing-masing.


Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..


Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap ‘bersuami dua’.


Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa.


Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya.


Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai ‘karenah pengurusan’ yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.


Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan.


Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap ‘berdasarkan undang-undang syarak’. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu saya ulangi:


“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).


Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan ‘operasi mengintip’ maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..


Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; “Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”. Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.
Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di’bin’kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.


Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya.


Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis.


Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw:
“Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.


Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d.


Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)”. Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina.


Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.


Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.


Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:


“Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).


Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.


Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.


Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!


Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi: http://demang.blogmas.com/


“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”
Sekian.Wassalam

Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih

DSAI BAKAL MENJADI MANGSA KONSPIRASI POLITIK KALI KEDUA

Oleh: Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,


Sesiapa yang membaca dua laporan Malaysiakini.com siaran 14 November lalu, sudah pastinya dapat menjangka apa yang bakal akan berlaku ke atas Ketua Pembangkang, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Laporan pertama, Malaysiakini.com [
http://www.malaysiakini.com/news/93054 ] melaporkan bahawa Abdul Gani Patail, Peguam Negara melalui Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Yusof Zainal Abiden telah memfailkan rayuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Seksyen, Hakim SM Komathy Suppiah yang menolak permohonan memindahkan kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi. Penolakan tersebut disebabkan sijil yang ditangani oleh ‘dajal’ itu tidak sah. Si’dajal’ ini pada masa yang sama sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah [BPR] kerana menyalahgunaan kuasa dan rasuah.


Abdul Gani Patail ketika itu Timbalan Pendawaraya Kanan dituduh menyembunyikan fakta sebenar mengenai mata lebam Anwar Ibrahim. Gani pada malam 20 September 1998, iaitu malam Anwar ditangkap [Anwar dipecat oleh Mahathir Mohamad pada 2 September 1998], Gani berada di Bukit Aman. Selepas Anwar ditangkap oleh pasukan polis yang bertindak ala-mossad, Anwar dibawa ke Bukit Aman. Disinilah Anwar dibelasah secukup-cukupnya oleh Abdul Rahim Noor, ketika itu sebagai Ketua Polis Negara. Anwar hampir-hampir mati, dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya.


Oleh kerana sikap Gani ini enggan [menyembunyikan] mendedahkan fakta sebenar menyebabkan kerajaan telah membazirkan wang, masa dan tenaga menubuhkan Suruhanjaya DiRaja menyiasat mengenai mata lebam Anwar yang dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Abu Talib Othman. Melalui suruhanjaya inilah akhirnya rakyat mengetahui bahawa Rahim Noor yang menyebabkan mata Anwar menjadi lebam. Rahim Noor menumbuk Anwar sehingga pengsan dan hampir-hampir menemui ajalnya dalam tahanan polis. Sebelum itu satu badan penyiasatan yang ditubuhkan oleh polis sendiri gagal menemui orang yang menyebabkan Anwar bermata lebam.


Abdul Gani Patail ketika itu banyak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan peraturan walaupun ia tahu perkara berkenaan adalah salah dari segi perundangan seperti beliau mengugut K.S. Nallakarupan [Nalla didapati bersalah menyimpan senjata api tanpa lesen] supaya bersubahat dengan beliau menjadi saksi agar Anwar dan masa depan kerjaya politiknya dapat dimusnahkan, tetapi sampai kini beliau masih selamat kerana beliau dilindungi oleh ‘tuan besar’ taikun politik UMNO. Gani adalah perkakas dan kuda kayu untuk taikun-taikun UMNO dulu, kini dan selama-lamanya, selagi Pakatan Rakyat tidak mampu menyahkan UMNO daripada tampok kuasa.


Kini, Gani muncul kembali dengan misi yang sama untuk menyelamatkan riwayat politik tuannya itu dan dalam yang sama beliau dikehendaki memastikan Anwar Ibrahim masuk penjara sekali lagi seperti mana yang berlaku 10 tahun lalu. Kes rayuan ini akan didengar di Mahkamah Tinggi [siapa Hakimnya?] pada 20 November ini.


Gani hanyalah budak suruhan elit politik UMNO semata-mata dan beliau melaksanakan tugas seperti yang diarahkan sahaja. Persoalannya ialah : Arahan proses pemindahan kes ini datang daripada siapa-Abdullah Ahmad Badawi atau Najib Tun Razak?


Kalau tanpa arahan salah seorang daripada mereka, nescaya proses pembicaraan ini hanya akan berlaku di Mahkamah Seksyen sahaja, selepas keputusan telah dibuat oleh Hakim SM Komathy Suppiah. Pihak pendakwa tidak perlu bersusah payah membuang masa merayu untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi seperti yang berlaku ke atas diri Abdul Razak Abdullah Baginda. Laporan kedua Malaysiakini.com menyebut bahawa Razak Baginda yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu dan pihak pendakwaan pula tidak mahu mengemukakan rayuan [sebab tidak ada arahan berbuat sedemikian bagi menjaga kepentingan politik orang-orang tertentu] terhadap pembebasan Razak Baginda itu atas alasan kononnya hakim yang memutuskan kes tersebut telah pun membuat penemuan fakta dalam membebaskan Razak Baginda [
http://www.malaysiakini.com/news/93116].


Peguam bagi pihak keluarga Altantuya telah menulis surat ke Jabatan Peguam Negara agar pihak pendakwa membuat rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda di Mahkamah Rayuan, tetapi permohonan tersebut diketepikan kerana terpaksa menjaga kepentingan orang-orang tertentu, walaupun pihak pendakwaan terpaksa menutup sebelah mata mengorbankan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang didapati [ada prima facei] membunuh dan meletopkan mayat Altantuya Shaariibuu demi satu tugas yang diperintahkan oleh seseorang yang amat berkuasa.


Sementara itu, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Timbalan Pendawaraya mengugut akan menggunakan seksyen 136 Akta Keterangan bagi menghalang pihak peguambela memanggil Raja Petra Kamaruddin dan Balasubramaniam sebagai saksi dengan menggunapakai afidavit yang difailkan dan kemukakan kepada umum oleh kedua-dua mereka yang melibatkan Najib Tun Razak, Timbalan PM yang bakal menjadi PM ke-6 pada Mac depan dan Rosmah isterinya. [
http://www.malaysiakini.com/news/92795]. Pihak pendakwaan menyedari hali ini, maka ia akan dihalang dengan berbagai cara, mungkin alasan yang diberikan oleh mahkamah afidivit ini tidak relevan dengan kes yang akan dibicarakan itu.


Sekiranya kes ini masih tidak mampu mencelikkan mata dan mengintelekkan pemikiran orang-orang yang bertugas dalam pasukan polis ketika melihat kedua-dua rakan mereka yang terjerat, sedangkan mereka berdua hanyalah sekadar melaksanakan satu perintah telah pun menjadi mangsa kerakusan orang-orang berkuasa, yang tamak dan haloba terhadap kekayaan serta kemewahan hidup yang melampau, maka mereka yang seperti ini adalah merupakan specis lembu bukan di kalangan manusia yang mempunyai fikiran dan perasaan. Sampai bila orang-orang dalam pasukan polis ini harus melaksanakan perintah yang menjeratkan leher mereka sendiri, sedangkan orang-orang yang benar-benar terlibat dibebaskan dan bebas bergerak ke sana ke mari, bergelak-ketawa, berhibur, berfoya-foya dan hidup dipenuhi dengan kemewahan. Mereka berkerja apabila diarah lebih kuah daripada sudu. Lebih UMNO daripada UMNO. Fikirkanlah kawan-kawan ku dalam pasukan polis. Gunakan fikiran anda secara matang apabila bertugas, jangan mudah diperalatkan bagi mencapai agenda pihak-pihak tertentu yang gilakan kuasa, kedudukan dan kekayaan.


Berbeza dengan kes Anwar Ibrahim dan kes pembebasan Raja Petra Kamaruddin yang dibebaskan daripada tahanan ISA oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 November lalu [
http://www.malaysiakini.com/news/92626], tetapi Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri dalam notisnya bertarikh 11 November yang ditangani oleh si’dajal’ ini juga telah memfailkan notis rayuan untuk dimukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.


Rentetan peristewa ini mengambarkan pihak pendakwa telah diarahkan [?] bagi memastikan Anwar Ibrahim dengan apa cara sekali pun mesti disabitkan kesalahan tuduhan meliwat. Dengan cara itu sahaja pengaruh Anwar dapat dimatikan. Kaedah ini mengingatkan saya kisah Anwar 10 tahun lalu. Ketika itu Anwar mengadapi 10 tuduhan jenayah yang akan dibicarakan. Perbicaraan pertama melibat 4 pertuduhan rasuah tanpa melibatkan wang sesen pun yang dibicarakan secara serentak. Ia mula dibicarakan mulai 3 November 1998 dan hakim yang mendengar kes ini entah datang dari mana bernama Hakim S. Augustine Paul atau hakim coklat hack yang mempopularkan perkataan ‘tidak relevan’ untuk menolak hujah-hujah yang dibentangkan oleh pihak pembelaan. Perbicaraan ini memakan masa selama 78 hari dan pada 14 April 1998 mahkamah membuat keputusan mendapati Anwar Ibrahim didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa. Dakwaan itu mengikut peruntukan Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970. Anwar dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun bermula pada tarikh keputusan mahkamah dibacakan bukan bermula ia ditangkap sepertimana kebiasaannya.


Perbicaraan kedua melibatkan kes liwat dengan Azizan Abu Bakar. Perbicaraan kes ini memakan masa yang paling lama dalam sejarah iaitu selama 118 hari bermula 7 Jun 1999 dan berakhir pada 20 Julai 2000. Bagi memastikan Anwar bersalah, pihak pendakwa yang diketuai oleh Mokhtar Abdullah telah melakukan tiga kali pindaan terhadap butir-butir pertuduhan. Kalau mengikut norma-norma keadilan sejagat, kes ini dengan sendirinya ditolak oleh mahkamah kerana pihak pendakwaan gagal memberi butir-butir tuduhan spesifik yang tepat berkaitan masa dan tempat kejadian yang berlaku, tetapi ia lebih kepada konspirasi politik bagi membunuh kerjaya politik Anwar, maka mahlamah terpaksa menerimanya dengan hati terbuka.


Perbicaraan kes ini dihentikan banyak kali iaitu pada bulan Ogos dan September 1999 kerana isu racun arsenik dan masalah kesihatan Anwar, disambung semula dan dihentikan sekali lagi pada bulan November 1999 kerana PRU ke-10 akan diadakan pada bulan Disember tahun yang sama. Disambung semula selepas raya aidil fitri pada 22 Januari 2000 sehinggalah ia tamat dengan pihak pendakwa mengemukakan 9 saksi dan pihak pembelaan mengemukakan 31 saksi. Keputusan perbicaraan diumumkan oleh Hakim Ariffin Jaka pada 8 Ogos 2000 dan Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara 9 tahun. Jadi, keseluruhannya Anwar dihukum 15 tahun penjara. Hukuman ini hendaklah berjalan selepas hukuman 6 tahun penjara tamat, bukan dijalankan serentak.


Bagaimana pun Mahkamah Persekutuan pada tahun 2 September 2004 telah membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat kerana kekurangan bukti dan terdapat fakta-fakta yang meragukan.
Manakala 5 tuduhan jenayah terhadap Anwar, 4 kes melibatkan tuduhan meliwat dan 1 tuduhan melakukan amalan rasuah mengarahkan BPR menghentikan siasatan terhadap Mohd Azmin Ali, Setiausaha Politiknya ditarik balik oleh pendakwaraya melalui Timbaklan Pendakwaraya Azhar Abdul Hamid.


Tujuan saya mengimbaskan kembali kisah 10 tahun lalu adalah untuk memperingatkan para pemimpin Pakatan Rakyat agar bersiap sedia daripada sekarang. Oleh sebab itu tulisan saya dalam siri ke-2,
Layakkah Najib Tun Razak ke Seri Perdana menyarankan kepada Pakatan Rakyat menjadikan rancangan mengambilalih kuasa daripada tangan UMNO sebagai perjuangan di antara hidup dan mati.


Kesimpulannya, sekiranya kes liwat ini berjaya dibicarakan di Mahkamah Tinggi, maka nasib Anwar akan bertukar menjadi malang. Beliau akan kehilangan jawatan Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Perlu diingatkan bahawa Anwar adalah musuh ketat Najib. Najib akan mencari jalan untuk mematikan kerjaya politik Anwar kerana manusia yang bernama Anwar ini merupakan seorang manusia yang berani mencabar perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang merugikan rakyat, tetapi sebaliknya para pemimpin mendapat laba yang melimpah ruah hasil amalan rasuah dan menyalahgunaan kuasa. Harapan Najib ketika ia berkuasa kelak tidak ada manusia yang berani mencabar kepimpinannya. Ia boleh berbuat apa sahaja yang suka, termasuk Rosmah Mansor, isterinya. Mereka boleh jadikan Malaysia ini harta Tun Razak dan keluarga Sdn Bhd, tidak siapa yangb berani menghalang. Oleh itu, proses undang-undang adalah kaedah terbaik untuk melucutkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen.


Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan di blog saya satu lagi: http://demang.blogmas.com/


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

Monday, November 10, 2008

LAYAKKAH NAJIB TUN RAZAK KE SERI PERDANA?-SIRI KE-2 [AKHIR]

Oleh : Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,


Saya memohon maaf kepada semua pelayar yang mengunjungi bolg saya : tuntelanai.blogspot.com yang lama tidak sempat di’update’kan kerana ketidaksempatan waktu disebabkan tugas-tugas rasmi di dalam dan di luar pejabat serta hal-hal peribadi sehingga perkembangan politik semasa pun tidak dapat mengikutinya secara tetap. Tulisan terakhir saya disiarkan di laman sahabat baik saya [
http://www.marhaendaily.net/v1/mar_a_tun_telanai066.html] pada 12 Oktober lalu.


Pada kesempatan ini saya akan menyambung tulisan saya sepertimana yang telah dijanjikan. Bagaimana kaedah terbaik untuk menyekat laluan Najib Tun Razak gagal ke Seri Perdana sebagai Perdana Menteri [PM] Malaysia ke-6?


Pada 3 November lalu secara rasmi Najib telah diisytiharkan sebagai Presiden UMNO yang baru bagi mengantikan Abdullah Ahmad Badawi yang akan melepaskan jawatan itu pada bulan Mac 2009. Najib memperolehi 141 pencalonan daripada 142 bahagian yang sempat mengadakan mesyuarat agung masing-masing daripada 191 bahagian seluruh negara yang belum lagi mengadakan mesyuarat, selebihnya akan mengadakan mesyuarat pada hari-hari berikutnya sehingga Ahad, 9 November 2008, tarikh terakhir setiap bahagian mesti mengadakan mesyuarat tahunan seperti yang ditetapkan. Pencabar Najib, Tengku Razaleigh Hamzah hanya berjaya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri, Gua Musang. Setelah tamat tempoh untuk bahagian-bahagian UMNO mengadakan mesyuarat agungnya kelmarin, keputusan menunjukkanan Najib memperolehi 177 pencalonan atau 92.7 peratus daripada seluruh negara.


Ikut tradisi yang diamalkan di negara ini, mana-mana orang yang menjadi ketua sesebuah parti yang memperolehi majoriti sokongan di Parlimen, maka orang itu akan dipilih sebagai Perdana Menteri. Jadi, Najib sudah pasti akan menjadi PM ke-6 pada bulan Mac nanti. Oleh itu, Pakatan Rakyat [PR] yang diketuai oleh Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang perlu bertindak segera sebelum kita melangkah kaki masuk ke tahun baru 2009. Apa cara sekali pun dan berapa kos yang perlu dibayar, PR perlu mengambil langkah-langkah yang paling drastik untuk menyekat kemaraan Najib ke Seri Perdana.


Kaedah pertama, Ketua Pembangkang dan juga Penasihat PKR Anwar Ibrahim perlu menjadikan perjuangan untuk mengambilalih kuasa daripada UMNO sebagai perjuangan di antara hidup dan mati. Anwar perlu menjadikan PR sebagai sebuah pasukan tentera. Misi pasukan tentera ialah menentang musuh-membunuh atau dibunuh [tafsirannya ialah peperangan dalam strategi berpolitik bukan penggunaan senjata sebenar]. Jika Anwar dan PR lambat bertindak dan membiarkan Najib berjaya memegang kuasa, maka masa depan Anwar dan PR berada kedudukan yang amat berbahaya.


Jawatan Ketua Pembangkang yang disandangkannya akan dilucutkan [disqualified] dan kerjaya politik Anwar akan dimatikan melalui proses perundangan sepertimana yang berlaku ke atas beliau 10 tahun lalu. Dua strategi telah diagendakan bagi bertujuan tersebut. Strategi pertama telah dilaksanakan. Abdul Gani Patail, Peguam Negara telah berusaha memindahkan perbicaraan kes liwat Anwar dari Mahkamah Seksyen ke Mahkamah Tinggi, tetapi percubaan tersebut telah gagal. Hakim SM Komathy Suppiah memutuskan bahawa Mahkamah Seksyen mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu dan tandatangan Abdul Gani Patail ke atas sijil pemindahan itu tidak sah kerana Abdul Gani sendiri terlibat dengan tuduhan salah laku rasuah yang sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah [BPR] dan Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah memberi jaminan bahawa Abdul Gani Patail tidak akan dilibatkan dalam kes liwat ini. Tiba-tiba Abdul Gani Patail muncul mahu membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi. Agenda siapa disebalik percubaan yang gagal ini?


Saya rasa sebahagian besar rakyat di negara ini masih ingat diawal perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Majistret Aizatul Akmal Maharani mengeluarkan perintah supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin. Kemudian diikuti tindakan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Kadir Musa pada mulanya membebaskan Abdul Razak Abdullah Baginda dengan bon RM1 juta dengan dua orang penjamin atas alasan masalah kesihatan tanpa sekuriti adalah kes pertama dalam sejarah perundangan di Malaysia.

Paling ganjil apabila Mahkamah membebaskan orang yang dituduh dalam kes bunuh dengan bon tanpa sekuriti pada hal kesalahan membunuh tidak boleh dijamin. Dalam keadaan biasa, mahkamah akan menetapkan jumlah jaminan dan jika tertuduh gagal hadir di mahkamah, mahkamah akan menghantar surat tunjuk sebab kepada penjamin bagi memberikan penjelasan bagi pihak tertuduh yang gagal hadir. Kemudian mahkamah akan menetapkan jumlah wang yang akan dirampas daripada penjamin jika tertuduh gagal hadir di mahkamah.

Langkah tersebut mendapat bantahan awam yang menyebabkan mahkamah terpaksak akur dengan desakan awam mengenakan syarat tambahan dengan mendepositkan wang tunai RM1 juta atau sekuriti yang setara dengannya selain melaporkan diri di balai polis seminggu sekali dan menyerahkan pas perjalanan ke mahkamah. Selepas tamat tempoh ikat jamin RM1 juta pada 5 Januari 2007, mahkamah tidak membenarkan disambung ikat jamin dan Razak Baginda disumbatkan ke dalam penjara Sungai Buluh.

Menjadi satu persoalan yang tidak ada jawapan sehingga kini yang mana pada mulanya Hakim Datuk K. N Segara yang sepatutnya mendengar kes tersebut, tetapi kemudian secara tiba-tiba Pesuruhjaya Kehakiman [kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi] Datuk Mohamed Zaki Mohamed Yassin diarah mengendalikan kes tersebut. Hasilnya pada 31 Oktober lalu, Razak Baginda dibebaskan dan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada Unit Tindakan Khas [UTK] didapati ada prima facei dan diperintahkan untuk membela diri. Strategi yang serupa digunakan terhadap Anwar, tetapi setakat ini gagal.

Perlantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru juga merupakan strategi kedua UMNO untuk membunuh kerjaya politik Anwar. Zaki menjadi orang pertama yang dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan tidak mengikuti urutan kebiasaannya di mana seseorang itu terlebih dahulu dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.


Zaki seorang manusia yang mempunyai pekerti yang buruk di kaca mata masyarakat yang responsive terhadap isu-isu semasa. Dengan kerana hendak berkahwin dengan wanita muda bagi memuaskan nafsu seksnya, Zaki sanggup berbohong dan menipu isteri pertama dan keluarganya sendiri. Zaki berkahwin dengan Nor Hayati Yahaya pada bulan Mei 2005 dan mereka berpisah selepas tiga bulan mendirikan rumahtangga. Mereka berkahwin menggunakan khidmat kadi dari Thailand dan kedua-duanya bersetuju untuk membakar sijil asal perkahwinan mereka bagi menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan isteri pertamanya. Perbuatan Zaki tidak mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia adalah satu perbuatan yang biadap [kerana beliau adalah seorang peguam] dan melanggar undang-undang syariah [dalam bab nikah-cerai] yang digunapakai di negara ini. Disamping itu, beliau adalah seorang tokoh korperat, berdarah UMNO dan peguam untuk UMNO berabad lamanya. Berdasarkan itu, Zaki tidak layak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Beliau tidak ada akhlak yang baik untuk mereformasikan sistem keadilan di negara ini dan sistem kehakiman kita akan dipersoalkan jika kes-kes yang melibatkan UMNO dan kerajaan.

Jadi, bagi menjamin survival kerjaya politik Anwar masa depan, maka Anwar dan PR perlu bergabung tenaga bagi memastikan Najib tidak berpeluang melangkah masuk ke Seri Perdana. Persiapa rapi perlu dibuat dari sekarang bagi menghadapi serangan dari sistem perundangan negara yang akan dimanipulasikan untuk mengnyahkan Anwar daripada arus politik dalam negara ini.


Kaedah kedua adalah melalui Pakatan Rakyat [PR]. PR mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai kekuatan dan sokongan majoriti [termasuk Ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN)]. Menunjukkan kekuatan bermaksud lima [5] buah kerajaan-kerajaan negeri [termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur] di bawah pemerintahan atau di bawah penguasaan PR perlu segera mengubal dasar dan perlaksanaan dasar menjurus menjaga kebajikan keseluruhan rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Sekarang Dewan Undangan setiap negeri sedang sibuk dan membahaskan pembentangkan bajet masing-masing untuk tahun 2009, selepas Dewan Rakyat berbuat sedemikian pada 29 Ogos lalu.


Setiap kerajaan negeri di bawah tadbiran PR perlu memperbanyakkan peruntukan mengatasi kemaslahan rakyat bagi mengurangkan bebanan hidup yang semakin meningkat seiring kejatuhan harga komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit. Menstabilkan harga dua komoditi utama ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri di bawah PR boleh membantu rakyat miskin melalui sumber yang ada seperti mengurangkan tarif air, bantuan penggunaan elektrik dan berbagai jenis cukai lagi yang dikutip oleh kerajaan negeri. Sungguh pun tindakan ini boleh mengurangkan pendapatan kerajaan, tetapi ia merupakan satu pengorbanan kerajaan kepada rakyat dalam keadaan ekonomi yang kritikal sekarang ini.


Sebagai contoh, menambah peruntukan dan berkerjasama dengan pihak swasta untuk membina lebih banyak rumah untuk rakyat yang tidak berumah perlu diberi perhatian serious. Pembinaannya dan peruntukan perlu ditambah dan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar rakyat yang memerlukan rumah, bukan memberi peruntukan ala kadar seperti yang dilakukan oleh kerajaan UMNO. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik ada hak untuk mendapat kemudahan perumahan yang selesa. Dalam konteks ini, orang Melayulah yang banyak tidak berumah kerana mereka tidak mampu membeli rumah yang dibina oleh pemaju swasta yang bernilai ratusan ribu ringgit seunit, maka sewajarnya orang Melayu mendapat lebih kuota [tanpa menafikan hak kaum lain ] peruntukan bilangan perumahan yang dibina dengan harga yang mampu dimiliki seperti dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah.


Bajet kerajaan negeri di bawah PR perlu memenuhi keperluan lima [5] hak asasi [basic need] rakyat seperti makanan [termasuk air dan elektrik], pakaian, perumahan, pendidikan dan kesihatan. Lima perkara ini tidak boleh diperdagangkan untuk mencari keuntungan sepertimana peringatan Nabi Mohamad s.a.w kepada pemerintah yang mesti bertanggungjawab menjaga kebajikan keseluruhan rakyat di bawah pimpinannya.


Kerajaan diumpamakan seperti bapa dalam sesebuah keluarga. Bapa berkewajiban menjaga kebajikan anak-anaknya dengan tidak mengabaikan lima perkara asasi tadi. Bapa perlu menyediakan makan-minum secukupnya kepada seluruh anggota keluarga di bawah tanggongannya. Bapa mesti memastikan anak-anaknya berpakaian. Bapa juga perlu menyediaan kemudahan perumahan yang sesuai untuk berlindung daripada hujan dan panas. Bapa juga mesti memberi pendidikan [ilmu] untuk anak-anaknya bagi memboleh mereka meneruskan kehidupan apabila dewasa kelak dan apabila sakit mereka juga perlu menerima rawatan dengan sewajarnya. Jadi, bapa sebagai ketua keluarga perlu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut mengikut kemampuan masing-masing.


Kerajaan juga adalah ketua keluarga yang bertanggungjawap menjaga kebajikan rakyat di bawah pemerintahannya. Dalam konteks ini, kerajaan yang ada sekartang telah gagal melaksanakan tangungjawab ini dengan sempurna. Mereka memperdagangan keperluan asasi ini untuk mencari keuntungan yang maksima. Oleh itu, kehidupan rakyat semakin tertekan, mereka menjadi bertambah miskin.


Mereka perlu mengurangkan peruntukan untuk projek-projek yang tidak membawa faedah/keuntungan secara terus kepada rakyat seperti yang diamalkan oleh UMNO. UMNO yang berkuasa memfaraidkan kekayaan negara berdasarkan kelompok tertentu. Manusia yang berada dekat dengan pemimpin yang berkuasa dan menjadi sekutu mereka, maka mereka menjadi kaya-raya dengan merompak harta rakyat secara ‘legal’ berdasarkan undang-undang rimba [jungle law] yang reka-cipta untuk menjaga survival elit-elit politik kelompok berkuasa.


Kerajaan lima buah negeri ini hendaklah menjadikan pemimpinnya miskin [bersederhana dan jangan terlalu mewah mengikut style para pemimpin UMNO], tetapi rakyatnya kaya-raya. Lima kerajaan ini mesti bersih dan dilihat bersih dari semua aspek pentadbiran. Tidak ada tempat dan ruang untuk pemimpin yang tidak moral dan tidak berakhlak seperti yang berlaku di negari Perak baru-baru ini. Kerajaan PR perlu mencontohi teladan yang telah ditunjukkan oleh Musyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berjaya memerintah Kelantan lebih 18 tahun yang serba kesederhanaan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Kaedah ketiga, para pimpinan PR perlu berusaha memadamkan api perkauman yang ditiupkan oleh UMNO. Pemimpinan PR jangan terikut-ikut api perkauman yang dimainkan oleh UMNO terutama dalam soal hak dan ketuanan Melayu. Isu ini nampaknya UMNO berjaya mempengaruhi sebahagian pimpinan PR terutama PAS. Contoh terbaru UMNO berjaya mengheret pimpinan PAS mempersoalkan perlantikan pemangku Pengurus Besar PKNS Low Siew Moi. Persoalannya apa salahnya Low dilantik memegang jawatan tersebut kerana walaupun beliau memegang jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan, tetapi beliau tidak terlepas dari pemantauan dan terpaksa melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Selama 51 tahun orang Melayu diberi peluang menjadi ketua dikebanyakan agensi kerajaan, khususnya di PKNS sendiri, berapa banyak orang Melayu yang menguasai kekayaan hartanah dan bangunan-bangunan perniagaan di Selangor. Jawapannya kosong. Jadi, apa perlu diheboh-hebohkan. Perlantikan Low berdasarkan merit, tetapi perlantikan orang Melayu berdasarkan kepentingan politik. Oleh sebab itu keseluruhan agensi orang Melayu yang mengetuainya menemui kemusnahan.


Melalui isu perkauman ini juga UMNO telah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu. Raja-Raja Melayu sekarang ini mulai bercakap mengenai ketuanan Melayu dan agama Islam. Orang Melayu dihasut jangan memberi sokongan kepada PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang kononnya PKR dikuasai oleh orang bukan Melayu. Anwar dikatakan boneka yang akan dipengaruhi dan dikuasai oleh kuasa politik bukan Melayu yang akan menghancurkan ketuanan Melayu dan agama Islam atas kepentingan peribadi Anwar untuk mernjadi Perdana Menteri. Sekiranya, Anwar berjaya dalam misinya itu, kekuasan politik orang Melayu dalam negara ini akan hancur. Melayu akan musnah di tanah airnya sendiri. Persoalan ini saya akan jawab dalam tulisan yang lain bagi membuktikan bahawa UMNOlah merupakan parti dan pengkhianat terhadap bangsa dan agama, bukan parti lain kerana selama 51 tahun UMNO memerintah kedudukan orang Melayu dalam semua sektor semakin mengecil dan menuju jalan kehancuran.


Kaedah keempat ialah Anwar perlu mencari sebanyak mungkin kumpulan atau golongan yang anti Najib. Dalam UMNO sendiri yang tidak suka kepada Najib adalah ramai. Perkara ini pernah didedahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun berkata ada golongan tertentu yang cuba menghalang Najib menjadi PM ke-6. Kenyataan Tun ini perlu diberi perhatian khas dan berusaha mencari golongan tersebut. Persaingan hebat merebut jawatan dalam UMNO yang berakhir semalam [9 November 2008] mencerminkan UMNO sedang menghadapi perpecahan yang serious. UMNO sekarang telah membentuk kumpulan dan berpuak-puak di antara mereka sesama mereka. Jika kita perhatikan pencalonan yang diterima oleh calon, calon dari kumpulan Najib mendapat pencalonan yang tertinggi. Kumpulan Abdullah termasuk menantunya Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan yang rendah dan ada calon yang tidak memperolehi jumlah pencalonan yang cukup untuk menempatkan diri dalam heiraki UMNO. Dalam UMNO sekarang ini telah wujud sekurang-kurangnya empat kumpulan. Kumpulan Najib, kumpulan Abdullah, kumpulan Khiary dan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Carilah peluang yang terbuka luas ini untuk berkerjasama bagi menghalang Najib menjadi PM ke-6.

Kaedah kelima, latarbelakang Najib yang kotor yang dilanda dengan pelbagai skandal dan tuduhan rasuah serta isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu sangat baik bagi PR untuk membentuk satu persepsi rakyat terhadap imej Najib yang buruk itu. Gerakan ke arah tersebut perlu dimulakan sekarang. Kempen, ceramah, edaran poster disebarkan kepada umum, internet dan berbagai sumber yang ada perlu digembling bagi tujuan tersebut. Ia perlu diadakan secara bersitematik dan berorganisi supaya ia dapat mencapai matlamat yang diinginkan.


Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat lima kaedah [mungkin para pembaca ada pendapat lain] tersebut wajar dilaksanakan secara bijaksana, cermat dan bertata tertib. Saya percaya ia berupaya mengagalkan hasrat Najib itu dan PR perlu berwaspada agar segala tindakan yang dilakukan itu tidak makan diri balik. Langkan-langkah ini mampu untuk menghalang Najib memegang kuasa dan beliau akan gagal ke Seri Perdana. InsayaAllah.


Ada banyak bahan yang boleh dijadikan pengetahuan dan hiburan diblog saya satu lagi: http://demang.blogmas.com/


“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”


Wassalamu ‘alaikum Wr.Wb
Wallahu'alam bishshawab.