Siapa Mahdzir Khalid ini? Yang begitu berani menyuruh Mahathir berhenti bercakap dan mendiamkan diri memeluk tubuh sambil memerhatikan kerakusan Abdullah dan anak-menantunya mengurus Malaysia. Mahdzir hendakkan Mahathir makan duit pencen setiap bulan. Jangan kritik kerajaan Abdullah, Mahathir mesti memuja dan memuji Abdullah seperti yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO sekarang ini.
Mahathir seorang pejuang. Menempuh pelbagai onak dan duri dalam perjuangan. Pernah melibatkan diri dalam perjuangan menentang penjajah Inggeris dan menempuh berbagai peristiwa suka dan duka dalam perjuangan mendaulatkan martabat bangsa. Separuh kehidupannya dicurahkan untuk perjuangan, semenjak dari usia belia sehingga ke hari tuanya [kini berusia 81 tahun]. Saya bukanlah ahli UMNO dan pendokong Mahathir, tetapi cara pemimpin UMNO melayan Mahathir seperti pariah, memanggilnya iblis dan beruk.
Kamu lahir selepas Negara Merdeka. Generasi Merdeka. Apakah jasa kamu, wahai Mahdzir dalam perjuangan memartabatkan maruah bangsa dan agama. Sebesar zarah pun tiada kerana kamu masih lagi berhingus dalam dunia politik. Selama dua tahun kamu diberi amanah untuk memerintah Kedah, tidak ada satu dasar pembangunan yang kamu dan EXCO kamu gubalkan untuk majukan negeri Kedah. Hanya yang ada ialah papan-papan tanda besar [billboard] yang mengandungi gambar kamu dan wakil-wakil rakyat di kawasan tersebut di setiap persimpangan jalan di seluruh negeri Kedah.
Seluruh pekan kecil dan besar terpampang gambar kamu seolah-olah Kedah diperintah mengikut sistem komunis-Sosialis seperti di Iraq zaman Saddam Hussein memerintah. Gambar dan tugu berwajah Saddam dipasang di seluruh Iraq. Pemujaan pemimpin. Itulah agaknya pembangunan yang kamu bawa untuk Kedah.
Kamu sebenarnya menghadapi krisis keyakinan. Tidak yakin pada kebolehan diri sendiri. Kamu sedar yang kamu itu tidak popular dan sukar untuk mendapat sokongan rakyat secara meluas, sekiranya kamu tidak merasuahkan rakyat dan menipu dalam pilihan raya.
Majlis Bandaraya Alor Setar menghadapi masalah kewangan dan PKNK juga menghadapi masalah yang sama. Apa yang kamu buat untuk mengatasi masalah ini. Laporan audit tahun 2005, mendedahkan kerajaan menyalahguna dan menyeleweng peruntukan untuk orang miskin. Duit orang miskin, dibelanjakan secara mewah dan membazir untuk kepentingan golongan pemimpin seperti kamu. Peruntukan yang diberi tidak menepati sasaran, hatta itu kadar kemiskinan di Kedah masih tinggi, pemimpin hidup mewah. Sepatutnya kamu sebagai bekas pengetua sekolah lebih bertanggungjawab, walaupun peruntukan itu dibelanjakan bukan di zaman kamu memerintah, tetapi kamu dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan segala-segalanya apa yang ditegur oleh audit itu. Sewajarnya komen seperti ini hendaklah datang daripada mulut golongan veteran, bukan keluar dari mulut engkau.
Budaya taksub kepada pemimpin menjadi dasar dalam perjuangan UMNO yang kamu pegang itu sangat berbahaya kepada bangsa dan agama kerana orang macam kamu ini sanggup mengetepikan kebenaran dalam sesuatu isu yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan Negara, apabila sesuatu isu tersebut membabitkan pemimpin utama UMNO. Sebagai contoh, seluruh kepimpinan dalam UMNO menyokong penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains yang kini didapati ianya amat merugikan orang Melayu. Maklumat terkini bahawa dasar ini akan dimansuhkan dan akan kembali ke bentuk asal mengajar dalam Bahasa Melayu. Kalau ini benar, maka tidak syak lagi kamu dan seluruh golongan kepimpinan dalam UMNO memang benar-benar seperti ‘binatang’ yang sanggup menjadi syaitan bisu demi menjaga kepentingan masing-masing, bukan untuk kepentingan bangsa. Pelaksanaan dasar ini terpaksa dibayar dengan kos yang amat mahal dan mengorbankan kepentingan bangsa dan bahasa, tiba-tiba ianya dihentikan separuh jalan. Bukankah ini kerja orang gila. Kamu dan UMNO tidak layak untuk diberi amanah memerintah Negara ini lagi. Pasti UMNO akan tumbang sekiranya ianya tidak dibantu oleh pasukan polis, SPR dan lain-lain institusi kerajaan.
Mahdzir, kamu dan kumpulan kamu tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir seperti isu-isu jambatan bengkok, Proton, AP, AV Agusta, Rafidah Aziz, penguasaan Khairy dalam perniagaan dan politik, dari mana Khairy mendapat dana RM9.2 juta dalam usia yang begitu muda untuk membeli saham ECM Libra, isu Kalimullah, gaya pengurusan ekonomi terkini, monopoli Scomi dan Kamaluddin Abdullah terhadap projek-projek kerajaan. Kamu semua diam membisu. Semuanya menjilat buntut Abdullah. Kami rakyat marhaen tahu dan sedar kamu dan golongan kamu adalah ‘lembu-lembu pawah’ yang enak diberi makanan setiap hari, tetapi kamu dan golongan kamu tidak sedar bahawa bangsa dan agama kamu hampir musnah disebabkan angkara kamu dan golongan kamu seperti dalam isu dasar bahasa tadi.
Kamu sepatutnya merujuk sifat Rasul, yakni tabligh, siddiq, amanah dan fatanah. Saya terasa ada lompong kosong pada sifat keempat itu, iaitu sikap kebijaksanaan yang sepatutnya ada pada kamu. Kamu orang muda, pengalaman baharu setahun jagung, tetapi sikap yang kamu tunjukkan itu terlalu kurang ajar dan biadap apabila perkataan tersebut keluar daripada mulut kamu sendiri. Sepatutnya kamu menggunakan bahasa yang lebih berlapik. Kita ada budaya kita sendiri. Janggal sekali apabila rakyat dipaksa secara tidak langsung supaya lebih banyak bersimpati kepada seorang PM dan itulah bekalannya yang kamu bawa untuk terus berdepan dengan Mahathir, sedangkan rakyat amat memerlukan kepemimpinan yang tegas, berwibawa, telus, bijaksana, karismatik selain tiga sifat Rasul tadi.
Tidak pernah sepanjang sejarah negara, institusi Perdana Menteri boleh dipersenda dan dijadikan bahan lawak jenaka, dengan begitu meluas. Pelbagai istilah negatif yang merendah-rendahkan PM dilemparkan dan sebahagiannya disebar-luaskan melalui SMS, emel, dan blog. Tiada siapa dapat mengesahkan, tapi semakin ramai yang menyebut soal Abdullah sering tertidur ketika mesyuarat, lambat tiba di majlis-majlis rasmi, membuat keputusan tanpa tahu hujung-pangkal sesuatu isu, menyerahkan bulat-bulat kepada menteri walaupun dalam hal kritikal, jarang membuat home-work sebelum melancarkan program besar kerajaan, termasuk dasar-dasar penting negara.
Dalam kesibukan jamuan hari raya yang diadakan di merata tempat oleh pemimpin UMNO dan PAS [saya menghadiri kedua-duanya], saya telah mengambil kesempatan meninjau pandangan ahli-ahli UMNO daripada ‘grassroots’. Kebanyakan mereka begitu sensitif dan marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh kamu itu.
Jasa Mahathir lebih besar daripada kamu dan Abdullah sendiri. Hasil tinjauan rambang yang dibuat, rata-rata yang ditemui marah terhadap kenyataan biadap dan kurang ajar kamu itu. Ini satu kenyataan yang benar dan tidak diputar-belitkan seperti yang dimainkan oleh akhbar milik golongan kamu. Kalau kamu tidak percaya, turun ke kawasan kamu dan adakan satu kajian. Respondennya di kalangan orang dewasa dan veteran, bukan mat rempit. Pasti kamu akan menerima jawapan yang penduduk Padang Terap [malah sebahagian besar rakyat Kedah] cukup benci, marah dan meluat kepada kamu.
Jadi, kata kamu: "Saya rasa orang Kedah sendiripun malu dengan tindakan Tun dan akan hilang rasa hormat kepada dia," tambah Mahdzir. Mahdzir Khalid, MB Kedah, Malaysiakini.com, 28.10.2006.
Kenyataan kamu itu tidak betul. Kamu pembohong besar. Diri kamu sendiri pun sebahagian penduduk di DUN Pedu menolak dan benci kepada kamu. Lihatlah kamu menang di DUN Pedu, sebanyak 7,684 orang yang suka kepada kamu dan yang benci dan meluat kepada kamu seramai 5,785 orang. Apa yang hendak dibanggakan kamu hanya lebih 1,899 orang yang cintai kamu. Kebanyakan yang mencintai kamu ialah keturunan Siam dan bukan-Melayu lainnya. Kalau dibandingkan kamu dan Abdullah sendiri dengan Mahathir, kesimpulannya samalah dengan kita membandingkan langit dengan bumi-jaraknya terlalu jauh.
2. “Jika Tun Dr Mahathir hendak lanyak kerajaan juga, eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak apa gunanya jadi penasihat.
"Pada masa yang sama Tun membuat kritikan terhadap kerajaan, beliau masih menjadi penasihat kepada banyak agensi kerajaan seperti Petronas, Proton dan LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi)," tambah Mahdzir-Mahdzir Khalid, MB Kedah, Malaysiakini.com, 28.10.2006.
Ulasan:
Lagi sekali, Mahdzir menunjukkan ‘kebodohannya’ apabila mendesak Mahathir meletakan jawatan Penasihat Petronas, Proton dan LADA. Mengikut pandangan A.Kadir Jasin yang menulis dalam blognya, seandainya Mahathir disingkirkan sebagai penasihat Petronas dan Proton, yang rugi bukan Mahathir tetapi UMNO dan negara. Di dalam UMNO hari, tidak ada orang yang lebih mengetahui mengenai dua entiti ekonomi negara itu selain Mahathir.
Kata Kadir lagi, beliau masih ingat bagaimana pada tahun 1976 [Kadir ialah bekas editor NST] Mahathir kerap memberikan taklimat off-the-record kepada wartawan ekonomi mengenai rundingan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (Production Sharing Agreement) di antara Petronas dan syarikat-syarikat minyak antarabangsa. Waktu itu beliau Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan [ketika itu kamu baru berusia 16 tahun masih bersekolah di SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar].
Di bawah pentadbiran beliau selama 22 tahun, industri petroleum negara berkembang pesat dan dasar pengantarabangsaan perniagaan beliau mengubah Petronas daripada sebuah syarikat minyak nasional kepada salah sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terbesar di dunia [dalam tempoh masa itu juga, Mahdzir lulus universiti, menjadi guru, masuk politik dan bertanding pilihan raya.] Hari ini Petronas bergiat di 30 buah negara dan menjadi salah sebuah daripada 500 syarikat terbesar di dunia mengikut senarai majalah Fortune.
Siapakah yang membangunkan Langkawi seperti yang kita lihat sekarang? Apa sumbangan kamu terhadap pembangunan di Langkawi. Kata orang tua-tua, bila bercakap perlu berhati-hati, terlanjur perahu boleh diundur, tersilap cakap buruk padahnya.
Mahdzir budak Jabi, kebanyakan penduduk Jabi berperangai buruk dan gedebe termasuklah perangai yang dibawa oleh Mahdzir ini. Untuk mengenali lebih dekat lagi siapa si Mahdzir ini, sila baca tulisan A.Kadir Jasin dalam blognya siaran 3 November 2006:
http://kadirjasin.blogspot.com/
3. "Masa Tun memerintah tiada orang berani mengkritik beliau. Dia guna kuasa dia, guna ISA tangkap orang dan sekarang dia kata negara ini telah menjadi negara polis." Mahdzir Khalid, MB Kedah, Malaysiakini.com, 28.10.2006
Ulasan:
Memang Negara ini Negara polis sejak dulu lagi. Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika itu bersama dengan Tengku Razaleigh Hamzah memimpin parti SM46, pernah berkata Negara ini Negara polis. Mengikut pendapat saudara Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif [Harakahdaily 30.10.2006], secara mudahnya katanya negara polis dapat diertikan sebagai sebuah negara yang terlalu menitikberatkan persoalan keselamatan dalam perjalanan pentadbirannya.
Konsep keselamatan yang difahami oleh negara adalah terlalu menyeluruh dan inklusif; ianya terlalu menyeluruh sehinggakan keselamatan negara tidak dapat dipisahkan dari kestabilan politik. Lebih teruk keselamatan dikaitkan secara langsung dengan kelangsungan politik parti yang memerintah dan dalam kes Malaysia kelangsungan atau survival politik UMNO/BN.
Perlu dibeza antara keselamatan negara dengan keselamatan parti politik yang memerintah. Dalam keadaan kelabu [tidak dapat bezakan di antara keselamatan Negara dengan keselamatan UMNO] yang wujud di fikiran rakyat, maka UMNO mengambil advantage menjadikan survival UMNO sebagai keselamatan Negara. Samalah juga dengan fahaman UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO yang dipahat dalam-dalam di fikiran rakyat. Di situlah timbulnya slogan di setiap projek pembangunan yang dibuat oleh UMNO: “Satu lagi Projek Barisan Nasional” yang dipacak di seluruh Negara. Membodohkan rakyat, sedangkan duit untuk projek-projek pembangunan itu datangnya dari kocek seluar rakyat dalam bentuk berbagai jenis cukai yang dikenakan kepada rakyat. Bukan duit UMNO.
Terdapat seramai 20,000 hingga 30,000 SB di Malaysia dan angka ini merupa 1/3 dari jawatan dalam perkhidmatan polis. SB-SB ini bergerak secara rahsia, terdiri dari pelbagai jantina dan kepakaran, memantau pergerakan individu dan kumpulan yang dianggap boleh membawa masalah keselamatan. Pemantauan mereka begitu terperinci: tempat yang selalu dikunjungi oleh individu/kumpulan yang dimaksudkan, bahan bacaan yang dibaca, program televisyen yang diminati, laman web yang dilawati, surat-menyurat juga dipantau, perbualan telefon termasuk telefon bimbit dirakam, e-mail dan SMS dipantau. Malah secara umumnya tingkah-laku, cara hidup dan cara berfikir individu dipantau.
Terbaharu, pada malam 2.11.2006, program Ceramah Kebangkitan Rakyat Terengganu, di Batu Burok, Kuala Terengganu yang melibatkan Anwar Ibrahim. Pada mulanya, pasukan polis cuba mengganggu majlis ceramah ini, tetapi perbincangan Anwar dan Mustafa Ali dengan pasukan polis, akhirnya pihak polis akur membenarkan majlis tersebut berjalan seperti yang dijadualkan. Mahathir pula disekat dan dihalang untuk menemui rakyat dan ahli-ahli UMNO. Semua program yang diatur khas untuk Mahathir terpaksa dibatalkan. Penganjur diugut dan diancam akan diambil tindakan.
Pembangkang telah menghadapinya semenjak 1.7.2001 lagi. Pelbagai program dan aktiviti pembangkang dihalang dan disekat. Beribu majlis ceramah PAS dikepung, disembur air, disembur asid dan gas pemedih mata. Beribu-ribu ahli dan penyokong PAS telah menjadi mangsa keganasan pasukan polis ini. Ramai yang ditangkap dan didakwa di mahkamah termasuk pemimpin kanan PAS, Dr. Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat ditahan, dilokap dan diperhinakan seolah-olah ‘penjenayah’ di Kuantan, Pahang dan kes ini masih dalam perbicaraan. Malah MB Kelantan, Nik Aziz Nik Mat pernah dibawa lari daripada kepungan pasukan polis di Kuala Ketil, Kedah di tengah kesejukan malam buta meredah hutan belantara dan Presiden PAS sendiri telah disembur dengan gas pemedih mata di Masjid Al-Takwa, Batu 6, Kuala Terengganu.
Bagi membuktikan lagi bahawa Negara ini adalah sebuah Negara polis, peristiwa berdarah yang dikenali sebagai ‘Bloody Sunday’ yang berlaku pada Ahad 28 Mei 2006 di Menara Petronas telah diadakan satu demonstrasi bagi menentang kenaikan harga minyak dan tariff elektrik. Sebelum itu berlaku satu demonstrasi besar-besaran yang dibenarkan oleh polis untuk mengutuk perbuatan akhbar Denmark yang menghina Nabi Mohammad saw, tetapi demonstrasi pada 28 Mei melibatkan kerajaan pimpinan Abdullah, maka demonstrasi tersebut terpaksa dihentikan secara biadap dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa ‘bloody Sunday’ ini telah menarik perhatian SUHAKAM [pada mulanya enggan] dan SUHAKAM telah mengadakan satu inquiry awam [selepas dikenakan tekanan] perbicaraan belum selesai lagi. Kita tunggu apa hasilnya.
Kesimpulannya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahdzir Khalid itu merupakan satu kenyataan yang biadap dan kurang ajar serta menggambarkan Mahdzir seorang pemimpin yang kurang pintar [sama dengan Abdullah] tidak ada kewibawaan sebagai seorang pemimpin muda. Kenyataan ini menggambarkan Mahdzir seorang kaki ampu dan bodek nombor wahid. Pemimpin jenis ini tidak boleh diharapkan untuk membela agama, nasib bangsa dan Negara. Pemimpin jenis ini tidak ada harga diri dan tidak boleh dipercayai terhadap ketulusan dan keikhlasannya berjuang. Tidak ada harapan negeri Kedah akan membangun maju di bawah pentadbirannya.
"SELAMATKAN NEGARA DAN SELAMATKAN RAKYAT"
"PROTES HINGGA TURUN"
Sekian, wassalam. Terima kasih.
Luangkan masa jenguk-jeguklah blog saya : http://tuntelanai.blogspot.com/